Kerohanian Dalam Islam

oleh Ustaz Muhammad Imran Othman

Makna Kerohanian – Apakah Kerohanian Dalam Islam

Dalam dunia pasca COVID, banyak perkara yang perlu direnungkan daripada pengalaman tiga tahun pandemik global yang kita alami bersama. Di antaranya ialah kebangkitan kerohanian. Pelbagai kebimbangan yang tercetus daripada ketidakpastian yang belum pernah dialami di seluruh dunia pada ketika itu. Hilang pekerjaan, norma berubah, dan kadar kemurungan juga meningkat. Masyarakat cuba memahami apa yang sedang berlaku. Ini merupakan antara cabaran yang hadir dengan virus yang membawa maut itu. Menurut beberapa penemuan, wabak telah mencetuskan peningkatan kerohanian.[1]

Tetapi, apakah sebenarnya kerohanian itu? Ia sering digunakan berselang-seli dengan perkataan “keagamaan”. Ini kerana pengalaman kerohanian sering dikaitkan tentang hubungan dengan Tuhan. Walau bagaimanapun, bagi sesetengah orang, istilah ini tidak semestinya mempunyai maksud yang serupa. Tinjauan awam yang dilakukan di Amerika Syarikat pada tahun 2017 mendapati adanya peningkatan kadar penduduk yang melihat diri mereka mempunyai rohani tetapi tidak beragama.[2]

Artikel ini bertujuan untuk menyentuh idea kerohanian, bagaimana ia dikaitkan dengan keagamaan dan apa pendapat Islam tentangnya.

Apakah Kerohanian?

Secara amnya [3] kerohanian merujuk kepada keadaan kerohanian atau terikat pada persoalan dan nilai berkaitan agama, dan nilai-nilai yang dihayati secara meluas. Istilah “kerohanian” juga digunakan dalam perkara bukan agama, berkait dengan persoalan moral, kewujudan, atau metafizik, terutamanya mengenai sifat jiwa, makna kehidupan, sifat fikiran, dan kemungkinan keabadian.[4]

Pemahaman Lama Tentang Kerohanian dan Keagamaan

Kerohanian dan keagamaan dianggap mempunyai satu kaitan tetapi dengan konsep yang berbeza. Mungkin ada yang berpendapat bahawa kerohanian meneroka perkara yang berkaitan jiwa dan makna kehidupan di luar dunia fizikal. Bahawa ianya unik dan tertumpu kepada pengalaman dalaman. Sebaliknya, keagamaan ditakrif sebagai amalan untuk mematuhi semua ritual dan kepercayaan agama tertentu. Ia biasanya dilihat mempunyai disiplin dan dizahirkan melalui amalan luaran.

Walaupun amalan keagamaan mungkin ada unsur kerohanian, ia bukan itu sahaja. Kerohanian membenarkan penerokaan pendapat, manakala keagamaan lebih tetap. 

Kerohanian dan Keagamaan dalam Islam

Wacana kerohanian hari ini juga telah melibatkan masyarakat yang tidak beragama. Ini boleh dikaitkan dengan pelbagai faktor, termasuk bagaimana seseorang itu mentakrifkan agama itu sendiri. Untuk umat Islam, akidah Islam kita menjawab semua aspek kehidupan. Islam bukanlah agama yang hanya boleh dijumpai di masjid atau di dalam amalan ritual seharian, tetapi ia merupakan cara hidup bermakna yang kita alami setiap hari, walaupun dalam perkara yang remeh temeh. Iman kita juga membimbing kita untuk menjawab tiga soalan falsafah besar dalam kehidupan: “Dari mana kita datang?” “Mengapa kita di sini, dan bagaimana kita harus hidup?” “Adakah harapan untuk masa depan serta kehidupan kita selepas kematian?”.

Dalam Islam, kerohanian tidak boleh dipisahkan daripada agama, ini membolehkan umat Islam untuk membentuk asas kerohanian yang kukuh  dan melayari kehidupan selari dengan ajaran Islam. Istilah “kerohanian”, atau secara literalnya “rūḥāniyyāt atau rūḥiyyāt”, khususnya dalam bahasa Arab, mungkin tidak sering digunakan dalam tradisi Islam. Tetapi ia mempunyai konotasi yang hampir sama dengan yang merujuk kepada keagamaan seseorang, dikukuhkan dengan kesedaran tentang ketuhanan atau taqwa. Apabila dikaitkan dengan makna literalnya, yang berasal daripada perkataan “rūḥ” (harfiahnya, jiwa atau roh), kerohanian dalam pengertian ini boleh difahami sebagai kaitan dengan rūḥ seseorang yang berkembang (atau bahkan merosot) berdasarkan dirinya, kepercayaan, perbuatan dan akhlaknya.

Dr Khalid Hussain menyatakan bahawa “kerohanian dalam Islam ditakrifkan sebagai wujudnya perhubungan dengan Allah yang mempengaruhi nilai diri individu, pengertian dan perhubungan dengan makhluk yang lain.” Merujuk kepada definisi ini, kerohanian Islam adalah kualiti yang harus dilakukan dengan bersungguh-sungguh dan dikembangkan secara progresif. [5]

Kesimpulannya, kerohanian bukanlah pengalaman atau istilah yang bebas daripada konsep agama kita. Ia berakar umbi dalam akidah kita dan berkait rapat dengan kepercayaan, amalan dan prinsip moral kita. Setiap pengalaman rohani juga ialah kepentingan agama.

Iḥsān—Kecemerlangan Rohani

Dalam tradisi Islam, kerohanian dilihat sebagai sebahagian daripada iḥsān, yang bermaksud kecemerlangan atau sifat yang baik. Istilah ini berasal daripada kata dasar (Arab) h-s-n, yang bermaksud baik atau cantik. Oleh itu, istilah iḥsān sering difahami sebagai kecantikan dalaman atau kecemerlangan rohani. Setiap Muslim harus bercita-cita untuk mencapai tahap kerohanian terbaik. Rasulullah SAW menjelaskan tentang ini dalam hadis mahsyur Jibrīl AS yang bermaksud:

Jibril bertanya: “Apakah ihsan itu?” Nabi SAW menjawab, “Kamu menyembah Allah seolah-olah melihat-Nya dan bila kamu tidak melihat-Nya sesungguhnya Dia melihatmu”.  (Muttafaqun ‘Alayh)

Hadis ini menjelaskan bahawa ’ibādah akan berada pada tahap yang paling tinggi apabila kehadiran Allah SWT benar-benar dirasakan atau dibayangkan. ‘Ibadah datang dalam pelbagai bentuk. Sebenarnya, setiap perbuatan kita—tindakan hati atau perbuatan badan—dalam kehidupan boleh dan harus menjadi ‘ibadah, mencari keredhaan Allah. Ini dibina di atas tujuan hidup seperti yang disebutkan dalam Al-Quran yang bermaksud: “Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu.” (Adh-Dhariyāt, 51:56)

Apabila sesuatu perbuatan itu diniatkan untuk ‘ibadah, sepertimana kita makan makanan dengan tujuan untuk menjaga kesihatan yang membolehkan seseorang itu menjalankan tanggungjawabnya, maka ia menjadi lebih bermakna dan mendapat ganjaran agama.

Apabila seorang Muslim dengan ikhlas berusaha untuk memperoleh iḥsān dalam tindakannya, dia bertujuan untuk melakukan yang terbaik. Hasilnya, mereka dikurniakan kasih sayang Allah. Ini disebutkan dalam Al-Quran: “Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik.(Ali ‘Imrān, 3:134)

Oleh itu, seseorang yang memburu pembangunan rohani, yang menjadikan aspek kehidupannya semakin baik melalui jejak langkah Rasulullah SAW yang sempurna, dan akhirnya berniat untuk mencari keredhaan Pencipta. Oleh itu, perbuatan seseorang itu dianggap sebagai teladan dan patut dicontohi.

Penyucian Jiwa

Tradisi Islam menawarkan pendekatan yang sistematik dan metodologi untuk memupuk rohani. Subjek lazim tetapi penting yang berkait rapat dengan kerohanian ialah Tazkiyat al-Nafs— secara literal bermaksud, penyucian diri. Istilah lain yang digunakan untuk subjek ilmu yang sama dipanggil Tasawwuf.

Dalam Islam, pembangunan rohani tidak akan mencapai potensi sepenuhnya tanpa pembersihan hati seseorang. Ini bermakna menghapuskan atau paling tidak mengurangkan penyakit rohani hati (amrāḍ al-qulūb).

Di bawah ini diberi sedikit contoh penyakit rohani hati: 

‘Ujub (Sombong)

Kibr (Melihat diri lebih baik berbanding orang lain dalam hal-hal dunia)

Riyā’ (Melaksanakan atau menawarkan ‘ibādah dengan niat mendapatkan pujian atau kekaguman mereka)

Hasad (Cemburu, dengki) 

Sū’ al-Ẓānn (Mempunyai prasangka buruk terhadap Tuhan atau orang lain)

Ghadab (Marah)

Bukhl (Kedekut)

Hubb al-Jāh (Cintakan kuasa, duit, pangkat dan kemahsyuran)

Penyakit-penyakit ini tetap tersembunyi di dalam hati, dan seorang Muslim tidak akan berdosa terhadap mana-mana daripadanya sehingga ia menjelma dalam bentuk lisan atau tulisan, perbuatan atau kedua-duanya. Menghapuskan penyakit ini adalah sangat sukar. Malah, ia adalah perjuangan seumur hidup melawan nafsu kita sendiri (diri yang tergoda untuk melakukan keburukan), sebagaimana Allah SWT sebutkan dalam Al-Quran yang bermaksud: “Dan tiadalah aku berani membersihkan diriku; sesungguhnya nafsu manusia itu sangat menyuruh melakukan kejahatan, kecuali orang-orang yang telah diberi rahmat oleh Tuhanku. Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Yūsuf, 12:53)

Penyakit rohani boleh menghalang perkembangan rohani seseorang dengan ketara. Kita mungkin boleh melakukan amalan agama dengan banyak, tetapi ia tidak menjamin mampu mengatasi penyakit hati kita secara keseluruhan. Dan jika tidak ada usaha untuk menyingkirkannya, akibatnya boleh menjadi sangat membimbangkan.

Dalam al-Adab al-Mufrad oleh Imam Al-Bukhārī, diriwayatkan bahawa Abu Hurairah r.a. melaporkan yang bermaksud: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya wanita rajin mendirikan solat malam, gemar puasa di siang hari, mengerjakan (kebaikan) dan bersedekah, tapi sering menyakiti tetangganya dengan lidahnya.” Rasulullah SAW bersabda: “Tidak ada kebaikan padanya, dia termasuk penghuni neraka.” Mereka (para sahabat) berkata (lagi): “Wanita (lainnya hanya) mengerjakan solat wajib, dan bersedekah dengan beberapa potong keju, tapi tidak (pernah) menyakiti seorang pun.” Rasulullah SAW bersabda: “Dia adalah penghuni syurga.” (Al-Adab Al-Mufrad)

Hadis ini seharusnya mencetuskan kebimbangan kita terhadap kemungkinan bahaya sifat-sifat negatif yang membatalkan atau mengurangkan pahala (ajr) kita untuk ’ibādah dan perbuatan baik yang kita lakukan. Dalam magnum opus Ihyā’ al-‘Ulūm al-Dīn (Kebangkitan Sains Agama), al-Imām al-Ghazālī rahimullah, menyediakan kedua-dua penyelesaian teori dan praktikal untuk menyelesaikan penyakit hati.

Faedah Pembangunan Rohani dalam Islam

Pengalaman kerohanian yang memuaskan boleh dicapai apabila seorang Muslim memenuhi kewajipannya dengan baik, dan menghindari perbuatan yang melampaui batas. Nabi SAW bersabda dalam hadis qudsi yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah Ta’ala berfirman: Siapa yang memusuhi wali-Ku maka telah Aku umumkan perang terhadapnya. Tidak ada taqarrubnya seorang hamba kepada-Ku yang lebih Aku cintai kecuali beribadah dengan apa yang telah Aku wajibkan atasnya. Dan hamba-Ku yang selalu mendekatkan diri kepada-Ku dengan nawafil (perkara-perkara sunnah diluar yang fardhu) maka Aku akan mencintainya. Dan jika Aku telah mencintainya maka Aku adalah pendengarannya yang dia gunakan untuk mendengar, penglihatannya yang dia gunakan untuk melihat, tangannya yang digunakannya untuk memukul dan kakinya yang digunakan untuk berjalan. Jika dia meminta kepada-Ku nescaya akan Aku berikan dan jika dia minta perlindungan dari-Ku niscaya akan Aku lindungi.“ (Sahih Al-Bukhari)

Berdasarkan hadis ini, kita memahami bahawa apabila seseorang itu sentiasa melakukan kebaikan yang banyak, dia akan mendapat manfaat apabila anggota badannya melakukan perkara yang betul sebagaimana yang dikehendaki Allah. Ini adalah tanda kasih sayang Allah kepada hamba-Nya. Di samping faedah pembangunan rohaniah ialah merasai kemanisan iman yang berakar umbi dalam kecintaan kepada Allah SWT: “Ada tiga perkara yang apabila perkara tersebut ada pada seseorang, maka ia akan mendapatkan manisnya iman, yaitu barangsiapa yang Allâh dan Rasûl-Nya lebih ia cintai dari selain keduanya, apabila ia mencintai seseorang, ia hanya mencintainya karena Allâh. Ia benci untuk kembali kepada kekufuran setelah Allâh menyelamatkannya sebagaimana ia benci untuk dilemparkan ke dalam Neraka.” (Sunan An-Nasāī)

Satu lagi contoh pengalaman kerohanian yang dapat dirasai oleh seorang Muslim ialah apabila zikir (berzikir) kepada Allah SWT ditetapkan dalam kehidupan seseorang. Allah SWT berkata dalam al-Quran:

(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah”. Ketahuilah dengan “zikrullah” itu, tenang tenteramlah hati manusia.” (Ar-Ra’d, 13:28)

Zikir adalah senaman rohani yang boleh dilakukan dalam mana-mana bahagian dalam rutin harian kita. Contohnya, memohon keampunan (istighfār) daripada Allah SWT sambil membuat kerja rumah. Ia adalah amalan yang boleh dilakukan oleh sesiapa sahaja tetapi selalu dilupakan. Oleh itu, setiap orang perlu sentiasa mengingatkan diri (untuk berzikir)  walaupun terdapat banyak gangguan pada masa kini.

Kerohanian dan Syariah

Adalah penting untuk kita memahami maksud sebenar kerohanian Islam. Jika tidak, kita mungkin tersilap mentakrifkannya dengan unsur-unsur yang menyimpang daripada prinsip Syariah. Sesetengah mungkin mendakwa aktiviti tertentu sebagai sebahagian daripada pengalaman kerohanian yang dibenarkan dalam agama sedangkan mereka, sebenarnya, adalah sesat.

Sebagai contoh, penerimaan wahyu (wahy) melalui ‘pemilikan rohani’ (disebut menurun dalam bahasa Melayu), dan melakukan penyembuhan rohani (ruqyah) yang bertentangan dengan prinsip Syariah.

Inilah sebabnya mengapa setiap Muslim sekurang-kurangnya harus memiliki pengetahuan yang mantap tentang Islam untuk mendapatkan panduan dalam mengamalkannya dengan cara yang betul. Mampu membezakan antara yang benar dan yang salah adalah sangat penting. Dan jika keadaan menjadi rumit atau mengelirukan, seseorang harus merujuk kepada Asatizah yang diiktiraf untuk mengesahkan sama ada sesuatu yang dipanggil ‘amalan atau pengalaman rohani’ itu dibenarkan.

Kesimpulan

Sejuk hati apabila mengetahui bahawa usaha mencari kerohanian terus meningkat, bahawa manusia sedang mencari makna, tujuan dan kebahagiaan berbanding kesenangan material yang sedang dipromosikan dan masyarakat terlalu terdedah melalui internet dan media sosial hari ini.

Tetapi, kita harus mencari jawapan di landasan yang betul. Kerohanian dari perspektif Islam tidak boleh terkecuali dari akidah. Ia bukan sekadar sejenak pengalaman atau perasaan yang tidak dapat digambarkan. Ia melibatkan komitmen dan disiplin.

Apabila mengetahui kerumitan jiwa, ini memerlukan kita mengetahui dari mana asalnya dan bagaimana cara untuk membangunkannya. Akhirnya, mereka yang telah memakmurkan jiwa adalah mereka yang benar-benar berjaya dalam hidup. Sebagaimana Allah SWT sendiri menegaskan dalam Al-Quran yang bermaksud: “Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya – yang sedia bersih – bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan), Dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya – yang sedia bersih – itu susut dan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat).”(Ash-Shams, 91:9-10)

Tentang Penulis: Ustaz Imran berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Syariah daripada Universiti Islam Madinah. Beliau juga telah memperoleh Ijazah Sarjana Falsafah daripada RZS-CASIS (Universiti Teknologi Malaysia). Ustaz Imran kini merupakan ketua Pejabat Imam di Masjid Al-Ansar.

Artikel Asal: Spirituality in Islam

Terjemahan: mymuslimin.com

Rujukan

Advertisement

One thought on “Kerohanian Dalam Islam

Add yours

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

Create a free website or blog at WordPress.com.

Up ↑

%d bloggers like this: