Budaya 3M & Makanan Selamat di Bulan Ramadan

Oleh: Mohamad Faizal Bin Hajar Maidin 

Makanan selamat bermaksud makanan itu bebas daripada pencemaran mikrobiologi seperti bakteria/ kuman, pencemaran kimia seperti racun perosak/ bahan pencuci dan juga pencemaran fizikal seperti rambut, batu, kayu, dawai kokot. Jika kita makan makanan tercemar, kita akan mengalami keracunan makanan seperti sakit perut, muntah, loya, cirit-birit, boleh menyebabkan demam dan yang paling teruk jika tidak mendapatkan rawatan boleh menyebabkan kematian.

Sementara itu, budaya 3M pula perlu diterapkan dalam masyarakat dan diamalkan bagi memastikan keselamatan makanan terjamin. Bila keselamatan makanan terjamin, In Sha Allah keracunan makanan dapat dielakkan. Secara ringkasnya, 3M membawa maksud:

1. Mengamal M.A.S.A.K
2. Memilih M.B.C
3. Melakukan KENDIRI

1. Mengamal M.A.S.A.K

M – Masak dengan Sempurna 
  • Memasak makanan dengan sempurna dapat membunuh semua bakteria merbahaya
  • Bagi daging dan hasil ayam, pastikan air rebusannya kelihatan jernih dan bukan berwarna merah jambu
  • Panaskan semula makanan yang telah dimasak sepenuhnya
  • Suhu didih bagi makanan bersup dan rebus hendaklah mencapai 700c
A – Asing Peralatan
  • Asingkan peralatan dengan menggunakan perkakas dapur yang berasingan seperti pisau dan papan pemotong untuk mengelakkan ‘pencemaran silang’
  • Makanan mentah seperti daging hasil ayam dan makanan laut serta sisa dan lendirnya mengandungi bakteria dan boleh mencemarkan makanan lain semasa penyediaan dan penyimpanan makanan.
  • Mengasingkan penggunaan kain lap secara khusus seperti kain lap meja, pinggan mangkuk sudu garfu dan peralatan memasak. Boleh mewujudkan sistem warna
S – Simpan dengan Betul
  • Simpan makanan dalam bekas untuk mengelakkan makanan mentah bersentuhan dengan makanan yang telah dimasak
  • Jangan letakkan makanan lebih dari 4 jam pada suhu bilik
A – Air dan Bahan Mentah yang Bersih
  • Gunakan air yang bersih atau air yang telah dirawat
  • Pilih bahan mentah yang segar dan selamat
    • Sayur-sayuran & buah-buahan (segar, tak berkulat/berulat), 
    • Ikan (isi yang pejal dan anjal, mata jernih dan tidak tenggelam, insang berwarna merah, tidak berbau busuk), 
    • Daging (segar, tidak berlendir, tidak berbau busuk, tidak berubah warna, tidak lebam),
    • Ayam (isi pejal dan anjal, kulit cerah dan nampak segar, tidak berlendir, tidak berubah warna, tidak lebam), 
    • Telur (tidak retak atau pecah, kulit bersih dan tiada kesan najis)
    • Bahan kering (tidak lembap atau basah, tidak reput, tidak berkulat, tiada serangga atau bahan asing)
    • Makanan dalam tin atau kotak (tidak kemek koyak pecah atau bocor, tidak berkarat, tidak menggelembung, tidak tamat tarikh luput)
K – Kebersihan Diri
  • Amalan pengendali makanan yang baik – tidak batuk, bersin, merokok, berkuku pendek, dan tidak memakai aksesori ketika menyediakan makanan.
  • Mengamalkan 7 langkah mencuci tangan setiap kali sebelum dan selepas menyediakan makanan, apabila menyentuh bahan mentah atau membuang sampah, selepas ke tandas dan lain-lain.
  • Memakai pakaian pelindung dan bersesuaian iaitu penutup kepala/topi, baju yang bersih, apron yang bersih berwarna cerah dan kasut bertutup.

2. Memilih MBC

  1. MeSTI – Makanan Selamat, Tanggungjawab Industri. Kita boleh lihat logo MeSTI di produk makanan. Ini bermaksud premis pemprosesan yang menghasilkan produk makanan tersebut telah mempunyai Program Jaminan Keselamatan Makanan 
  1. BeSS – Bersih, Selamat dan Sihat. Ini merupakan pengiktirafan diberikan kepada premis makanan yang telah diperiksa secara berkala oleh pihak kesihatan dari segi kebersihan secara keseluruhannya dan pemantauan menu serta info berkaitan menu sihat.
  1. Catering – Ini merujuk kepada Katerer yang dipercayai mempunyai pensijilan Trust MyCatering. Pensijilan Trust MyCatering diberi kepada katerer yang mematuhi elemen-elemen yang telah digariskan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

Semua pensijilan dan pengiktirafan yang ditawarkan ini adalah percuma. Justeru itu, saya menyeru dan memohon pihak berkaitan mengambil peluang untuk memperolehi pensijilan atau pengiktirafan ini iaitu: 

  1. Pengusaha produk makanan memohon pensijilan MeSTI
  2. Pengusaha kedai makan atau restoran memohon pengiktirafan BeSS
  3. Pengusaha katerer memohon pensijilan Trust MyCatering 
  • Untuk makluman, Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, Kementerian Kesihatan Malaysia juga menawarkan penyenaraian kepada pengusaha Makanan Sediaan Dirumah atau dipanggil ‘HomeBased’
  • Semua permohonan boleh dilakukan di Jabatan Kesihatan Negeri atau Pejabat Kesihatan Daerah yang berhampiran dengan pembaca. 

3. Melaksanakan KENDIRI

KENDIRI bermaksud melakukan pemeriksaan sendiri di tempat penyediaan makanan seperti:

  • Tempat masak, lantai, meja yang bersih
  • Peralatan dan perkakas sentiasa bersih
  • Tong sampah tidak melimpah dan dibuang bila penuh
  • Kain lap yang bersih dan berasingan mengikut penggunaan 
  • Tempat mencuci tangan, sabun cecair dan tisu disediakan.
  • Peti sejuk yang bersih dan berfungsi dengan baik
  • Bahan ramuan dan makanan disimpan dalam bekas tertutup dan periksa tarikh luput

Praktik ‘Perhati dan Pilih’ Ketika di Bazar Ramadan

Sementara itu, pada bulan Ramadan pula selalunya Bazar Ramadan pasti menjadi pilihan orang ramai. Untuk itu, ada beberapa tips yang boleh dipraktikkan semasa membeli makanan di Bazar Ramadan iaitu mengamalkan konsep ‘PERHATI DAN PILIH’   

  • Perhati dan pilih gerai yang bersih dan jauh dari punca pencemaran
  • Perhati dan pilih juga pengendali makanan yang bersih dan pakaian pengendali yang sempurna
  • Pengendali menggunakan alatan yang sesuai untuk mengambil makanan (tidak menggunakan tangan).
  • Pilih makanan yang kurang berisiko (panas & segar), tidak terdedah (bertutup) & tidak menggunakan surat khabar untuk menutup atau melapik makanan

Seterusnya, amalkan konsep ‘LIHAT, HIDU DAN RASA’

  • Lihat makanan yang hendak dibeli dari segi rupanya (tidak berlendir, melekit, tidak berubah warna dan bebas dari benda asing)

Ketika hendak berbuka puasa,

  • Hidu makanan terlebih dahulu sebelum makan (tidak berbau masam, pelik atau busuk)
  • Rasa sedikit dahulu sebelum makan. Jika rasa masam, kurang enak atau yang tidak sepatutnya, jangan makan makanan tersebut. Dikhuatiri makanan tersebut telah rosak dan boleh menyebabkan risiko keracunan makanan jika dimakan.

Sekiranya beli makanan di bazar untuk makan sahur, sila simpan segera dalam peti sejuk. Dan jangan lupa panaskan makanan dengan sempurna sebelum makan.

Penulis merupakan Pegawai Teknologi Makanan, Unit Keselamatan dan Kualiti Makanan, Pejabat Kesihatan Daerah Langkawi

Advertisement

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

Create a free website or blog at WordPress.com.

Up ↑

%d bloggers like this: