Bulan Ramadan adalah bulan penuh keberkatan. Segala amal kebaikan dilipatgandakan, namun timbul persoalan: adakah dosa juga digandakan dalam bulan ini?
Sebenarnya, dosa tidak digandakan dari segi jumlahnya. Satu dosa tetap dicatat sebagai satu dosa. Namun, kesalahannya menjadi lebih berat kerana dilakukan dalam bulan yang mulia. Nabi Muhammad SAW memberi peringatan keras tentang menghormati kesucian Ramadan. Dalam satu hadis, Abu Umamah al-Bahili meriwayatkan tentang azab bagi mereka yang berbuka puasa sebelum waktunya, menunjukkan betapa seriusnya pelanggaran ini.
Firman Allah SWT juga menegaskan:
“Sesiapa yang membawa amal kebaikan (pada hari kiamat), maka baginya (balasan) sepuluh kali ganda (dari kebaikan) yang sama dengannya; dan sesiapa yang membawa amal kejahatan, maka ia tidak dibalas melainkan (kejahatan) yang sama dengannya; sedang mereka tidak dianiaya (sedikitpun).” (Surah al-An‘am:160)
Hadis Qudsi turut menegaskan bahawa setiap dosa dicatat satu sahaja, manakala pahala boleh dilipatgandakan hingga 700 kali ganda, terutama puasa yang khusus balasannya hanya Allah yang mengetahui.
Para ulama menekankan bahawa dosa menjadi lebih berat dari segi kualiti dan akibat apabila dilakukan pada waktu atau tempat yang mulia, termasuk Ramadan. Oleh itu, pahala dilipatgandakan, tetapi dosa tetap satu, cuma lebih berat.
Kesimpulannya:
- Perbanyakkan amal soleh dalam Ramadan kerana pahalanya berlipat ganda.
- Jauhi maksiat, kerana dosa dalam bulan mulia ini lebih berat.
Marilah kita memuliakan Ramadan dengan penuh ketaatan dan kesedaran, agar setiap detik bulan ini memberi keberkatan yang berpanjangan.
Wallahuaʻlam.
Rujukan: PMWP
Leave a comment