Asmaul Husna yang ke-56 ialah Al-Waliyyu yang membawa pengertian Tuhan Yang Maha Pelindung, Maha Kasih, Maha Setia. Al-Waliyyu menggambarkan sifat Kasih dan Sayang Allah SWT terhadap makhluk terutama makhluk daripada jenis manusia. Allah SWT jadikan manusia makhluk yang jauh lebih istimewa berbanding makhluk lain, dikurniakan akal fikiran juga perasaan (hati). Dengan kurniaan itu, manusia layak menyandang tugas beratnya sebagai khalifah Allah SWT di bumi. Di samping berhak menerima perlindungan- Nya. Sebagaimana firman-Nya dalam surah Al-Baqarah ayat 257.
“Allah pelindung orang-orang yang beriman; Dia mengeluarkan mereka daripada kegelapan (kekafiran) kepada cahaya (iman).”
(Al-Baqarah 2:257)
Setelah Allah SWT memperlihatkan sifat kasih-Nya mengurniakan akal fikiran, kemudian kurniaan yang berharga itu dilindungi pula dengan agama-Nya yang disampaikan melalui utusan-Nya iaitu para nabi dan rasul-rasul. Tanpa perlindungan agama Allah SWT, sudah pasti akal dan fikiran manusia tidak berfungsi dengan baik.
Manusia yang menerima perlindungan agama-Nya, dijanjikan Allah SWT ganjaran yang besar untuk kebahagiaan akhirat, dengan kemewahan dan kesenangan hidup yang abadi di syurga. Tiada taranya kasih sayang yang dijanjikan oleh Allah SWT terhadap makhluk seperti haiwan. Haiwan hanya menjalani hidup biasa mengikut naluri tabi’e.
Iktibar daripada sifat Allah SWT yang pengasih dan juga Maha Pelindung, orang yang beriman juga semestinya mencontohi sifat-sifat Tuhan itu. Mereka mesti saling mengasihi di antara manusia, terutama kepada orang-orang yang mentaati perintah agama dan memperjuangkan agama Allah SWT. Di samping bersedia menjadi pelindung terutama kepada golongan yang lemah yang mempertahankan agama Allah SWT.
Beroleh Perlindungan Allah SWT
Perlindungan itu terdapat dalam beberapa bentuk dan cara. Terdapat bentuk perlindungan pemerintah terhadap rakyatnya. Perlindungan daripada ibu bapa kepada anaknya dan seumpamanya. Hakikat perlindungan itu semestinya datang daripada orang atasan terhadap orang bawahan atau orang kuat terhadap orang yang lemah.
Pihak atasan yang paling tinggi dan terkuat semestinya Allah SWT. Tiada sesiapa atau apa pun yang dapat mengatasi Allah SWT.
Justeru itu, perlindungan yang paling terjamin adalah perlindungan Allah SWT yang merupakan Tuhan Yang Maha Melindungi. Itulah punca sebenar-benar perlindungan yang dapat menyelamatkan manusia daripada sebarang musibah dan kecelakaan. Andainya seseorang itu mendapat perlindungan daripada Allah SWT, maka tiada sesuatu pun boleh mengancam apatah lagi mendatangkan kecelakaan kepadanya. Maka, beruntunglah mereka yang mendapat perlindungan Allah SWT, sama ada semasa hidup di dunia mahupun tatkala menjengah akhirat yang abadi.
Persoalannya, bagaimanakah untuk mendapat perlindungan Allah SWT?
Sebenarnya orang yang mendapat perlindungan Allah SWT adalah mereka yang beriman kepada Allah.
Di samping itu, mereka juga adalah golongan yang meletakkan kecintaan mereka terhadap Allah melebihi segala-galanya. Cinta mereka terhadap Allah SWT tiada berbelah bahagi. Keyakinan mereka terhadap Allah SWT tidak tercalar dek segaris ragu pun. Lantas mereka melahirkan rasa ketundukan dan penyerahan yang jitu terhadap Allah SWT demi mengharapkan perlindungan daripada Yang Maha Melindungi.
Firman Allah SWT dalam Surah al-An’am ayat 14 yang bermaksud.
“Katakanlah: “Apakah akan aku jadikan pelindung selain daripada Allah yang menjadikan langit dan bumi, padahal Dia memberi makan dan tidak memberi makan?”
(Al-An’am 6:14)
Tidak selayaknya kita tidak mencintai Allah, sedangkan Dia Tuhan yang memberikan kemudahan hidup kepada kita. Dialah Tuhan Yang Maha Pemurah, yang telah mengurniakan pelbagai nikmat dan kemudahan untuk kita meneruskan kehidupan di dunia yang penuh dengan cabaran dan tipu daya.
Tidak dinafikan, cinta itu bukan suatu paksaan. Pun begitu, adalah suatu perkara yang dangkal jika kita tidak merasakan cinta kepada orang yang banyak melakukan kebaikan kepada kita. Maka, Allah SWT merupakan Tuhan yang banyak melakukan kebaikan kepada kita. Dia menyediakan bumi sebagai hamparan, langit sebagai payung, makanan, minuman dan banyak lagi. Justeru, meninggalkan Allah SWT sebagai kekasih yang sangat dicintai merupakan tindakan yang cukup dangkal dari perspektif akal yang sihat.
Kelebihan Menyintai Allah SWT
Apabila manusia itu meletakkan cinta mereka kepada Allah SWT, banyak kelebihan yang akan diberikan. Antaranya;
1. Mereka diberi perlindungan sehingga lenyap perasaan takut dan bimbang.
Firman Allah SWT dalam Surah Yunus yang bermaksud:
“Ingatlah, sesungguhnya wali-wali Allah itu, tidak ada kekhuatiran terhadap mereka dan tidak (pula) mereka bersedih hati.”
(Yunus 10:62)
2. Mereka diberi cahaya dalam kehidupan di dunia, malah di alam akhirat, terutama di alam kubur. Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 257 yang bermaksud:
“Allah adalah wali (pelindung) orang-orang yang beriman, dengan mengeluarkan mereka dari kegelapan kepada cahaya.”
(Al-Baqarah 2:257)
Mereka akan sentiasa diberikan kemenangan. Akan diazabkan orang yang menganiaya mereka.
Firman Allah SWT dalam surah al-Maidah ayat 56 yang bermaksud:
“Dan barangsiapa mengambil Allah SWT, Rasul-Nya dan orang-orang yang beriman menjadi penolongnya, maka sesungguhnya pengikut (agama) Allah SWT itulah yang pasti menang.”
(Al-Maidah 5:56)
Dalam satu hadis qudsi yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari, dari Abu Hurairah RA berkata, bahawa
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Sesungguhnya Allah SWT berfirman, barangsiapa yang memusuhi wali-Ku, maka sesungguhnya aku telah mengizinkannya berperang.”
(HR Bukhari: 6021)
Perhatikanlah, betapa indahnya manfaat menjadi kekasih Allah SWT. Yang pasti Allah SWT akan memberikan perlindungan-Nya kepada mereka yang meletakkan kecintaan kepada-Nya tanpa berbelah bahagi. Justeru, tanamkan kecintaan kita kepada Allah SWT melebihi segala-galanya, agar Allah SWT membalas segala cinta kita kepada-Nya dengan kurniaan syurga yang tidak terbanding nikmatnya.
Sumber: Asmaul Husna Dengan Namamu Aku Hidup – Almarhum Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat
Leave a Reply