By: mymuslimin.com
Nama restoran ini tiada kiasan. Terus terang mereka memberitahu bahawa restoran ini menyediakan masakan Terengganu asli. Mana lagi nak dapat makanan Terengganu asli kalau bukan di Restoran Masakan Terengganu Asli, bukan? Bijak.

Tim mymuslimin.com singgah di sini untuk bersarapan, dan seperti yang dijangkakan, restoran ini menawarkan Nasi Dagang (RM8) dan Laksam (RM5), selain Nasi Lemak. Antara hidangan sarapan Terengganu yang kami tidak biasa lihat ialah Pulut Gaul Nyior iaitu pulut yang digaul dengan kelapa parut. Di menu ada tertulis Nasi Minyak dan Nasi Kunyit tetapi mungkin itu hidangan tengahari kerana tidak kelihatan di kaunter hadapan.


Nasi Dagang gulai ikan tongkol yang disediakan Masakan Asli Terengganu sedikit manis berbanding gulai yang pernah kami rasa di kedai lain. Kehadiran sebiji lada membantu untuk mengimbangi rasa keseluruhan hidangan Nasi Dagang ini, namun rasa manisnya agak ketara. Jika inginkan sebiji telur rebus, sila tambah RM1.50. Persoalannya ialah, adakah masakan nasi dagang asli Terengganu itu memang manis? Kami menjurus kepada manis kerana restoran Masakan Asli Terengganu ini menyediakan hidangan yang manis.
Terdapat lauk lain juga yang boleh dipadankan dengan Nasi Dagang ini seperti daging dan ayam gulai, tapi rata-rata pelanggan memilih gulai ikan tongkol.



Hidangan sampingan seperti Satar (RM4.50) dan Keropok Lekor (RM9) juga ditawarkan di samping kuih-kuih lain. Satar merupakan otak-otak versi Pantai Timur yang diperbuat daripada campuran kelapa parut dan daging ikan yang ditumbuk bersama lada, dan bahan-bahan lain dan kemudian dibalut tiga segi dan dibakar. Berbeza rasa dengan otak-otak Johor, Satar agak manis dan ada rasa halia yang jelas. Selain keropok lekor, Satar merupakan snek kegemaran orang Terengganu.
Bagi mereka yang merindukan masakan Terengganu asli, bolehlah singgah ke restoran ini.
Restoran Masakan Terengganu Asli
No.2-G, Jalan Lp 7/5B, Lestari Perdana, 43300 Seri Kembangan, Selangor
Buka – 7 pagi hingga 4 petang setiap hari kecuali Isnin
Leave a Reply