Persoalan boleh atau tidak seorang wanita bersalin disambut oleh doktor lelaki ini perlu difahami oleh semua pasangan yang baharu atau pun mereka yang masih tidak jelas mengenainya. Untuk pasangan yang masih ragu-ragu tentang hukum membenarkan doktor lelaki menyambut kelahiran bayi sedangkan di hospital yang sama masih terdapat doktor perempuan, bacalah penjelasan pejabat Mufti Wilayah Persekutuan tentang isu ini.
Tidak dibenarkan di sisi Hukum Syarak bagi lelaki untuk melihat kepada aurat wanita ajnabi, melainkan terdapat ḥājah (keperluan) dan ḍarurah (keperluan mendesak) untuknya. Antara bentuk pengecualian ialah rawatan al-faṣdu (venesection, venipuncture, phlebotomy), berbekam, dan rawatan am. Ini kerana jika diharamkan akan mendatangkan ḥaraj (kesukaran) sedangkan ḥaraj dihilangkan oleh Syarak.
Justeru harus bagi lelaki merawat wanita dan wanita merawat lelaki, dengan syarat
- Jika wujud perawat yang muslim, maka tidak boleh digantikan.
- Ditemani oleh mahram, suami atau wanita yang thiqah (terpercaya).
- Ketiadaan perawat wanita bagi pesakit wanita, atau perawat lelaki bagi pesakit lelaki.
- Perawat boleh melihat kepada bahagian-bahagian badan selama mana ada keperluan kepadanya. Ini berdasarkan hadis Jabir RA:
أَنَّ أُمَّ سَلَمَةَ اسْتَأْذَنَتْ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي الْحِجَامَةِ فَأَمَرَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَبَا طَيْبَةَ أَنْ يَحْجُمَهَا قَالَ حَسِبْتُ أَنَّهُ قَالَ كَانَ أَخَاهَا مِنَ الرَّضَاعَةِ، أَوْ غُلَامًا لَمْ يَحْتَلِمْ
Maksudnya: “Bahawa Umm Salamah (isteri Nabi SAW) meminta izin daripada Rasulullah SAW untuk berbekam lalu Nabi meminta Abu Taibah untuk menjalankan rawatan bekam ke atas Umm Salamah.”
Berkata Jabir: “Aku kira bahawa Abu Taibah itu adalah saudara susuan Umm Salamah atau budak kecil yang belum baligh.” Hadis riwayat Muslim (2206) – Rujuk al-Mu`tamad fi al-Fiqh al-Syafie oleh Syeikh Muhammad al-Zuhaili (4/50); Fiqh al-Manhaji (1/126-127)
Berkata Syeikh Mulla Ali al-Qari Rahimahullah bagi syarah hadis ini:
قد صرح علماؤنا بأن غير المحرم أيضا عند الضرورة يحجم ويقصد ويختن وقال الطيبي – رحمه الله – : يجوز للأجنبي النظر إلى جميع بدنها للضرورة وللمعالجة
Maksudnya: “Telah dijelaskan oleh para ulama kita bahawa sekalipun bukan mahram boleh untuk menjalankan rawatan bekam, fasdu, dan khitan.” Berkata al-Taibi Rahimahullah: “Dibenarkan bagi lelaki ajnabi untuk melihatkan pada sekalian tubuh wanita bagi tujuan darurat dan rawatan.” Rujuk Marqah al-Mafatih ٍ (no. 3103)
Tingkatan Keutamaan Perawat Dalam Merawat Pesakit Wanita
Fuqaha mazhab Syafi’i telah meletakan syarat bahawa seorang doktor lelaki boleh merawat pesakit wanita sekiranya ketiadaan doktor perempuan. Selain itu, jika keadaan tidak darurat dan ada pilihan, maka bagi wanita yang ingin mendapatkan rawatan hendaklah mengikut keutamaan perawat atau doktor seperti panduan susunan berikut :
- Doktor pakar wanita muslim
- Doktor muda wanita muslim
- Doktor wanita bukan muslim
- Doktor mahram muslim
- Doktor mahram bukan muslim
- Doktor lelaki muslim
- Doktor lelaki bukan muslim
Kesimpulannya, pihak suami perlu berusaha mencari dan mengutamakan doktor wanita bagi menyambut kelahiran bayi. Namun, sekiranya tiada kemampuan harta mahupun ruang memilih doktor wanita di saat isteri ingin bersalin, maka ia dianggap darurat dan dibenarkan syarak mengambil khidmat doktor lelaki pada kadarnya disamping mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan.
Darurat itu memang benar-benar berlaku atas jihad seorang isteri bertarung nyawa dan bukan lagi hanya sangkaan semata-mata.
Para suami tidak dianggap dayus sekiranya sememangnya darurat sakit bersalin itu tidak ada jalan yang lain melainkan hanya dibidani oleh doktor lelaki. Situasi ini berbeza bagi para suami yang mempunyai kemampuan harta membayar doktor wanita dan masih ada ruang memilih para doktor dan perawat mengikut susunan keutamaan.
Wallahua’lam.
Sumber:
Hukum Doktor Lelaki Menyambut Kelahiran Bayi
Adakah Suami Dikira Dayus Membiarkan Isteri Bersalin Disambut Doktor Lelaki?
Leave a Reply