Teks Khutbah Jumaat (Wilayah Persekutuan): Lailatul Qadar: Malam Seribu Bulan

إِنَّآ أَنزَلْنَـٰهُ فِى لَيْلَةٍۢ مُّبَـٰرَكَةٍ ۚ إِنَّا كُنَّا مُنذِرِينَ (٣) فِيهَا يُفْرَقُ كُلُّ أَمْرٍ حَكِيمٍ (٤) 

 “Sesungguhnya Kami telah menurunkan Al-Quran itu pada malam yang berkat; (Kami berbuat demikian) kerana sesungguhnya Kami sentiasa memberi peringatan dan amaran (jangan hamba-hamba Kami ditimpa azab). (Kami menurunkan Al-Quran pada malam yang tersebut, kerana) pada malam yang berkat itu, dijelaskan (kepada malaikat) tiap-tiap perkara yang mengandungi hikmah serta tetap berlaku, (tidak berubah atau bertukar)”

(Surah al-Dukhan 44:3-4)

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,

Bertakwalah kepada Allah SWT dengan sebenar-benar takwa. Hanya dengan takwa, hati menjadi lembut, jiwa menjadi tenang dan hidup beroleh berkat. Berikanlah sepenuh perhatian terhadap khutbah ini dan jauhilah segala perkara yang mensia-siakan pahala Jumaat.

Khatib pada hari ini akan menyampaikan khutbah bertajuk: “Lailatul Qadar: Malam Seribu Bulan”.

Kaum Muslimin Yang Berbahagia,

Kita kini berada pada fasa terakhir bulan Ramadan. Hari-hari yang berlalu tidak akan kembali. Malam-malam yang telah pergi tidak akan berulang. Ramadan ini mungkin Ramadan terakhir dalam hidup kita dan kita tidak tahu adakah kita masih diberi peluang untuk bertemu Ramadan yang akan datang.

Dalam suasana inilah Allah SWT membuka satu pintu rahmat yang amat luas, iaitu Lailatul Qadar. Satu malam yang tidak ternilai harganya, satu malam yang Allah SWT sediakan sebagai hadiah istimewa kepada hamba-hamba-Nya yang ikhlas beramal dan ingin kembali dengan penuh kerendahan diri.

Inilah yang jelas dipaparkan dalam firman Allah SWT yang dibaca oleh khatib di awal khutbah, menerusi Surah al-Dukhan ayat 3 hingga 4, bermaksud: “Sesungguhnya Kami telah menurunkan Al-Quran itu pada malam yang berkat; (Kami berbuat demikian) kerana sesungguhnya Kami sentiasa memberi peringatan dan amaran (jangan hamba-hamba Kami ditimpa azab). (Kami menurunkan Al-Quran pada malam yang tersebut, kerana) pada malam yang berkat itu, dijelaskan (kepada malaikat) tiap-tiap perkara yang mengandungi hikmah serta tetap berlaku, (tidak berubah atau bertukar)”.

Para Tetamu Allah Yang Diberkati,

Lailatul Qadar bukan sekadar malam yang disebut dalam ayat al-Quran, tetapi malam yang menentukan nilai hidup seorang hamba. Amal yang dilakukan pada malam ini dinilai lebih baik daripada ibadah sepanjang usia. Dosa-dosa diampunkan. Kesalahan dihapuskan. Pintu rahmat dibuka seluas-luasnya. Namun, marilah kita bermuhasabah dengan jujur, adakah Lailatul Qadar benar-benar menjadi idaman hati kita, atau sekadar harapan yang tidak disertai kesungguhan?

Ada yang tahu tentang keistimewaannya, tetapi masih berat bangun malam. Ada yang mengharapkan keampunan, tetapi masih menangguhkan taubat. Ada yang bercita-cita bertemu Lailatul Qadar, tetapi masih membiarkan malamnya berlalu dalam kelalaian. Sesungguhnya Lailatul Qadar tidak dianugerahkan kepada hati yang lalai, tetapi kepada jiwa yang tunduk dan merendah diri di hadapan Allah SWT.

Rasulullah SAW telah memberi panduan yang jelas tentang jalan meraih malam yang agung ini sebagaimana hadis riwayat Imam al-Bukhari dan Imam Muslim, daripada Abu Hurairah radhiallahuanhu, Baginda SAW bersabda yang maksudnya: “Sesiapa yang menghidupkan malam Lailatul Qadar dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran daripada Allah, maka diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu.”

Hadis ini mengajar kita bahawa Lailatul Qadar bukan dicapai dengan tubuh yang berjaga semata-mata, tetapi dengan hati yang hidup, iman yang tulus dan harapan yang sepenuhnya bergantung kepada Allah SWT.

Selain itu, Rasulullah SAW turut mengajar amalan paling utama yang perlu diperbanyakkan oleh hamba yang mengharapkan Lailatul Qadar, seperti yang diriwayatkan Imam al-Tirmizi, daripada Sayidatina Aisyah radhiallahuanha, bahawa beliau bertanya kepada Rasulullah SAW tentang apa yang perlu diucapkan pada malam Lailatul Qadar. Lalu Baginda SAW bersabda yang maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Pengampun dan Engkau menyukai keampunan, maka ampunilah aku.”

Menghampiri fasa terakhir Ramadan ini, marilah kita memperbanyakkan doa dan memohon keampunan kepada Allah SWT. Rebutlah detik yang berbaki untuk bermunajat kepada-Nya sebelum Ramadan melabuhkan tirainya.

Para tetamu Allah yang dimuliakan,

Lailatul Qadar dirahsiakan oleh Allah SWT agar kita tidak memilih malam tertentu sahaja, tetapi bersungguh-sungguh menghidupkan seluruh sepuluh malam terakhir Ramadan. Inilah ujian keikhlasan. Hamba yang benar-benar mengidamkan Lailatul Qadar ialah mereka yang berusaha memperbaiki solatnya, mendekatkan diri dengan al-Quran, memperbanyakkan istighfar, serta membersihkan hati daripada dosa sesama manusia.

Lailatul Qadar bukan sekadar dihidupkan dengan kebangkitan jasad dari lenanya tidur. Malam ini juga malam kebangkitan jiwa. Malam untuk kembali. Malam untuk menangis di hadapan Allah SWT. Malam untuk merayu dan bermunajat dengan kesungguhan jiwa. Malam untuk memohon agar dosa yang memisahkan kita daripada rahmat-Nya dihapuskan. Ia adalah malam taubat, malam penyucian jiwa dan malam kembalinya seorang hamba kepada Allah SWT dengan penuh kerendahan diri.

Semoga kita ditakdirkan bertemu Lailatul Qadar dengan penuh keinsafan sebagai seorang hamba.

Mengakhiri khutbah ini, mimbar ingin meninggalkan tiga peringatan, mudah-mudahan memberi kesan dan iktibar bersama:

Pertama: Penuhilah masjid dan surau pada sepuluh malam terakhir Ramadan dengan bersungguh-sungguh dengan beriktikaf mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Kedua: Laksanakan ibadah dengan hati yang ikhlas dan penuh pengharapan, kerana rahmat Allah SWT tidak tertutup kepada hamba yang kembali dengan rendah diri.

Ketiga: Jadikan Lailatul Qadar sebagai titik perubahan hidup, bukan sekadar satu kenangan Ramadan yang berlalu tanpa kesan. Renungkanlah Surah al-Qadr ayat 1-3 buat kita bersama yang maksudnya: 

“Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar, Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatul-Qadar itu? Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan”

Tarikh Bacaan: 23 Ramadan 1447H | 13 Mac 2026M

Disediakan oleh: Cawangan Khutbah & Latihan, Bahagian Pengurusan Masjid, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑