Oleh: NJ
Ketika di Phillip Island, Australia, kami bersekempatan untuk menyaksikan pulangnya beribu-ribu burung penguin ke sarang. Segerombolan Little Penguin ini akan berlabuh di pantai daripada laut ketika matahari terbenam. Mereka akan tiba tepat pada masa yang dijanjikan setiap hari sehingga membolehkan pengusaha pelancong menjual tiket-tiket kepada pengunjung dari seluruh dunia! Berpuluh ribu Little Penguin ini akan terkedek-kedek naik ke daratan untuk berehat dan tidur setelah seharian berada di laut.
Setiap tahun juga pelbagai jenis burung akan berhijrah beribu kilometer merentasi dunia seperti ada jadual yang ditetapkan bagi mereka serta mereka akan mengikut laluan masing-masing beribu kilometer jauhnya, umpama burung-burung ini telah diprogramkan untuk melakukan penghijrahan tersebut.
Merenung kejadian manusia pula, kaum wanita mempunyai kitaran haid yang akan muncul di setiap 28-35 hari, dan proses ini berterusan bertahun-tahun sehingga tiada lagi telur yang dihasilkan oleh rahim. Kedatangan haid ini berlaku secara automatik seolah badan mempunyai jadualnya tersendiri yang telah diprogramkan. Manusia itu tiada kuasa untuk menghalang haid daripada datang dan pergi.
Melihat tempoh kandungan manusia dan haiwan, 280 hari bagi manusia, 65 hari bagi kucing, 68 hari bagi anjing, 280 hari bagi lembu, 380 hari bagi kuda, ianya konsisten dan tidak berubah-ubah. Tidak boleh dibayangkan jika tempoh kandungan tidak menentu bagi setiap makhluk!
Hakikatnya, tiada perkara rawak yang berlaku di dunia ini, tiada yang berlaku ‘by chance’ atau secara kebetulan. Tiada istilah ‘lucky’ kerana semuanya bergerak dan berjalan mengikut qada dan qadar yang telah ditetapkan oleh Allah SWT, Al-Khaliq, Maha Pencipta. Segalanya telah direncanakan Allah SWT, sebaik-baik pengatur, sebaik-baik perancang.
Perhatikanlah dan saksikan sendiri kehebatan Allah SWT pada penciptaan diri sendiri dan makhluk lain yang berada di sekeliling kita. Haiwan-haiwan, tumbuhan, kayu-kayan, sungai, laut, gunung, matahari, bulan dan sebagainya. Lihatlah seluruh bumi dan isinya ini sebagai antara bukti kekuasaan dan kehebatan Allah SWT, lantas kita mengakui bahawa diri sendiri itu kerdil dan sangat memerlukan rahmat, bantuan, dan petunjuk dari Allah, Tuhan Yang Maha Sempurna.
“Dan di antara tanda-tanda kekuasaanNya ialah kejadian langit dan bumi serta segala yang Ia biakkan pada keduanya dari makhluk-makhluk yang melata; dan Ia Maha Kuasa menghimpunkan mereka semuanya apabila Ia kehendaki (melakukannya).”
(Asy-Syura 42:29)
“Dan Dia lah (Tuhan) yang telah menjadikan malam dan siang, serta matahari dan bulan; tiap-tiap satunya beredar terapung-apung di tempat edaran masing-masing (di angkasa lepas).”
(An-Anbiya’ 21: 33)
“Allah jua yang memasukkan malam pada siang dan memasukkan siang pada malam (silih berganti), dan Ia yang memudahkan peredaran matahari dan bulan; tiap-tiap satu dari keduanya beredar untuk suatu masa yang telah ditetapkan. Yang melakukan semuanya itu ialah Allah Tuhan kamu, bagiNyalah kuasa pemerintahan; sedang mereka yang kamu sembah – yang lain dari Allah – tidak mempunyai sesuatu pun walau senipis selaput biji kurma.”
(Faatir 35:13)
“Wahai umat manusia, sekiranya kamu menaruh syak (ragu-ragu) tentang kebangkitan makhluk (hidup semula pada hari kiamat), maka (perhatilah kepada tingkatan kejadian manusia) kerana sebenarnya Kami telah menciptakan kamu dari tanah, kemudian dari setitik air benih, kemudian dari sebuku darah beku, kemudian dari seketul daging yang disempurnakan kejadiannya dan yang tidak disempurnakan; (Kami jadikan secara yang demikian) kerana Kami hendak menerangkan kepada kamu (kekuasaan Kami); dan Kami pula menetapkan dalam kandungan rahim (ibu yang mengandung itu) apa yang Kami rancangkan hingga ke suatu masa yang ditentukan lahirnya; kemudian Kami mengeluarkan kamu berupa kanak-kanak; kemudian (kamu dipelihara) hingga sampai ke peringkat umur dewasa; dan (dalam pada itu) ada di antara kamu yang dimatikan (semasa kecil atau semasa dewasa) dan ada pula yang dilanjutkan umurnya ke peringkat tua nyanyuk sehingga ia tidak mengetahui lagi akan sesuatu yang telah diketahuinya dahulu. Dan (ingatlah satu bukti lagi); Engkau melihat bumi itu kering, kemudian apabila Kami menurunkan hujan menimpanya, bergeraklah tanahnya (dengan tumbuh-tumbuhan yang merecup tumbuh), dan gembur membusutlah ia, serta ia pula menumbuhkan berjenis-jenis tanaman yang indah permai.”
(Al-Hajj 22:5)
NOTA: Kolum Catatan Pencinta Kopi dibuka kepada sesiapa sahaja yang ingin berkarya di mymuslimin.com. Hantarkan kisah atau catatan anda ke email kami di mymuslimin2022@gmail.com dan kami akan menyiarkannya di kolum ini sekiranya terpilih.
Leave a Reply