وَإِن تَعُدُّوا۟ نِعْمَةَ ٱللَّهِ لَا تُحْصُوهَآ ۗ إِنَّ ٱللَّهَ لَغَفُورٌۭ رَّحِيمٌۭ (١٨)
“Dan jika kamu menghitung nikmat Allah (yang dilimpahkannya kepada kamu), tiadalah kamu akan dapat menghitungnya satu persatu; sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”
(Surah Al- Nahl 16:18)
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah SWT atas segala nikmat. Bertakwalah kepada Allah dengan beristiqamah dalam mematuhi perintah-Nya serta menjauhi segala larangan-Nya. Semoga kita akan beroleh ketenangan dan kebahagiaan di dunia yang sementara ini dan di akhirat yang kekal selamanya.
Izinkan khatib mengingatkan diri ini dan seluruh hadirin yang dimuliakan. Mari kita sama-sama celikkan mata hati dan minda. Moga-moga setiap lafaz khutbah yang didengar dengan hati dan akal yang sedar, mendatangkan barakah dan pahala yang besar.
Pada penghulu segala hari yang mulia ini, mimbar ingin mengangkat satu tema yang sangat dekat dengan kehidupan kita semua, iaitu “Ramadan Dirindui, Pengampunan Diraih.”
Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Ramadan bakal melabuhkan tirainya. Sebulan kita dididik dalam madrasah taqwa, menahan lapar dan dahaga, menjaga lisan dan pandangan, memperbanyakkan membaca al-Quran dan qiyam pada sepertiga malam. Kita memohon agar segala amal itu diterima dan segala dosa diampunkan. Kini persoalannya, apakah kesan Ramadan itu kekal hidup dalam jiwa kita?
Allah SWT berfirman dalam petikan Surah al-Nahl ayat 18:
“Dan jika kamu menghitung nikmat Allah (yang dilimpahkannya kepada kamu), tiadalah kamu akan dapat menghitungnya satu persatu; sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”
Ayat ini mengingatkan kita bahawa nikmat Allah SWT terlalu luas sehingga tidak mampu dihitung satu persatu, termasuklah nikmat dipertemukan dengan Ramadan yang penuh keberkatan. Kini apabila Ramadan hampir meninggalkan kita dan Syawal bakal menjelma, kita sedar bahawa peluang beribadah, memohon keampunan dan mendekatkan diri kepada Allah merupakan nikmat yang sangat besar. Namun dalam keterbatasan syukur kita, Allah SWT tetap melimpahkan keampunan dan kasih sayang-Nya.
Justeru, janganlah kita mensia-siakan nikmat Ramadan yang telah berlalu, sebaliknya teruskan ketaatan dan kesyukuran dalam kehidupan agar Syawal yang disambut menjadi tanda kemenangan yang diberkati, bukan sekadar kegembiraan yang sementara.
Kaum Muslimin Yang Berbahagia,
Hakikatnya, Ramadan adalah bulan latihan manakala Syawal pula adalah bulan ujian. Jika Ramadan melatih kita untuk bangun malam, Syawal pula akan menguji kita sama ada kita masih lagi menjaga solat malam tersebut. Jika Ramadan membiasakan lidah kita dengan zikir dan tilawah, Syawal pula menguji kita sama ada al-Quran itu masih menjadi teman setia atau sebaliknya.
Jika Ramadan melembutkan hati dengan taubat dan tangisan, Syawal pula menguji sama ada kita masih takut untuk kembali kepada dosa. Ketaatan bukan sekadar suasana. Orang yang benar-benar meraih pengampunan ialah mereka yang istiqamah selepas Ramadan. Hari ini, marilah kita bermuhasabah. Adakah kita benar-benar kembali kepada fitrah yang suci? Atau sekadar kembali kepada kebiasaan lama? Janganlah Ramadan yang dirindui itu hanya tinggal nostalgia, tanpa meninggalkan perubahan yang nyata dalam diri kita.
Tetamu-Tetamu Allah Yang Diberkati,
Ada yang bergembira dengan berakhirnya Ramadan dan ada juga yang diam-diam berasa hiba atas pemergiannya. Kegembiraan sebahagian mungkin kerana merasakan beban telah terangkat dan rutin kembali seperti sediakala. Namun kesedihan yang dirasai oleh sebahagian yang lain adalah mungkin kesedihan yang timbul dari jiwa yang gusar, menyoal diri sendiri adakah segala amalan sepanjang Ramadannya diterima atau sekadar menjadi ibadah bermusim yang tiada nilai disisi-Nya.
Rasulullah SAW bersabda dalam hadis riwayat Imam at-Tirmizi daripada Syaddad bin Aus RA yang maksudnya: “Orang yang bijaksana ialah orang yang menghitung dirinya dan beramal untuk kehidupan selepas kematian, manakala orang yang lemah ialah orang yang mengikuti hawa nafsunya lalu berangan-angan terhadap Allah.”
Para Salafussoleh terdahulu juga tidak terlepas daripada rasa ‘kehilangan’ ini. Apabila Ramadhan berakhir, mereka akan berasa sedih, insaf, dan menyesali diri sekiranya amalannya belum sempurna. Sebagaimana nukilan Al-Hafiz Ibnu Rajab al-Hanbali RHM: “Bagaimana mungkin seorang mukmin tidak meneteskan air mata kerana perpisahan dengan Ramadhan, padahal ia tidak tahu apakah dirinya masih akan dipertemukan kembali dengannya tahun depan”
Sidang Jemaah Yang Dirahmati Allah,
Dalam kita menikmati suasana Ramadan yang penuh keberkatan, dalam damai dan tenang di bumi tercinta ini, janganlah kita lalai daripada mengingati saudara-saudara kita di belahan dunia yang lain. Ketika kita berbuka dengan penuh syukur, ada yang berbuka dalam kebimbangan. Ketika kita bersujud dengan aman, ada yang bersujud dalam linangan air mata di tengah suasana yang tidak menentu. Khususnya di beberapa wilayah dunia termasuk di rantau Asia Barat, pergolakan dan konflik yang berpanjangan terus menguji ketabahan manusia.
Ia bukan sekadar khabar yang kita dengar, tetapi realiti yang sedang dilalui termasuklah kehilangan nyawa, terpisahnya keluarga, dan runtuhnya tempat bergantung harapan. Dari situ, kita seharusnya tersedar betapa besar dan mahalnya nikmat keamanan yang Allah SWT kurniakan kepada kita.
Kesan daripada konflik ini bukan sahaja dirasai di sana, bahkan tempiasnya sampai kepada kita melalui kenaikan kos sara hidup dan ketidakstabilan ekonomi. Maka dalam situasi ini, umat Islam perlu mengambil langkah yang lebih bijak dalam mengurus kehidupan.
Pertama, kawallah perbelanjaan dan elakkan pembaziran ketika berhari raya serta berbelanja sekadar kemampuan, bukan mengikut kehendak.
Kedua, utamakan keperluan berbanding kemewahan, serta mula menyimpan walaupun sedikit sebagai persediaan menghadapi keadaan yang tidak menentu.
Ketiga, didik ahli keluarga agar menghargai rezeki dan tidak berlebih-lebihan dalam makanan, pakaian dan sambutan.
Keempat, berhati-hati dalam menerima dan menyebarkan maklumat serta pastikan ia sahih dan tidak menimbulkan kekeliruan dalam masyarakat. Inilah langkah kecil yang mampu kita lakukan, namun besar kesannya dalam menjaga kestabilan diri, keluarga dan masyarakat.
Akhirnya, marilah kita memperbanyakkan doa kepada Allah SWT agar dunia ini kembali aman, dan kita semua terus dikurniakan kesejahteraan serta kekuatan menghadapi segala ujian.
Dalam kita membuat persiapan menyambut Syawal dan pulang ke kampung halaman, ingatlah bahawa keselamatan diri dan keluarga merupakan satu amanah yang besar. Berhati-hatilah di jalan raya, patuhilah peraturan dan elakkan sikap tergesa-gesa serta melampaui batas ketika memandu.
Dalam masa yang sama, kita juga hendaklah mengawal perbelanjaan dan tidak berlebih-lebihan dalam persiapan hari raya, selari dengan peringatan Allah SWT agar kita tidak melampaui batas dalam kehidupan. Sesungguhnya kegembiraan Syawal tidak terletak pada kemewahan atau pembaziran, tetapi pada keselamatan, kesederhanaan dan keberkatan. Janganlah kegembiraan bertukar menjadi penyesalan akibat kecuaian di jalan raya atau sikap berlebihan dalam kehidupan.
Pada kesempatan ini juga, suka Khatib mengingatkan kepada para jemaah agar menunaikan zakat fitrah sebelum tamat tempohnya. Zakat fitrah adalah kewajipan yang menyempurnakan ibadah puasa kita di bulan Ramadan. Tanpa menunaikannya, amalan puasa kita belum sempurna dan ganjarannya tidak terangkat sepenuhnya.
Mengakhiri khutbah ini, izinkan khatib meninggalkan tiga pesanan buat jiwa yang merindui Ramadan:
Pertama: Teruskanlah memupuk kelembutan hati yang telah dibina sepanjang Ramadan ini dengan bersolat, membaca al-Quran dan bersujud sebagai jalan untuk sentiasa dekat dengan Allah SWT.
Kedua: Teruskan amalan walaupun sedikit sebagaimana yang dilakukan sepanjang Ramadan, kerana Allah SWT tidak menilai banyaknya amalan, tetapi menilai istiqamahnya.
Ketiga: Tunaikanlah zakat fitrah yang telah difardhukan ke atas kita. Ia menyempurnakan puasa, membersihkan harta dan menunaikan hak mereka yang memerlukan.
Semoga umat Islam yang pernah melalui Ramadan termasuk dalam kalangan hamba yang diampunkan Allah SWT dan terus hidup dalam ketaatan selepasnya. Semoga Syawal ini pula menjadi saksi bahawa cinta kepada Allah SWT tidak bersifat bermusim, tetapi berterusan hingga ke akhir hayat.
Tarikh Dibaca: 30 Ramadan 1447H 20 Mac 2026M
Disediakan oleh: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
Leave a comment