۞ وَٱكْتُبْ لَنَا فِى هَـٰذِهِ ٱلدُّنْيَا حَسَنَةًۭ وَفِى ٱلْـَٔاخِرَةِ إِنَّا هُدْنَآ إِلَيْكَ ۚ قَالَ عَذَابِىٓ أُصِيبُ بِهِۦ مَنْ أَشَآءُ ۖ وَرَحْمَتِى وَسِعَتْ كُلَّ شَىْءٍۢ ۚ فَسَأَكْتُبُهَا لِلَّذِينَ يَتَّقُونَ وَيُؤْتُونَ ٱلزَّكَوٰةَ وَٱلَّذِينَ هُم بِـَٔايَـٰتِنَا يُؤْمِنُونَ(١٥٦)
“Dan tetapkanlah untuk Kami kebaikan dalam dunia ini dan juga di akhirat, sesungguhnya kami kembali (bertaubat) kepada-Mu”. Allah berfirman: “Azab-Ku akan Aku timpakan kepada sesiapa yang Aku kehendaki, dan rahmat-Ku meliputi tiap-tiap sesuatu; maka Aku akan menentukannya bagi orang-orang yang bertaqwa dan yang menunaikan zakat, serta orang-orang yang beriman kepada ayat-ayat Kami.”
(Surah Al-A’raf 7:156)
Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Bertakwalah kepada Allah SWT dengan meningkatkan amalan ketaatan serta menjauhkan diri daripada segala perbuatan kemungkaran. Semoga dengan itu kita layak bergelar hamba-hamba Allah SWT yang berpuasa dengan penuh keimanan dan memperoleh ganjaran. Berikan sepenuh perhatian terhadap khutbah yang akan disampaikan.
Tinggalkanlah perbuatan yang lagha seperti menggunakan telefon atau berbual-bual ketika khutbah disampaikan. Semoga Allah SWT menerima segala amal kebaikan dan doa yang dipanjatkan.
Sidang jemaah sekalian, khutbah pada hari ini akan membicarakan tajuk: “Infak Disemai, Rahmat Dituai.”
Sidang Jemaah yang Berbahagia,
Mimbar mengajak sidang Jemaah untuk bersama-sama menghayati firman Allah SWT dalam surah Al-A’raf ayat 156 yang dibacakan di awal khutbah tadi yang bermaksud:
“Dan tetapkanlah untuk Kami kebaikan dalam dunia ini dan juga di akhirat, sesungguhnya kami kembali (bertaubat) kepada-Mu”. Allah berfirman: “Azab-Ku akan Aku timpakan kepada sesiapa yang Aku kehendaki, dan rahmat-Ku meliputi tiap-tiap sesuatu; maka Aku akan menentukannya bagi orang-orang yang bertaqwa dan yang menunaikan zakat, serta orang-orang yang beriman kepada ayat-ayat Kami.”
Istimewanya pada bulan Ramadan ini, Allah SWT mewajibkan dua rukun Islam sekali gus, iaitu puasa dan zakat yang tidak diwajibkan pada bulan-bulan yang lain. Kedua-dua rukun serta ibadah ini bukan hanya menjadi madrasah rohani, bahkan ia juga merupakan ujian sebenar akan tingkat kecaknaan dan keprihatinan kita terhadap nasib serta kebajikan sesama insan. Khususnya golongan yang kurang berkemampuan yang setiap hari dan sepanjang tahun berkira-kira untuk mencari sesuap nasi.
Adakah kita berpeluk tubuh berdiam diri membiarkan mereka yang kesusahan dan kelaparan terus merana dalam kesengsaraan? Atau kita merebut peluang pada bulan Ramadan yang amalan termasuk sedekah, infak dan zakat dilipatgandakan ganjarannya; dan mampu membersihkan hati dari sifat bakhil, kedekut, iri hati serta hasad dengki. Malah Allah pasti akan menyuburkan keberkatan pada harta dan kehidupan kita.
Sepertimana kata-kata hikmah Allahyarham Hamka: “Harta yang kamu makan akan jadi kotoran, harta yang kamu simpan akan jadi warisan atau rebutan tetapi harta yang kamu sedekahkan akan kekal dan abadi di akhirat.”
Sidang Jemaah yang Dimuliakan,
Amalan zakat dan infak juga merupakan medium yang ampuh untuk kita berkongsi rezeki dan menggembirakan kehidupan sesama insan. Oleh sebab itu, Islam mewajibkan zakat fitrah pada bulan ini bukan sahaja bagi memenuhi keperluan para asnaf fakir miskin bahkan menyempurnakan kelompongan ibadah puasa kita.
Diriwayatkan oleh Abu Daud dan Ibn Majah daripada Ibn Abbas radhiallahuanhuma, beliau berkata yang maksudnya: “Rasulullah SAW mewajibkan zakat fitrah untuk menyucikan orang yang berpuasa daripada perkara yang lalai dan perkataan keji, juga memberi makan bagi orang miskin. Barangsiapa yang menunaikannya sebelum solat (Aidilfitri), maka zakatnya diterima. Namun, sesiapa yang menunaikannya selepas solat, maka ia hanya dianggap sebagai sedekah (sunat).”
Marilah kita menyemai jiwa cakna dan solidariti dalam bulan Ramadan yang mulia ini dengan amalan zakat dan infak, mudah-mudahan menerusi amalan ini kita dapat menuai rahmat Ilahi dan meraih syurga yang tertinggi di akhirat nanti.
Sidang Jemaah yang Dikasihi,
Bagi memudahkan umat Islam menunaikan ibadah zakat, Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) telah menyediakan pelbagai kemudahan dan saluran bagi pembayaran zakat. Kaunter cawangan zakat di seluruh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan dibuka setiap hari sepanjang bulan Ramadan ini. PPZ-MAIWP juga menyediakan perkhidmatan konsultasi dan taksiran zakat secara dalam talian menerusi kaunter zakat digital di samping kemudahan kaunter van bergerak, potongan zakat bulanan, laman web dan aplikasi zakat.
Umat Islam juga boleh menunaikan kewajipan zakat fitrah menerusi 947 orang Ketua Penolong Amil dan Penolong Amil yang telah dilantik. Hasil daripada zakat yang ditunaikan, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) telah mengagihkan lebih daripada RM1.22 bilion dana kutipan zakat pada tahun 2025 menerusi kluster dan skim yang diperkenalkan. Ia merangkumi bantuan kebajikan, pendidikan, pembangunan ummah, perlindungan, perubatan dan ekonomi, selain daripada agihan menerusi skim wakalah, pembangunan asnaf, prasarana umat Islam, institusi pendidikan dan kebajikan.
Mimbar juga mengajak para Jemaah agar berwakaf dengan PPZ-MAIWP menerusi Wakaf Wilayah Persekutuan untuk kelestarian dan pembangunan umat Islam. Pewakaf juga berpeluang melihat hasil manfaat wakaf yang berterusan menerusi projek-projek yang merangkumi sektor sosial, ekonomi, kesihatan, pendidikan, hartanah dan kecemasan. Ingatlah, ibadah wakaf yang ditunaikan akan menjadi sedekah jariah yang berpanjangan pahala dan manfaatnya meskipun setelah meninggal dunia.
Tarikh Bacaan: 9 Ramadan 1447H | 27 Februari 2026M
Disediakan oleh: Cawangan Khutbah & Latihan, Bahagian Pengurusan Masjid,
Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan
Leave a comment