Teks Khutbah Jumaat (Jakim): Nuzul Al-Quran: Dari Langit ke Hati 

شَهْرُ رَمَضَانَ ٱلَّذِىٓ أُنزِلَ فِيهِ ٱلْقُرْءَانُ هُدًۭى لِّلنَّاسِ وَبَيِّنَـٰتٍۢ مِّنَ ٱلْهُدَىٰ وَٱلْفُرْقَانِ ۚ فَمَن شَهِدَ مِنكُمُ ٱلشَّهْرَ فَلْيَصُمْهُ ۖ وَمَن كَانَ مَرِيضًا أَوْ عَلَىٰ سَفَرٍۢ فَعِدَّةٌۭ مِّنْ أَيَّامٍ أُخَرَ ۗ يُرِيدُ ٱللَّهُ بِكُمُ ٱلْيُسْرَ وَلَا يُرِيدُ بِكُمُ ٱلْعُسْرَ وَلِتُكْمِلُوا۟ ٱلْعِدَّةَ وَلِتُكَبِّرُوا۟ ٱللَّهَ عَلَىٰ مَا هَدَىٰكُمْ وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ(١٨٥) 

“(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa bulan itu; dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah ia berbuka, Kemudian wajiblah ia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. (Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur.” 

(Surah Al-Baqarah 2:185)

Sidang Jemaah Sekalian, 

Bertakwalah kepada Allah dengan beristiqamah dalam mematuhi perintahNya serta menjauhi segala larangan-Nya. Izinkan khatib mengingatkan diri ini dan seluruh hadirin yang dimuliakan agar bersama celikkan mata hati dan minda. Moga-moga setiap lafaz khutbah yang didengar dengan hati dan akal yang sedar, mendatangkan barakah dan pahala yang besar. 

Mimbar pada hari ini akan menyampaikan khutbah yang bertajuk “Nuzul alQuran: Dari Langit ke Hati”. 

Sidang Jemaah Yang Dimuliakan, 

Islam meletakkan al-Quran sebagai mukjizat agung yang wajib dipandu oleh setiap Muslim dalam setiap gerak geri kehidupan. Kandungan al-Quran bebas daripada keraguan, tidak mengandungi kesesatan serta menjadi pembeza antara hak dan batil, tidak melibatkan hawa nafsu dan tidak berkaitan dengan perkara yang menjauhkan hamba daripada Penciptanya.

 Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 185 yang menjelaskan peranan al-Quran yang dibacakan di mukadimah khutbah: “(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa bulan itu; dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah ia berbuka, Kemudian wajiblah ia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. (Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur.” 

Ayat ini jelas menunjukkan hubungan rapat antara Ramadan dan Quran serta kepentingannya menjadi pemisah antara hak dan batil. 

Muslimin Rahimakumullah, 

Dalam mendepani realiti dunia hari ini, kita sering ditawarkan dengan pelbagai ideologi yang menyesatkan umat Islam. Di sinilah letaknya kepentingan al-Quran sebagai panduan buat umat Islam agar setiap urusan kehidupan kita sentiasa selari dengan tuntutan syariat. Kefahaman yang benar terhadap al-Quran berpaksikan kepada penafsiran para ulama yang muktabar melalui ijtihad yang diiktiraf. 

Tujuannya adalah untuk menjelaskan penyelesaian terhadap isu-isu baharu yang timbul dalam masyarakat. Selain membezakan antara yang benar dan salah, al-Quran berfungsi melindungi umat Islam daripada kesesatan, sekali gus mendukung prinsip Maqasid Syariah dalam memelihara agama (hifz aldin). 

Segala usaha ini adalah demi memastikan setiap langkah yang diambil kekal dalam lingkungan yang diredai Allah SWT. 

Rasulullah SAW bersabda dalam hadis riwayat al-Tirmizi yang bermaksud “Sesiapa yang membaca satu huruf daripada kitab Allah maka baginya satu kebaikan. Satu kebaikan (dibalas) dengan sepuluh kebaikan. Aku tidak menyatakan Alif, Lam, Mim itu satu huruf tetapi Alif itu satu huruf, lam itu satu huruf dan Mim juga satu huruf.” 

Sehubungan itu, bagi mereka yang masih jauh daripada al-Quran dinasihatkan supaya segera bertaubat dan berusahalah untuk memperbaiki bacaan secepat mungkin dan tidak terus tenggelam dalam kejahilan. 

Sekiranya tidak berkemampuan belajar sendiri, tuntutlah ilmu melalui institusi-institusi atau kelas-kelas pengajian yang menawarkan bimbingan secara sahih. Ingatlah, al-Quran adalah sebagai cahaya, bukan sekadar tulisan. Segala ilmu yang dicari adalah wasilah bagi mencapai tujuan pengabdian kita kepada-Nya. 

Muslimin Yang Dimuliakan Allah,

Kesimpulan yang dapat diambil daripada khutbah hari ini ialah: 

1. Jangan Tinggalkan al-Quran. 

Tetapkanlah masa, walau hanya satu muka surat sehari, untuk membacanya.

 2. Bahaya Berpaling daripada Wahyu. 

Meninggalkan ajaran al-Quran atau memilih hukum mengikut selera peribadi akan membawa kepada kehidupan yang sempit di dunia dan kerugian besar di akhirat. 

3. Kewajipan Menuntut Ilmu dan Beramal. 

Setiap Muslim bertanggungjawab untuk mendalami al-Quran melalui bimbingan ulama yang muktabar. Kejayaan sebenar ialah sejauh mana penghayatan dan amalan ayat-ayat Allah SWT dalam menjalankan tugas sebagai khalifah di muka bumi.

Tarikh Dibaca: 16 Ramadan 1447H | 6 Mac 2026M 

Disediakan oleh: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑