Doa Berbuka Puasa: Adakah Ia Bersandar kepada Hadis?

Setiap kali tiba waktu berbuka puasa, kebanyakan umat Islam di Malaysia akan membaca doa berbuka yang sangat terkenal. Namun, timbul persoalan dalam kalangan masyarakat: adakah doa tersebut benar-benar bersandar kepada hadis Nabi SAW?

Doa yang sering diamalkan ialah:

اللَّهُمَّ لَكَ صُمْتُ، وَبِكَ آمَنْتُ، وَعَلَى رِزْقِكَ أَفْطَرْتُ، بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِين

Maksudnya: Ya Allah, kerana-Mu aku berpuasa, kepada-Mu aku beriman, dan dengan rezeki-Mu aku berbuka, dengan rahmat-Mu wahai Tuhan Yang Maha Pengasih.

Sebenarnya, sebahagian lafaz doa ini bersumber daripada hadis Nabi SAW iaitu:

اللَّهُمَّ لَكَ صُمْتُ، وَعَلَى رِزْقِكَ أَفْطَرْتُ

Hadis ini diriwayatkan dalam beberapa kitab hadis seperti karya Imam Abu Daud, Ibn Abi Syaibah, al-Tabarani dan al-Baihaqi. Namun dari sudut kajian sanad, hadis tersebut diriwayatkan secara mursal, iaitu periwayatan daripada generasi tabi‘in yang tidak menyebut secara langsung sahabat yang meriwayatkannya daripada Nabi SAW. Oleh itu, para ulama mengkategorikannya sebagai hadis daif.

Walaupun begitu, para ulama sepakat bahawa hadis daif masih boleh diamalkan dalam perkara fada’il al-a‘mal (kelebihan amalan), galakan berbuat baik dan doa, selagi ia tidak berkaitan dengan hukum hakam atau akidah. Oleh sebab itu, membaca doa berbuka puasa ini tetap dibenarkan dan telah menjadi amalan dalam kalangan umat Islam.

Tambahan lafaz “وَبِكَ آمَنْتُ” yang biasa dibaca oleh masyarakat juga tidak dianggap salah kerana maknanya benar. Para ulama menganggapnya sebagai bentuk bidaah hasanah, iaitu penambahan yang baik dan tidak bercanggah dengan syarak.

Dari sudut waktu membaca doa pula, ulama mazhab Syafie menyatakan bahawa sunat membaca doa ini selepas berbuka puasa. Bahkan jika seseorang berbuka dengan air terlebih dahulu, boleh juga ditambah dengan doa:

“ذهب الظمأ، وابتلت العروق، وثبت الأجر إن شاء الله تعالى”
yang bermaksud: “Telah hilang dahaga, telah basah urat-urat, dan telah tetap pahala, insya-Allah.”

Namun begitu, jika seseorang membacanya sebelum berbuka puasa, ia juga tidak menjadi kesalahan.

Kesimpulan

Doa berbuka puasa yang biasa diamalkan di Malaysia mempunyai asas daripada hadis, walaupun sanadnya dikategorikan sebagai hadis mursal dan daif. Ia tetap boleh diamalkan kerana termasuk dalam amalan doa dan galakan beribadah. Penambahan lafaz yang biasa dibaca masyarakat juga tidak menyalahi syarak kerana maknanya baik dan selari dengan ajaran Islam.

Wallahu a‘lam.

Rujukan: PMWP

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑