Masih Bersama Walaupun Sudah Tiada Rasa? 

Oleh: Ida Natasha

Cetusan kimia, mabuk cinta dan perasaan asyik memang lazim bagi mereka yang baru melangkah ke alam percintaan. Segalanya tentang pasangan itu indah belaka. Kekurangan dia tentu sekali tiada, kerana cinta itu sifatnya buta. Apabila melihat dia, anda ceria, jika dia tiada, anda berduka.

Tetapi, adakah perasaan indah ini masih wujud di kalangan pasangan yang sudah bertahun-tahun bercinta tetapi masih belum berumahtangga? Atau, semakin hari semakin banyak kepincangan pasangan yang perlu anda kompromi? Ada juga yang sudah meluat dengan perangai pasangan tetapi tidak tahu bagaimana untuk menamatkan hubungan yang sudah dijalin begitu lama.

Di saat ini, apabila melihat si dia anda rasa biasa, jika dia tiada, anda ada terasa sedikit suka.

Disebabkan sudah begitu lama mengenali antara satu sama lain tanpa ikatan yang sah, anda meneruskan sahaja perhubungan walaupun semuanya sudah hambar, sudah tiada rasa. Ramai pasangan yang terjerat di dalam situasi ini dan tidak tahu bagaimana untuk melepaskan diri. Walaupun hati masing-masing sudah tidak cinta, oleh kerana sudah lama bersama, mereka teruskan jua.

Itulah sebabnya perkahwinan perlu dipercepatkan. Ketika mula bercinta, semuanya indah. Namun, apabila sudah tidak tahu ke mana arah tuju perhubungan, semuanya akan menjadi biasa dan masing-masing meneruskan perhubungan kerana terpaksa. Perhubungan yang lama tanpa ikatan yang sah ditakuti banyak risikonya kerana syaitan itu sentiasa ada.

Pasangan hambar begini tidak harus meneruskan perhubungan atas alasan sudah lama bercinta kerana apabila mereka mengambil keputusan untuk berumahtangga, adalah sukar untuk mengukir bahagia. Perkahwinan seharusnya dibina atas dasar kasih sayang, hormat menghormati dan rasa cinta yang tidak berbelah bagi, bukan kerana kita sudah lama ‘bercinta’.

Apabila pasangan sudah mula bosan antara satu sama lain, bagaimana untuk meneruskan perkahwinan yang sepatutnya kekal sehingga ke akhir hayat? Hati yang hambar akan senang teruja apabila ada insan baru menunjukkan minat untuk mengenali mereka. Mudah untuk terjebak ke dalam affair walaupun sudah ada suami dan isteri kerana dengan pasangan baru, perasaan indahnya percintaan akan muncul semula. Oleh kerana itu, sering kita mendengar pasangan yang sudah bertahun-tahun bercinta, bercerai hanya selepas sebentar berumahtangga.

Jujurlah kepada diri sendiri kerana jika tidak, anda hanya akan mengecewakan diri anda dan pasangan, serta keluarga masing-masing.

‘Rasa’ dalam bercinta itu penting kerana ia merupakan talian kasih antara kau dan si dia. Jangan tidak diambil endah perihal rasa. Di zaman dahulu, walaupun banyak perkahwinan yang diatur keluarga, ianya kekal lama kerana pasangan bercinta dan mengenali satu sama lain itu berlaku hanya selepas berumahtangga.

Di zaman ini pula terbalik ceritanya. Apabila sudah mengenali satu sama lain dengan begitu lama tanpa ikatan perkahwinan, sukar untuk melayari bahtera rumahtangga apabila sudah tiada ‘rasa’. 

Oleh itu, apabila sudah suka, janganlah bercinta lama-lama. Dirikanlah perkahwinan kerana itulah yang dituntut oleh agama. 

Advertisement

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

Create a free website or blog at WordPress.com.

Up ↑

%d bloggers like this: