وَإِذْ تَأَذَّنَ رَبُّكُمْ لَئِن شَكَرْتُمْ لَأَزِيدَنَّكُمْ ۖ وَلَئِن كَفَرْتُمْ إِنَّ عَذَابِى لَشَدِيدٌۭ(٧)
“Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: “Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras”
(Surah Ibrahim 14:7)
Sidang Jemaah yang dimuliakan,
Bertakwalah kepada Allah SWT dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Sesungguhnya takwa adalah bekalan yang paling utama dan sebaik-baik perisai di dunia dan di akhirat. Berikan sepenuh tumpuan kepada khutbah yang disampaikan dan jauhkan daripada sebarang gangguan seperti bermain telefon bimbit, bersembang atau tidur.
Semoga setiap nasihat yang didengari akan menyuburkan hati dan membimbing kita ke arah kebaikan. Mimbar pada hari ini akan membicarakan khutbah yang bertajuk: “Merayakan Kemenangan, Memperkukuh Persaudaraan”
Para Tetamu Allah yang diberkati,
Alhamdulillah, seminggu sudah kita meraikan Aidilfitri sebagai hari kemenangan dan hari kegembiraan. Di tengah kemeriahan ini, jangan kita lupa untuk turut merebut peluang berpuasa enam hari di bulan Syawal. Dari sudut pelaksanaannya, agama kita memberikan keluasan. Cara yang paling afdal adalah menyegerakannya secara berturut-turut bermula pada 2 Syawal.
Namun, kita boleh berpuasa secara berasingan atau berselang hari pada bilabila masa sepanjang bulan ini. Ataupun menggabungkannya pada hari-hari putih iaitu 13, 14, dan 15 Syawal. Pilihlah cara yang mudah mengikut kelapangan masing-masing.
Paling utama ialah kita berusaha merebut ganjaran besar yang dijanjikan ini. Inilah bukti penzahiran kesyukuran terhadap Allah SWT di bulan Syawal seperti firman Allah dalam Surah Ibrahim ayat 7 pada awal khutbah yang bermaksud: “Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: “Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras”
Kaum Muslimin Yang Berbahagia,
Pada bulan Syawal ini banyak budaya baik yang telah menjadi kelaziman oleh masyarakat. Alangkah baiknya jika budaya ini didasari dengan niat yang betul kerana perkara ini boleh menjadi satu bentuk ibadah yang besar nilainya di sisi Allah SWT. Dengan kefahaman yang benar sudah pasti kita akan memastikan budaya-budaya ini mengikut syariat sebaik mungkin. Sebagaimana kata al-Imam Ibn Hajar al-Asqalani Rahimahullah: “Menzahirkan perasaan bergembira pada hari-hari perayaan adalah di antara syiar Islam”
Budaya yang dimaksudkan seperti menganjurkan rumah terbuka, pemberian duit raya dan bermaaf-maafan. Apabila seseorang membuka pintu rumahnya menjemput tetamu untuk menikmati hidangan, dengan niat memuliakan mereka dan bersedekah, maka jamuan itu bukan lagi sekadar adat tetapi menjadi ibadat dan amal soleh.
Justeru, jadikanlah rumah terbuka sebagai medan menyebarkan rahmah, mengeratkan silaturahim dan menghidupkan sunah memberi makan, agar kegembiraan Syawal turut membawa ganjaran yang berkekalan di sisi Allah SWT. Diriwayatkan oleh al-Tirmizi daripada Abdullah bin Salam radiyallahuanhu, Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “Wahai manusia, sebarkanlah salam, berilah makan dan solatlah ketika manusia sedang tidur nescaya kamu akan masuk ke dalam syurga dengan sejahtera.”
Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Selain itu, budaya memberi duit raya juga wajar difahami dengan adab dan hikmahnya. Memberi duit raya juga ialah ibadah apabila diniatkan sebagai sedekah, mengeratkan silaturahim dan menggembirakan hati orang lain khususnya kanak-kanak. Di dalam Al-Kafi li Al-Fatawi no.637, terbitan Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan telah memberikan garis panduan berkenaan pemberian duit raya.
Pertama: Pemberian tersebut tidak seharusnya dilakukan secara takalluf, iaitu memaksa diri memberi dengan jumlah yang besar sehingga membebankan. Islam tidak menilai pada banyaknya pemberian, tetapi pada keikhlasan dan kemampuan.
Kedua: Bagi yang menerima pula, hendaklah bersyukur dengan apa yang diperoleh dan tidak mengungkit atau membanding-bandingkan. Sebaliknya, balaslah dengan doa dan penghargaan kepada pemberi.
Ketiga: Dalam masa yang sama, hendaklah kita memberi keutamaan kepada golongan fakir miskin, anak yatim dan mereka yang memerlukan. Sesungguhnya mereka inilah golongan yang paling berhak menerima bantuan dan perhatian daripada kita.
Saudara-Saudaraku yang dikasihi,
Di samping itu, ucapan “maaf zahir dan batin” juga merupakan budaya masyarakat kita. Persoalannya, adakah ia sekadar adat pada hari raya, atau lahir daripada hati yang benar-benar ikhlas? Hakikatnya, ungkapan ini mempunyai makna yang mendalam. Ia bukan sekadar lafaz di bibir, tetapi suatu pengakuan untuk memohon kemaafan sesama kita atas segala kesalahan yang nyata mahupun yang tersembunyi. Bermaaf-maafan ialah budaya yang sangat dianjurkan dalam Islam.
Hati yang dipenuhi dengan iman akan mudah memaafkan kerana menyedari bahawa setiap manusia tidak terlepas daripada kesilapan. Dengan memaafkan, permusuhan dapat dipadamkan dan kasih sayang dapat disuburkan. Bahkan musuh boleh berubah menjadi sahabat hanya kerana kemaafan yang ikhlas. Inilah kekuatan saling bermaaf-maafan yang mampu memulihkan ukhuwah dan menguatkan perpaduan dalam masyarakat.
Allah SWT berfirman dalam surah al-Nur ayat 22 yang maksudnya: “Dan (sebaliknya) hendaklah mereka memaafkan serta melupakan kesalahan orang-orang itu; tidakkah kamu suka supaya Allah mengampunkan dosa kamu? Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.”
Mengakhiri khutbah pada hari ini, mimbar ingin menitipkan tiga pengajaran penting yang perlu kita sematkan dalam jiwa dan tindakan:
Pertama: Kekalkan ‘mood ibadah’ selepas Ramadan dengan melaksanakan Puasa Enam Syawal kerana ganjarannya menyamai pahala berpuasa sepanjang tahun sekaligus menandakan kesinambungan tarbiah Ramadan dalam kehidupan.
Kedua: Hidupkan budaya Syawal dengan menyebarkan kasih sayang melalui budaya rumah terbuka, memuliakan tetamu dan pemberian duit raya. Sambutlah Aidilfitri dengan penuh kesederhanaan, berbelanjalah secara berhemah dan elakkan pembaziran.
Ketiga: Suburkan budaya memaafkan antara satu sama lain dengan penuh keikhlasan kerana kemaafan menjadi asas kekuatan persaudaraan, keharmonian masyarakat dan jalan memperoleh keampunan serta rahmat Allah SWT. Renungkan firman Allah SWT di dalam surah al-A’raf ayat 31:
يَـٰبَنِىٓ ءَادَمَ خُذُوا۟ زِينَتَكُمْ عِندَ كُلِّ مَسْجِدٍۢ وَكُلُوا۟ وَٱشْرَبُوا۟ وَلَا تُسْرِفُوٓا۟ ۚ إِنَّهُۥ لَا يُحِبُّ ٱلْمُسْرِفِينَ(٣١)
Maksudnya: “Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah ٺ ٿ چ berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat ibadat (atau mengerjakan sembahyang) dan makanlah serta minumlah dan jangan pula kamu melampau; sesungguhnya Allah tidak suka akan orang-orang yang melampaui batas.”
(Surah al-A’raf ayat 31)
Tarikh Bacaan : 7 Syawal 1447H 27 Mac 2026M
Disediakan oleh : Cawangan Khutbah & Latihan Bahagian Pengurusan Masjid, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan
Leave a comment