Teks Khutbah Aidilfitri (Wilayah Persekutuan): Mensyukuri Nikmat, Memelihara Takwa

 اللَّهُ أَكْبَرُ، اللَّهُ أَكْبَرُ، اللَّهُ أَكْبَرُ

 اللَّهُ أَكْبَرُ، اللَّهُ أَكْبَرُ، اللَّهُ أَكْبَرُ

  اللَّهُ أَكْبَرُ، اللَّهُ أَكْبَرُ، اللَّهُ أَكْبَرُ   

اللَّهُ أَكْبَرُ كَبِيْرًا وَالْحَمْدُ لِلَّهِ كَثِيرًا وَسُبْحَانَ اللَّهِ بُكْرَةً واَصِيْلاً, لَااِلٰهَ اِلَّا اللَّهُ وَلَانَعْبُدُ اِلَّا إِيَّاهُ مُخْلِصِيْنَ لَهُ الدِّيْنَ, وَلَوْ كَرِهَ الكَا فِرُونَ, لَااِلٰهَ اِلَّا اللَّهُ وَحْدَهُ, صَدَقَ وَعْدَهُ, وَنَصَرَ عَبْدَهُ, وَأَعَزَّجُنْدَهُ وَهَزَمَ الْاَحْزَابَ وَاحْدَهُ, لَااِلٰهَ اِلَّااللَّهُ وَاللَّهُ أَكْبَرُ، اللَّهُ أَكْبَرُ وَلِلَّهِ الْحَمْدُ

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِۦ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ (١٠٢)

“Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa, dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.”

(Surah Ali Imran 3:102)

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,

Takbir raya berkumandang, menandakan berakhirnya Ramadan yang penuh keberkatan. Sepanjang sebulan kita berpuasa, kita telah menahan diri daripada makan dan minum serta berusaha menjauhi maksiat dan perkara yang dimurkai Allah SWT.

Justeru, pada hari kemenangan ini marilah kita terus bertakwa kepada Allah dengan mematuhi segala perintah-Nya serta menjauhi segala larangan-Nya. Bagi memaknai Syawal, marilah kita bersama-sama menghayati khutbah yang bertajuk: “Mensyukuri Nikmat, Memelihara Takwa.”

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,

Setiap tanggal 1 Syawal, umat Islam meraikan hari kemenangan setelah berjaya menunaikan ibadah puasa sepanjang bulan Ramadan. Kita bersyukur kepada Allah SWT kerana telah memberikan kekuatan kepada kita untuk berpuasa dan melakukan pelbagai ibadah sepanjang bulan yang penuh rahmat itu.

Sepanjang sebulan berpuasa, kita telah berusaha mendidik diri, menahan hawa nafsu, serta menghadapi pelbagai ujian dan dugaan demi mendapatkan keredaan Allah SWT. Itulah tujuan utama Ramadan. Firman Allah SWT dalam surah Ali Imran ayat 102 yang dibacakan pada muqadimah khutbah yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa, dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.”

 اللَّهُ أَكْبَرُ اللَّهُ أَكْبَرُ اللَّهُ أَكْبَرُ وَلِلَّهِ الْحَمْدُ

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,

Aidilfitri juga merupakan tanda kemenangan rohani bagi orang yang beriman. Ia melambangkan kemenangan manusia dalam perjuangan antara akal dan nafsu. Puasa di bulan Ramadan membantu kita menundukkan nafsu yang sentiasa mendorong melakukan dosa dan kemaksiatan.

Hari raya ini adalah hadiah daripada Allah SWT selepas sebulan kita berusaha mendekatkan diri kepada-Nya. Tiada kegembiraan yang lebih besar bagi seorang mukmin selain daripada amal ibadahnya diterima oleh Allah SWT. Perkara ini dijelaskan dalam hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Imam Abu Daud Rahimahullah daripada Anas bin Malik radiallahuanhu yang maksudnya: “Ketika Rasulullah SAW datang ke Madinah, penduduknya mempunyai dua hari untuk berseronok. Baginda bertanya: Apakah dua hari ini? Mereka menjawab: Dahulu kami bergembira pada hari tersebut pada zaman jahiliah. Lalu Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya Allah telah menggantikan dua hari tersebut dengan dua hari yang lebih baik, iaitu hari Aidiladha dan hari Aidilfitri.”

 اللَّهُ أَكْبَرُ اللَّهُ أَكْبَرُ اللَّهُ أَكْبَرُ وَلِلَّهِ الْحَمْدُ

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,

Tanggal 1 Syawal adalah saat kemenangan dimana kebenaran mengatasi kebatilan. Inilah makna takbir yang kita laungkan pada hari ini. Lafaz Allahu Akbar bukan sekadar ucapan di bibir, tetapi satu pengakuan bahawa Allah SWT harus diagungkan dalam setiap aspek kehidupan kita.

Ingatlah ketika Baginda SAW kembali sebagai pemimpin yang dimenangkan Allah pada Pembukaan Kota Makkah. Tiada sekelumit dendam dilepaskan terhadap musuh yang pernah menyakiti dan mengusir Baginda. Sebaliknya, Rasulullah SAW menghamparkan kemaafan seluas langit dan membebaskan mereka tanpa sebarang pembalasan.

Sebagai umat Islam, kita tidak seharusnya tunduk membiarkan maruah agama kita dipersenda. Kita sepatutnya berbangga dengan identiti Islam dan teguh mempertahankan kebenaran. Namun, sirah mengajarkan kita bahawa kesanggupan untuk memaafkan orang lain di saat berada di puncak kemenangan bukanlah satu kelemahan. Bahkan itulah lambang ketinggian akhlak dan keutuhan jiwa seorang mukmin yang hakiki.

 اللَّهُ أَكْبَرُ اللَّهُ أَكْبَرُ اللَّهُ أَكْبَرُ وَلِلَّهِ الْحَمْدُ

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,

Pada hari ini kita saling berkunjung dan mengucapkan tahniah dalam suasana ceria dan penuh kemesraan. Islam menggalakkan umatnya memupuk kasih sayang serta mengeratkan hubungan dengan ibu bapa, keluarga, jiran dan masyarakat tanpa mengira pangkat dan usia.

Renungkan hadis riwayat Imam al-Bukhari Rahimahullah, daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Mereka tidak akan masuk syurga sehingga mereka beriman dan tidak beriman mereka itu sehingga mereka berkasih sayang. Adakah kalian mahu aku tunjukkan sesuatu yang mana apabila kalian mengerjakannya nescaya kalian akan saling menyayangi sesama kalian? Sebarkanlah salam sesama kalian.”

Aidilfitri ialah waktu terbaik untuk menyuburkan kasih sayang. Salam bukan sekadar ucapan, tetapi doa kesejahteraan yang menumbuhkan kasih sayang dan mengeratkan persaudaraan. Memberi salam adalah sunat yang sangat dituntut, manakala menjawabnya ialah kewajipan.

Di samping bergembira meraikan Syawal, jangan kita melupakan nasib saudara-saudara kita yang berhadapan dengan ujian getir peperangan khususnya di Palestin. Teruskan berdoa agar mereka diberikan kesabaran, kekuatan dan kemenangan. Teruskan menghulurkan sumbangan membantu mereka yang memerlukan.

 اللَّهُ أَكْبَرُ اللَّهُ أَكْبَرُ اللَّهُ أَكْبَرُ وَلِلَّهِ الْحَمْدُ

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,

Mengakhiri khutbah pada hari ini, marilah kita menghayati beberapa kesimpulan sebagai renungan kita bersama:

Pertama: Aidilfitri adalah tanda kemenangan setelah berjaya menunaikan ibadah puasa dan menundukkan hawa nafsu sepanjang Ramadan.

Kedua: Semangat Ramadan perlu diteruskan dengan istiqamah beribadah dan memelihara ketakwaan kepada Allah SWT.

Ketiga: Kesyukuran pada hari raya hendaklah dizahirkan melalui amalan kebaikan seperti mengeratkan silaturrahim dan menyebarkan salam.

Marilah kita sama-sama renungi firman Allah SWT dalam Surah Ibrahim ayat 7 maksudnya: “Dan ingatlah ketika Tuhanmu berfirman: Jika kamu bersyukur, nescaya Aku akan menambahkan nikmat-Ku kepadamu; tetapi jika kamu ingkar, maka sesungguhnya azab-Ku sangatlah pedih.”

 اللَّهُ أَكْبَرُ اللَّهُ أَكْبَرُ اللَّهُ أَكْبَرُ وَلِلَّهِ الْحَمْدُ

Tarikh Dibaca: 1 Syawal 1447H | 21 Mac 2026M

Disediakan oleh: Cawangan Khutbah Dan Latihan Bahagian Pengurusan Masjid, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑