Asmaul Husna yang ke-63 ialah Al-Haiyyu yang bermaksud Tuhan Yang Hidup. Satu sifat yang wajib ada bagi Allah SWT, iaitu hidup yang abadi tanpa permulaan.
Orang-orang yang beriman sewajarnya mengambil iktibar daripada sifat Tuhan Yang Hidup itu. Mereka mempunyai tanggungjawab untuk menjadikan rohaniah dan juga jiwanya hidup.
Walaupun pada zahirnya manusia hidup bergerak ke sana ke mari, namun tidak kurang juga mereka yang digelar sebagai ‘bangkai bernyawa’. Maksudnya, mereka hidup secara lahiriah tetapi jiwa dan roh mereka sebenarnya sudah mati. Bukti bahawa roh mereka mati ialah apabila terlalu berat untuk melakukan ibadah dan Juga kerja-kerja kebajikan. Tetapi jika kerja maksiat tidak payah disuruh, cukup rajin melakukannya dan tidak lokek berbelanja besar.
Untuk menghidupkan hati atau roh yang mati langkah pertama ialah mendampingi orang-orang yang jiwanya hidup iaitu terdiri daripada para ulama yang solehin. Mendampingi ulama maksudnya dengan mengambil ilmu yang ada padanya, serta mencontohi sikap dan akhlak ulama. Dengan cara demikian jiwa dan hati mereka akan hidup dan kembali berfungsi sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah SWT dan rasul-Nya.
Sumber: Asmaul Husna Dengan Namamu Aku Hidup – Almarhum Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat
Leave a Reply