Teks Khutbah Jumaat: Al-Quran Memandu Kehidupan

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,

Marilah kita bertakwa kepada Allah SWT dengan mengerjakan segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Semoga tarbiah Ramadan yang sedang kita jalani, mampu menggilap ketakwaan yang tinggi untuk memperoleh kejayaan hidup di dunia dan di akhirat.

Khutbah pada hari ini akan membicarakan tajuk: “Al-Quran Memandu Kehidupan”.

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,

Ramadan ialah bulan keberkatan yang di dalamnya diturunkan al-Quran pada malam al-Qadr dari Luh Mahfuz ke Baitul Izzah di langit dunia, setelah itu diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW secara berperingkat-peringkat melalui perantaraan malaikat Jibril AS selama dua puluh tiga tahun.

Kandungan al-Quran sarat dengan peringatan dan pengajaran yang mesti diikuti oleh umat Islam dalam memandu kehidupan ke jalan yang benar dan diredai Allah SWT. Peristiwa penurunan al-Quran ada dinyatakan di dalam al-Quran antaranya menerusi surah ad-Dukhan ayat 1 hingga 3 yang dibacakan tadi dan membawa maksud:

“Haa Miim. Demi Al-Quran, Kitab yang menerangkan kebenaran. Sesungguhnya Kami telah menurunkan Al-Quran itu pada malam yang berkat, (Kami berbuat demikian) kerana sesungguhnya Kami sentiasa memberi peringatan dan amaran (jangan hamba-hamba Kami ditimpa azab).”

(Ad-Dukhan 44: 1-3)

Alhamdulillah, dengan hadirnya Ramadan kita dapat menyaksikan banyak program tadarus al-Quran dianjurkan di masjid-masjid dan surau-surau. Sesungguhnya program ini mampu menarik rahmat dan keberkatan daripada Allah SWT sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda yang ertinya: 

“Dan tidaklah satu kaum itu berkumpul di rumah-rumah Allah sambil membaca al-Quran dan mempelajarinya sesama mereka kecuali akan turun kepada mereka ketenangan, dan diberikan rahmat serta malaikat akan menaunginya. Dan mereka akan diingat disisi Allah.”

(HR Imam Muslim daripada Abu Hurairah RA)

Di bulan ini setiap satu huruf al-Quran yang dibaca dilipatgandakan pahala sehingga sepuluh kali ganda. Melalui amalan bertadarus, kita dapat memperbaiki mutu bacaan dan memahami hukum-hukum tajwid yang betul. Dalam pada kita meningkatkan penguasaan terhadap bacaan al-Quran, kita juga sangat perlu untuk bertadabbur dengan ayat-ayatnya supaya kita beroleh kefahaman dan penafsiran yang jelas terhadap ajaran-ajaran Islam yang terkandung di dalamnya. 

Namun untuk memahami al-Quran, carilah guru yang benar-benar berilmu dan berautoriti supaya konteks pemahaman kita tidak terpesong daripada ajaran Islam yang benar. Justeru, alangkah indahnya jika aktiviti-aktiviti seperti ini dapat kita laksanakan di bulan-bulan yang lain juga.

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,

Sesungguhnya al-Quran memberikan peranan yang sangat besar dalam memenuhi ruang-ruang kehidupan manusia. Ia bukan sahaja membina akidah yang sahih dan syariat yang sempurna, bahkan mensejahterakan minda, membezakan di antara perkara yang hak dan yang batil, membentuk dan mencorak kehidupan berlandaskan ilmu serta memandu manusia dalam mengatur dan membina sebuah sistem sosial yang sempurna. 

Al-Quran juga turut berperanan dalam pembentukan institusi kekeluargaan yang bahagia, memelihara dan memulihara alam sekitar sebagai punca keamanan, sistem kejiranan yang penuh santun dalam kepelbagaian, kemajuan sains dan teknologi, sistem pendidikan serta pembinaan kehidupan manusia yang harmoni dan sejahtera.

Di antara salah satu perkara yang sangat ditekankan oleh al-Quran kepada kita ialah urusan muamalat dalam kehidupan kita sehari-harian. Al-Quran mengajar kita bagaimana menjalankan urusan jual beli yang halal dan menguruskan hutang yang menepati syariat iaitu bebas daripada unsur-unsur riba dan penindasan serta memberikan keadilan kepada kedua- dua pihak yang bermuamalah. 

Firman Allah SWT di dalam surah al-Baqarah, ayat 275 yang bermaksud: 

“…Padahal Allah telah menghalalkan berjual-beli (berniaga) dan mengharamkan riba…”

(Al-Baqarah 2: 275)

Sememangnya kita telah diperintahkan agar menghindarkan diri daripada amalan riba kerana ia mendatangkan banyak kemusnahan sama ada kepada individu mahupun masyarakat. Ini kerana amalan riba itu merupakan suatu bentuk kezaliman dan penindasan ke atas orang lain demi mengaut keuntungan sebelah pihak secara batil dengan cara yang salah di sisi syarak.

Perbuatan zalim dan menindas orang lain melalui amalan riba ini banyak dilakukan oleh agensi-agensi pinjaman seperti Ah Long atau ceti haram, scammer dan seumpamanya. Pelbagai kaedah dan cara dilakukan oleh mereka untuk memperdaya orang ramai membuat pinjaman termasuklah menyediakan perkhidmatan secara atas talian melalui aplikasi yang dimuat turun ke telefon. 

Mereka telah menetapkan kadar bunga atau faedah dalam pinjaman, mengenakan bayaran berganda kerana lewat membayar pinjaman, bahkan turut mengancam nyawa dan keselamatan diri, isteri dan anak-anak. Apa yang mendukacitakan ialah mereka juga menulis hantaran mesej menghina Islam dengan kata-kata yang kesat sebagai ugutan kepada peminjam.

Sebagai muslim, marilah kita menghindarkan diri daripada terjebak dengan amalan riba dan seumpamanya. Biarpun dihimpit dengan kesempitan kewangan lebih-lebih lagi dalam membuat persiapan menyambut Aidilfitri, namun sesekali jangan terpedaya dengan sebarang tawaran pinjaman daripada mana-mana pihak yang dibimbangi ianya didalangi oleh ceti haram atau Ah Long.

Kepada sesiapa yang telah terjerat dengan perangkap hutang Ah Long, segeralah mencari jalan keluar dengan membuat aduan kepada pihak berkuasa dan dapatkan juga mana-mana khidmat perundingan mengikut lunas undang-undang bagi menyelesaikan masalah tersebut.

Semoga dengan kesungguhan kita menjauhi segalaperbuatan yang ditegah oleh syarak seperti amalan riba ini melalui penghayatan al-Quran dapat menjadikan kehidupan kita sentiasa dilimpahi keberkatan, kerahmatan dan kesejahteraan yang berpanjangan daripada Allah SWT.

Mimbar mengingatkan kepada jemaah sekalian, sekiranya menghadapi masalah kewangan yang serius, dapatkanlah nasihat dan bimbingan daripada pihak yang berautoriti seperti Agensi Kaunseling Dan Pengurusan Kredit (AKPK). 

Jika terdapat dalam kalangan kita yang sedang menghadapi bebanan hutang dan termasuk dalam kategori asnaf, mohonlah bantuan daripada Baitulmal Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan yang telah menyediakan skim bantuan menyelesaikan hutang untuk membantu golongan asnaf yang mempunyai tanggungan hutang bagi memenuhi keperluan asasi mereka seperti makanan, kesihatan dan perlindungan.

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,

Kesimpulan yang dapat diambil daripada khutbah hari ini ialah:

Pertama: Tingkatkan penghayatan kita terhadap al-Quran melalui bertadarus dan bertadabbur setiap ayat dan kandungannya melalui guru yang berautoriti.

Kedua: Amalkan setiap ajaran yang dibawa oleh al-Quran yang merangkumi semua aspek kehidupan manusia demi membentuk keperibadian Islam yang tinggi dalam diri.

Ketiga: Patuhi setiap suruhan dan larangan Allah SWT di dalam al-Quran termasuklah meninggalkan amalan riba supaya kehidupan kita sentiasa dilimpahi keberkatan, kerahmatan dan kesejahteraan yang berpanjangan daripada Allah SWT.

Mengakhiri khutbah, renungkan bersama firman Allah SWT menerusi surah Al-Ahzab, ayat 2 yang bermaksud:  

“Dan turutlah akan apa yang diwahyukan kepadamu dari Tuhanmu, (dan janganlah menurut adat resam Jahiliyah); sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.” 

(Al-Ahzab 33:2)

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,

Pada bulan Ramadan yang mulia ini kita telah dikejutkan dengan tindakan polis Israel yang menyerang dan menggunakan kekerasan terhadap rakyat Palestin dan jemaah yang berada di masjid Al-Aqsa sehingga menyebabkan kecederaan awam. Tindakan mereka tersebut sangat biadap dan tidak bertanggungjawab malah, malah ianya berulang kali dilakukan setiap tahun ketika umat Islam menjalani ibadah di bulan Ramadan.

Mimbar mengajak seluruh umat Islam, marilah kita menyatakan solidariti kepada rakyat Palestin dan jemaah Masjid Al-Aqsa. Bersempena dengan bulan Ramadan yang penuh keberkatan ini marilah kita menadah tangan dan berdoa kepada Allah SWT agar mengurniakan kesabaran, ketabahan, keselamatan dan kesejahteraan terhadap saudara-saudara kita di Palestin. Semoga Allah SWT mengabulkan doa kita.

Tarikh Dibaca: 16 Ramadan 1444H/7 April 2023M
Disediakan oleh: Cawangan Khutbah & Latihan, Bahagian Pengurusan Masjid, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan

Advertisement

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

Blog at WordPress.com.

Up ↑

%d bloggers like this: