1. Menghidupkan Malam 1 Syawal dengan ibadah
Abu Umamah al-Bahili meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Sesiapa yang bangun menghidupkan malam Dua Hari Raya dengan ibadah dalam keadaan mengharapkan ganjaran Allah, hatinya tidak akan mati tatkala hari sekalian hati mati.” (Sunan Ibn Majah: 1782, dinilai hasan oleh Imam Ibn Muflih al-Hanbali di dalam al-Furu’: 2/408)
Imam al-Syafi’i berkata yang bermaksud:
“Saya melihat para mashaykh dalam kalangan orang terbaik ahli Madinah duduk di Masjid Nabawi pada malam Hari Raya untuk berdoa dan berzikir kepada Allah sehingga larut malam, dan saya menganjurkan kesemua yang dihikayatkan ini pada malam-malam ini; namun dengan syarat, tidak sampai ia menjadi suatu kewajiban.” (Imam al-Syafi’i, al-Umm: 2/264)
2. Memperbanyakkan Takbir Bermula Tenggelamnya Matahari Akhir Ramadan hingga Sebelum Solat Sunat Aidilfitri
Allah berfirman:
وَلِتُكَبِّرُوا۟ ٱللَّهَ
“Hendaklah kalian bertakbir membesarkan Allah.” (Surah al-Baqarah 2:185)
Imam Ibn Hajar al-Haytami berkata yang bermaksud: “Iaitu, sunat bertakbir selepas selesai berpuasa Ramadan (sempena Hari Raya Aidilfitri).”
Imam al-Nawawi berkata yang bermaksud:”Disunatkan bertakbir bermula terbenamnya matahari akhir Ramadan memasuki Malam Raya,.. dan pendapat al-azhar dalam mazhab menyatakan: sunat tempoh bertakbir berakhir ketika Imam bertakbiratul ihram mendirikan Solat Raya.” (Imam Ibn Hajar al-Haytami, Tuhfah al-Muhtaj: 3/51)
3. Mandi Sunat Sebelum Solat Sunat Aidilfitri
al-‘Allamah al-Ramli berkata yang bermaksud: (Disunatkan) bersempenanya (untuk mandi) bagi kedua-kedua perayaan ini sama ada Aidilfitri mahupun Aidiladha berdasarkan qiyas dengan hari Jumaat.” (Imam al-Syams al-Ramli, Nihayat al-Muhtaj: 2/392)
4. Mengemaskan Diri
al-‘Allamah Ibn Hajar al-Haytami berkata: “Seperti berwangian dan mencukur bulu-bulu serta kuku,.. disunatkan di sini (sempena Hari Raya Aidilfitri) bagi setiap seorang.” (Imam Ibn Hajar al-Haytami, Tuhfah al-Muhtaj: 3/47)
5. Memakai Pakaian Terbaik Ketika Solat Aidilfitri
al-‘Allamah al-Ramli berkata: “(Disunatkan berhias cantik seperti Hari Jumaat) dengan memakai baju tercantik dan warna yang afdal adalah putih.” (Imam al-Ramli, Nihayah al-Muhtaj: 2/393)
al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani berkata: “(Faedah): Ibn Abi al-Dunya dan al-Bayhaqi meriwayatkan dengan sanad yang sahih bahawa Ibn ‘Umar memakai pakaian beliau yang terbaik ketika pergi menuju Solat Hari Raya.” (Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari: )
5. Memakan Beberapa Biji Tamar Dengan Bilangan Ganjil Sebelum Keluar Solat Sunat Aidilfitri
Anas bin Malik meriwayatkan bahawa:
كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَا يَغْدُو يَوْمَ الْفِطْرِ حَتَّى يَأْكُلَ تَمَرَاتٍ… وَيَأْكُلُهُنَّ وِتْرًا
“Rasulullah SAW tidak keluar ke masjid untuk Solat Raya melainkan selepas baginda makan beberapa biji tamar,… dan baginda makan dengan jumlah yang ganjil.” (Riwayat al-Bukhari: 953)
al-Khatib al-Syirbini berkata:
وأن يأكل قبلها في عيد فطر والأولى أن يكون على تمر وأن يكون وترًا
“(Dan disunatkan) untuk makan sebelum menunaikan solat sunat pada Hari Raya Aidilfitri, dan yang lebig afdal adalah memakan tamar (kurma kering) dengan jumlah yang ganjil.” (al-Bijirimi, Tuhfah al-Habib bi Syarh al-Khatib: 2/222)
6. Menunaikan Solat Sunat Aidilfitri Berjemaah
al-‘Allamah Ibn Hajar al-Haytami berkata: “(Disyariatkan) iaitu disunatkan (dilaksanakannya secara berjemaah) dan ia merupakan afdal (paling utama).” (Imam Ibn Hajar al-Haytami, Tuhfat al-Muhtaj: 3/40)
7. Pergi dan Pulang Ke Masjid Untuk Solat Sunat Aidilfitri Dengan Jalan Yang Berbeza
Jabir bin ‘Abdillah berkata:
كان النبي صلى الله عليه وسلم إذا كان يوم العيد خالف الطريق
“Nabi SAW ketika Hari Raya akan pergi ke masjid dengan jalan yang lain, dan pulang dari masjid dengan jalan yang lain.” (Riwayat al-Bukhari: 986)
Imam Ibn al-Muqri berkata:
ويذهب إليها في طريق ويرجع في أخرى.. ويخص الذهاب بالطويلة
“(Disunatkan) untuk pergi menuju (solat raya) dengan suatu jalan, dan pulang dengan jalan yang lain. Dan dikhususkan supaya jalan ketika pergi untuk merupakan jalan yang lebih panjang.” (Shaykh al-Islam Zakariyya al-Ansari, Asna al-Matalib Syarh al-Raud al-Murbi’: 1/283)
8. Mengucapkan Ucapan Tahniah “Taqabbalallahu Minna Waminkum”
al-‘Allamah al-Bajuri berkata:
وتسنّ التهنئة بالعيد.. بنحو: تقبل الله منا ومنكم
“Disunatkan mengucapkan tahniah sempena sambutan Eid, contohnya: ucapan Taqabbalallah minna wa minkum.” Hasyiah al-Bajuri ‘ala Ibn Qasim: 2/185)
Sumber: Jabatan Mufti Negeri Pahang
Leave a comment