Imam Al-Ghazali berpesan agar kita menjaga diri daripada bahaya lidah dengan tidak melakukan 8 perkara.
Walaupun lidah merupakan anggota kecil yang Allah ciptakan di dalam mulut manusia, apabila ia disalahguna, ia akan memudharatkan manusia. Allah menciptakan lidah supaya kita zikrullah sebanyak-banyaknya, membaca Al-Quran dengan penuh tartil, menggunakannya untuk nasihat menasihati agar kita semua menuju ke jalan yang diredhai Allah SWT.
Jagalah Lidah Kita Daripada 8 Perkara Ini
1. Bohong
Jangan kita gunakan lidah kita untuk berbohong dengan sengaja atau dalam keadaan bergurau senda. Islam melarang kita berbohong walaupun dalam keadaan kita bergurau-senda dan berjenaka. Natijah mereka yang kerap berdusta ini ialah hilang kredibiliti dan kepercayaan orang terhadapnya. Mereka yang berbohong tidak akan disenangi orang-orang di sekelilingnya.
2. Mungkir Janji
Hati-hati bila berjanji kerana apabila kita berjanji tanpa memenuhinya, takut kita termasuk dalam golongan yang tidak Allah sukai. Daripada Anas R.A, beliau berkata: Rasulullah SAW pernah memberikan khutbah kepada kami. Baginda bersabda yang bermaksud: “Tiada iman (kurang iman) bagi yang tiada sifat amanah. Tiada agama (kurang agama) bagi yang tidak menepati janji.” Muslimin disarankan agar melakukan ihsan dalam bentuk perbuatan tanpa melibatkan sebarang ucapan atau perjanjian. Namun, jika tidak boleh mengelak daripada berjanji, cubalah sedaya-upaya untuk memenuhi.
3. Mengumpat
Jangan menggunakan lidah untuk mengumpat. Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda yang bermakna: “Adakah kamu tahu apakah itu mengumpat?.” Para sahabat berkata: Hanya Allah dan Rasul-Nya yang mengetahuinya. Nabi SAW bersabda: “Kamu menyebut perihal saudaramu yang tidak disukainya.” [Riwayat Muslim (2589)] Walaupun kita bercakap tentang sesuatu yang benar tentang orang lain, kita juga telah menjadi pengumpat yang zalim.
4. Gemar Berhujah, Berdebat dan Membantah-Bantah
Elakkan daripada menggunakan lidah untuk berhujah, berdebat dan membantah-bantah, untuk membuktikan yang kita lebih arif dan lebih tahu dalam subjek yang dibincangkan. Kesan daripada kelakuan kita itu akan menyakitkan hati, memperbodohkan dan mencalar maruah orang yang sedang berkomunikasi dengan kita. Perangai kita ini juga umpama naik bakul angkat sendiri, mempunyai unsur-unsur memuji diri sendiri yang dilarang oleh Islam.
5. Memuji Diri Sendiri
Allah Taala berfirman dalam Surah Al-Najm 53:32 yang bermaksud: “Janganlah kami menganggap dirimu bersih daripada dosa. Dialah yang lebih mengetahui siapakah yang paling bertakwa.” Tiada siapa yang menggemari mereka yang kerap memuji diri sendiri, dan tidak akan menaikkan kehormatan diri seorang manusia apabila dia mengangkat darjat diri dengan sendiri. Ditakuti ianya akan mengundang kemurkaan Allah SWT.
6. Melaknat
Elakkan lidah daripada melaknat makhluk ciptaan Allah SWT tidak kira samada ia makanan, haiwan atau manusia. Jangan senang melabel seseorang sebagai syuruk, kufur atau nifak kerana segala rahsia itu adalah milik Allah SWT. Nabi SAW tidak pernah langsung mencela makhluk Allah waima makanan yang tidak enak sekalipun.
7. Mendoakan Keburukan Ke Atas Orang Lain
Tidak boleh menggunakan lidah untuk mendoakan keburukan kepada orang lain. Bukan tugas kita untuk menentukan azab atau hukuman kepada seseorang, kerana itu hak mutlak Allah SWT. Sebaliknya, doakan kebaikan ke atas mereka, semoga sama-sama kita semua dapat berada di jalan yang lurus menuju ke syurga.
8. Memperolok-olok, mengejek dan menghina manusia
Elakkan mencerca, mengejek dan menghina manusia di kala ada serius atau pun bergurau senda. Ditakuti perbuatan ini akan memalukan dan memberi impak negatif kepada mereka yang terkena, dan kesannya akan memporak-perandakan keamanan dan persahabatan yang terjalin.
Rujukan:
Jalan Menuju Petunjuk – Panduan Menjadi Manusia Bertakwa dalam Meraih Keredaan Allah – Imam Al-Ghazali (Beli di Sini)
Leave a Reply