Teks Khutbah Jumaat: Raikan Pandangan Eratkan Persaudaraan

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,

Marilah kita bersama-sama mempertingkat takwa kepada Allah SWT dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Semoga kita semua mendapat kebaikan di dunia dan di akhirat.

Bersama-samalah kita menghayati bicara mimbar pada hari ini yang bertajuk: “Raikan Pandangan Eratkan Persaudaraan”.

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,

Isu perbezaan dan perselisihan pendapat seringkali berlaku dalam kalangan manusia. Ia adalah sunnatullah daripada penciptaan manusia yang tentunya tidak dapat dielakkan. Perselisihan ini wujud tidak hanya dalam urusan duniawi, malah ia turut melibatkan urusan agama. 

Perbezaan dan perselisihan ini berlaku lantaran kepelbagaian keupayaan dan gaya berfikir, perbezaan bahasa, budaya, adat dan latar belakang dan persepsi seseorang yang berlainan terhadap sesuatu perkara khususnya dalil atau nas. Kesemuanya ini secara tidak langsung menimbulkan kepelbagaian serta percambahan pandangan dan pendapat. 

Allah SWT menciptakan manusia itu berbagai latar belakang bangsa dan keturunan yang menjadikan kita berbeza-beza. Firman Allah SWT di dalam surah al-Hujurat, ayat 13 yang dibacakan di permulaan khutbah tadi yang bermaksud:

“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).”

Dari sisi yang lain, ia adalah suatu tanda kebesaran Allah SWT yang telah menciptakan manusia dengan keunikannya yang tersendiri. Justeru, tidak hairanlah mengapa perbezaan ini boleh berlaku sejak dari zaman dahulu sehinggalah sekarang. Islam secara dasarnya meraikan pandangan dan pendapat yang berbeza yang akhirnya membuahkan hasil yang terbaik asalkan ianya tidak membawa kepada kerosakan akidah dan keretakan hubungan persaudaraan sesama manusia.

Sebagai umat Islam, kita mestilah merujuk kepada al-Quran dan as-Sunnah yang mana kefahamannya hendaklah didasarkan kepada pegangan Ahli Sunnah wal Jamaah dengan mengambil kira maslahat umat, keadaan semasa dan realiti setempat.

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,

Perbezaan pandangan, sikap dan pendekatan adalah perkara lumrah dalam kehidupan bermasyarakat. Walau bagaimanapun adab dan akhlak mestilah sentiasa dipelihara dalam mengharmonikan perbezaan tersebut. Islam telah menggariskan adab-adab dan etika bagi menguruskan perbezaan pendapat yang berlaku khususnya dalam kalangan umat Islam, di antaranya ialah:

Pertama: Kita mestilah mengetahui had dalam berbeza pendapat dan jangan sesekali melampaui batas sepertimana yang digariskan oleh syarak. Perbezaaan pendapat yang berlaku dalam kalangan umat Islam sejak zaman para sahabat dan berlanjutan sehingga kini adalah sebahagian daripada manifestasi meraikan kepelbagaian dalam Islam.

Kedua: Kita mestilah meletakkan niat yang betul dan ikhlas tanpa mengikut dorongan nafsu. Salah satu daripada tanda-tanda ikhlas ialah apabila seseorang itu sanggup menerima kebenaran walaupun datangnya daripada orang lain yang mungkin tidak setanding dengannya dari segi ilmu pengetahuan. Inilah yang telah dicontohkan generasi terdahulu daripada kita.

Ketiga: Kita janganlah bersikap selalu ingin menang dan bersikap taksub terhadap pendapat yang kita pegang seolah-olah mahu menegakkan benang yang basah. Sifat fanatik selalunya akan menjadikan orang yang berbeza pendapat tidak mahu berganjak daripada pandangannya.

Keempat: Kita mestilah berusaha memelihara ukhuwah dan persaudaraan sesama muslim dan masyarakat. Meskipun berlaku perselisihan, setiap Muslim hendaklah memelihara adab, tingkah laku, dan perbuatan agar tidak menjadi punca persengketaan. Kata-kata nista, cacian, makian, umpatan dan sebagainya mestilah dielakkan.

Sidang jemaah yang dirahmati Allah,

Negara kita sememangnya memilki kepelbagaian kaum, bangsa dan budaya. Tanggungjawab kita sebagai warganegara ialah dengan mengukuhkan hubungan sesama kita dengan mengutamakan perpaduan ummah dan nasional. Bagi menjaga keharmonian, perpaduan dan

kestabilan negara, perkara-perkara yang perlu difahami oleh setiap masyarakat ialah berkenaan konsep taaruf iaitu saling berkenalan antara kaum dan etnik di negara ini, tafahum iaitu saling memahami dan ta’awun iaitu saling membantu sebagai tanda kasih sayang.

Jauhilah perkara-perkara yang mengundang perselisihan serta perbalahan dan serulah kepada perpaduan dan kedamaian. Ingatlah bahawa seorang Muslim itu ialah mereka yang menjaga tutur kata, lidah dan tangannya. Imam Al-Bukhari meriwayatkan hadis, daripada Abdullah bin

Amru bin Al-Ass Radiallahu’anhuma, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: 

“Seorang Muslim ialah orang yang menyelamatkan kaum muslimin dari kejahatan lisan dan tangannya.”

Kebebasan memberikan pandangan di ruang maya juga kadangkala mengundang perselisihan sehingga membawa kepada keretakan hubungan persaudaraan sehingga membawa kepada permusuhan yang berpanjangan.

Imam al-Bukhari meriwayatkan hadis, daripada Anas bin Malik Radiallahu’anhu , bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Janganlah kamu saling benci-membenci, saling dengki-mendengki dan saling bermusuhan, jadilah kamu hamba-hamba Allah yang bersaudara.”

Kita hendaklah memelihara hubungan antara kaum dan agama yang telah lama wujud di negara ini. Pelihara dan jagalah interaksi dan komunikasi kita sama ada secara bersemuka atau di media-media sosial kerana ianya melambangkan ketinggian sifat, sikap dan akhlak yang mulia sebagaimana yang diajarkan oleh Rasulullah SAW.

Marilah kita menghayati dengan baik betapa pentingnya bersikap positif dan berakhlak mulia dalam menerima kepelbagaian dan perbezaan pendapat dalam batas-batas syariat yang dibenarkan. Sesungguhnya dengan sikap demikian, kita mampu membina sebuah tamadun ilmu yang cemerlang yang dapat melahirkan masyarakat Islam yang berilmu, matang

dan memiliki jiwa yang penuh dengan rahmat bagi membentuk keharmonian hidup dalam sebuah negara yang unik dengan kepelbagaian kaum, adat dan budaya ini.

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,

Kesimpulan yang dapat diambil daripada khutbah hari ini ialah:

Pertama: Perselisihan dan perbezaan pendapat dalam kalangan manusia adalah sunnatullah yang berlaku tidak hanya dalam urusan duniawi, malah juga dalam urusan agama.

Kedua: Perbezaan pandangan, sikap dan pendekatan adalah perkara lumrah. Peliharalah adab dan akhlak dalam mengharmonikan perbezaan pendapat dan pandangan.

Ketiga: Amalkan sikap hormat-menghormati dan berlapang dada dalam menerima teguran dan pandangan orang lain serta utamakan persaudaraan dan ukhuwah sesama kita.

Mengakhiri khutbah, renungkan firman Allah SWT di dalam surah an-Nahl, ayat 125 yang bermaksud: 

“Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk.”

Tarikh Dibaca: 18 Zulhijjah 1444H/7 Julai 2023M
Disediakan oleh: Cawangan Khutbah & Latihan Bahagian Pengurusan Masjid, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑