قَدْ أَفْلَحَ ٱلْمُؤْمِنُونَ (١)ٱلَّذِينَ هُمْ فِى صَلَاتِهِمْ خَـٰشِعُونَ (٢)وَٱلَّذِينَ هُمْ عَنِ ٱللَّغْوِ مُعْرِضُونَ(٣)
“Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman, Iaitu mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya; Dan mereka yang menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan yang sia-sia”.
(Surah al-Mukminun 23:1-3)
Sidang Jemaah Yang Dirahmati Allah,
Marilah kita bertakwa kepada Allah SWT dengan sebenar-benar takwa. Taatilah segala perintah-Nya dan jauhilah segala larangan-Nya.
Tumpukan sepenuh perhatian kepada khutbah. Tinggalkan segala perbuatan yang lagha terutamanya bermain-main telefon bimbit sewaktu khutbah disampaikan. Semoga kita semua sentiasa dilimpahi rahmat dan keberkatan Allah SWT.
Khutbah pada hari ini akan membicarakan tajuk: “Bijak Menapis Kandungan, Memperkasa Keimanan”
Sidang Jemaah Yang Dikasihi Sekalian,
Kita kini hidup dalam arus teknologi yang bergerak pantas. Telefon pintar dan media sosial telah menjadi sebahagian daripada kehidupan seharian. Jabatan Perangkaan Malaysia melaporkan bahawa Penggunaan dan Capaian ICT oleh Individu dan Isi Rumah 2024 telah mencatatkan sebanyak 99.5% dan penggunaan internet di seluruh negara telah mencapai 96.8%. Angka ini jelas menunjukkan setiap daripada kita mempunyai capaian kepada teknologi.
Tidak dinafikan media sosial membawa kebaikan yang signifikan sebagai alat komunikasi pantas, sumber maklumat tanpa had dan platform perniagaan yang efektif. Ia memudahkan pembelajaran jarak jauh, merapatkan hubungan sosial serta menjimatkan masa dan kos dalam penyebaran maklumat.
Namun, di sebalik kemudahan ini, muncul satu penyakit yang membimbangkan, iaitu brain rot atau minda bertih. Ia merupakan fenomena keadaan seseorang yang tenggelam dalam tatapan skrin dan menghabiskan masa berjam-jam dengan kandungan yang tidak bermanfaat. Kesannya dapat dilihat pada semua peringkat usia, daripada kanak-kanak hingga dewasa. Kesabaran semakin menipis, kemarahan mudah tercetus.
Puncanya ialah ketagihan terhadap gajet tanpa kawalan. Masa disia-siakan di hadapan skrin serta pendedahan berterusan kepada kandungan yang tidak mendidik jiwa. Ini mengakibatkan akal menjadi tumpul, hati menjadi lalai dan jiwa terasa kosong tanpa arah sehingga merosakkan akhlak dan emosi. Sedangkan hati kita perlukan ketenangan jiwa dan pengisian rohani yang menguatkan iman.
Justeru, marilah kita bersama-sama menekuni sifat mukmin sebenar di dalam Surah al-Mukminun ayat 1-3 yang dibacakan pada permulaan khutbah tadi: “Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman, Iaitu mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya; Dan mereka yang menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan yang sia-sia”.
Sidang Jemaah Yang Dimuliakan,
Kemajuan teknologi ialah wasilah. Jika wasilah digunakan untuk tujuan yang baik maka menggunakannya ialah terpuji dan begitu juga sebaliknya. Islam menolak segala bentuk kelalaian. Berdasarkan Laporan Digital Malaysia 2025, rakyat Malaysia kini menghabiskan purata 8 jam 13 minit sehari dalam talian dan 2 jam 46 minit dihabiskan di media sosial.
Setiap perkara yang tidak membawa manfaat kepada diri dan insan sekeliling adalah sia-sia. Dalam hadis riwayat Imam al-Bukhari daripada Ibn Abbas meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “Dua nikmat yang kebanyakan manusia tertipu padanya: (Nikmat) kesihatan dan waktu lapang”.
Hadis ini mengingatkan kita bahawa waktu dan kesihatan adalah dua nikmat besar yang sering disia-siakan. Ramai yang memiliki kesihatan, tetapi tidak menggunakan masa dengan baik. Ramai pula yang ada waktu lapang, namun dihabiskan dengan perkara tidak berfaedah.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Khatib ingin memperingatkan kepada kita semua agar bermuhasabah sejenak. Hampir sepertiga usia kita lebur menatap telefon pintar setiap hari. Sedangkan banyak yang boleh diisi dengan perkara bermanfaat. Bahkan, ketika khutbah sedang disampaikan pun terdapat segelintir daripada kita yang masih leka dengan telefon bimbitnya. Alangkah ruginya kita, andai kata kita tergolong dalam kelompok ini. Kehadiran ketika mendengar Khutbah Jumaat seminggu sekali turut gagal untuk mengingatkan kembali jiwa yang lalai pada minggu ini.
Jangan sampai kecanduan skrin ini perlahan-lahan meruntuhkan institusi kekeluargaan kita. Tuan-tuan yang memegang amanah sebagai ketua keluarga, perhatikanlah keadaan di dalam rumah tangga masing-masing. Masa yang sepatutnya diisi dengan didikan dan kemesraan berkeluarga telah dirampas oleh skrin. Kesannya, hubungan kekeluargaan menjadi kaku dan renggang. Walau berada di bawah satu bumbung tetapi hati dan fikiran masing-masing terasing membawa hal sendiri.
Sidang Jemaah Yang Dikasihi,
Ujian sebenar ialah kita dilalaikan daripada tujuan asal penciptaan iaitu menghambakan diri kepada Allah. Islam tidak melarang kita memanfaatkan teknologi namun jadilah hamba Allah di alam nyata dan alam maya. Jangan menyangka kita selamat daripada hitungan Allah SWT di alam maya.
Isikan masa kita dengan kandungan-kandungan yang membuka minda dan meningkatkan keimanan seperti menonton kuliah agama, membaca e-buku dalam talian dan carilah pencipta kandungan yang luhur pekertinya dan bermutu kandungannya. Manfaatkan semua perkara ini dengan sebaiknya. Bijaklah menapis kandungan agar carian kita sentiasa dipenuhi dengan perkara yang baik dan bermutu tinggi.
Sebagaimana diriwayatkan oleh Imam al-Tirmizi daripada Abu Zar Al-Ghifari radiyallahuanhu bahawa Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “Bertakwalah pada Allah dimanapun kamu berada. Iringlah setiap amal buruk dengan amal baik hingga ia dapat menghapuskannya (amalan jahat) dan hendaklah bergaul manusia dengan akhlak yang baik.”
Justeru, mengakhiri khutbah, saya tinggalkan beberapa pesanan penting untuk disampaikan kepada ahli keluarga masing-masing;
Pertama: Fenomena brain rot akibat ketagihan skrin menumpulkan akal dan jiwa. Jangan kita mensia-siakan amanah masa yang bakal dihisab oleh Allah SWT.
Kedua: Ketagihan gajet adalah kelalaian yang mensia-siakan nikmat masa serta kesihatan. Sekaligus membawa kerugian besar terhadap rohani, akal dan hubungan kekeluargaan.
Ketiga: Cara mengatasi fenomena brain rot ialah takwa. Pastikan alam maya diisi dengan perkara yang bermanfaat untuk dunia dan akhirat.
Tarikh Bacaan: 14 Syawal 1447H | 3 April 2026M
Disediakan oleh: Cawangan Khutbah & Latihan, Bahagian Pengurusan Masjid, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan
Leave a comment