Kita memohon perlindungan daripada Allah s.w.t yang Maha Melindungi lagi Maha Mengetahui. Nabi Muhammad s.a.w. pernah memohon perlindungan Allah untuk Al-Hasan dan Al-Husain dengan membaca doa ini. Ia juga digalakkan untuk membaca doa dengan Nama-Nama Allah.
أُعِيذُكُمَا بِكَلِمَاتِ اللَّهِ التَّامَّةِ مِنْ كُلِّ شَيْطَانٍ وَهَامَّةٍ، وَمِنْ كُلِّ عَيْنٍ لاَمَّةٍ
U’izukuma bikalimatil-lahit-tammati min kulli shaytanin wa hammah, wa min kulli ‘ainin lammah.
“Aku berlindung dengan kalimah-kalimah Allah yang sempurna dari setiap gangguan syaitan, binatang berbisa dan setiap pandangan mata yang jahat.”
(Jami’ At-Tirmizi)
Doa untuk Melindungi Anak daripada Mata Jahat
Dalam doa ini, kita memohon perlindungan daripada Allah s.w.t. terhadap syaitan, sebarang makhluk berbisa, serta mata jahat, iaitu musibah atau mudarat yang disebabkan oleh pandangan seseorang kerana hasad atau dengki. Nabi s.a.w. memperingatkan kita tentang mata jahat, terutama terhadap diri kita sendiri.
إِذَا رَأَى أَحَدُكُمْ مِنْ أَخِيهِ أَوْ مِنْ نَفْسِهِ أَوْ مِنْ مَالِهِ مَا يُعْجِبُهُ فَلْيُبَرِّكْهُ فَإِنَّ الْعَيْنَ حَقٌّ
“Apabila salah seorang di antara kamu melihat sesuatu dari saudaranya, atau pada dirinya sendiri, atau pada hartanya yang membuatnya terkesan, maka berdoalah agar ia diberkati. Sesungguhnya mata yang jahat dari dengki itu adalah benar”
(Musnad Ahmad)
Oleh itu, apabila kita terlihat sesuatu yang mengagumkan kita, hendaklah kita menyebut nama Allah dan berdoa agar ia diberkati.
Sebagai sebahagian daripada menyatakan kehambaan kita kepada Allah s.w.t, kita juga diwajibkan untuk melakukan usaha yang betul. Sesungguhnya Allah s.w.t memakbulkan doa orang-orang yang berusaha dan benar-benar ikhlas memohon pertolongan-Nya.
Sumber: Muslim.SG
Leave a comment