Interstellar & Realiti Masa

Oleh Ananimos

Aku masuk panggung sekali lagi untuk menonton filem Interstellar, karya agung Christopher Nolan, di layar perak untuk kali yang kedua. Filem yang mula ditayang di panggung pada tahun 2014 ini berkisar tentang penerokaan manusia ke cekerawala dalam mencari ‘rumah’ baru bagi menggantikan bumi yang semakin tenat untuk didiami manusia akibat pencemaran yang kronik dan kekurangan sumber makanan. Dengan berbekalkan data-data yang ada, Cooper dan tiga orang angkasawan berlepas ke langit untuk meneroka tiga planet yang berpotensi untuk menggantikan bumi. 

Menonton Interstellar kali ini membuat aku berfikir tentang masa dan realitinya. Aku bukan kaki fizik, teori relativiti, fizik kuantum dan sebagainya, tetapi cerita ini menambah keimanan aku kepada pemilik masa hakiki, Allah SWT. 

Masa di dalam filem ini tidak linear, tidak sama antara bumi dan di atas sana, tidak sama masa dalam dunia yang berbeza. Dunia 2 dimensi, 3 dimensi dan 5 dimensi, masanya berlainan sama sekali. Ketika Cooper mengetahui bahawa 1 jam merentasi black hole bersamaan dengan 7 tahun masa di bumi, beliau panik kerana beliau sedar beliau tiada cukup masa untuk kembali untuk bersama keluarganya. Sekembalinya Cooper dan Dr Brand dari planet Miller, Romilly telah tidur selama 23 tahun menanti mereka sedangkan pada mereka, mereka hanya mengambil masa 2 jam untuk pengembaraan tersebut.

Dan tahukah anda, fakta saintifiknya ialah satu tahun di Saturn menyamai 29 tahun di bumi? Firman Allah SWT di dalam Al-Quran, “Sesungguhnya satu hari dari hari-hari azab di sisi Tuhanmu adalah menyamai seribu tahun dari yang kamu hitung.” (Al Hajj 22:47) Jelas sekali masa kita di dunia ini singkat sekali kerana 1 hari di akhirat bersamaan dengan 1000 tahun di sini.  

Babak-babak ini mengingatkan aku tentang janji Allah SWT bahawa manusia itu tidak lama di dunia ini. Firman Allah SWT dalam surah Al-Mukminun: “Allah bertanya lagi (kepada mereka yang kafir itu): “Berapa tahun lamanya kamu tinggal di bumi?” Mereka menjawab: “Kami tinggal (di dunia) selama sehari atau sebahagian dari sehari; maka bertanyalah kepada golongan (malaikat) yang menjaga urusan menghitung. Allah berfirman: “Kamu tidak tinggal (di dunia) melainkan sedikit masa sahaja, kalau kamu dahulu mengetahui hal ini (tentulah kamu bersiap sedia).(Al-Mukminun 23:112-114) 

Hakikatnya, masa di dunia ini begitu singkat dan akan berlalu dalam sekelip mata sahaja. Namun, ramai yang beranggapan, kita mempunyai masa yang banyak di dunia, kurang-kurangnya 63 tahun, seusia Rasulullah SAW. Lantas, banyak perkara ditangguh-tangguhnya akibat persepsi ini. Apabila ditimpa kesusahan, manusia itu merasakan ujian yang ditempuhnya begitu perit dan lama sekali. 

Realitinya, masa itu relatif. Bagaimana masa yang ‘panjang’ tadi tiba-tiba menjadi pendek apabila manusia ditimpa ujian seperti penyakit kanser, peperangan, pandemik dan sebagainya? Ini kerana, hakikatnya, masa itu hanyalah persepsi. Apabila Cooper berada di dalam dunia lima dimensi, dia cuba untuk berkomunikasi dengan anaknya Murph yang masih kecil untuk memberitahu apa yang dia telah temui. Bagaimana dia yang berada di dimensi lain boleh berkomunikasi dengan manusia di masa lampau? Ya, aku sedar filem ini fiksyen. Tetapi, hakikat yang tidak boleh disangkal ialah masa itu bukanlah linear. 

Al-Quran merupakan keajaiban yang melangkaui masa dan memberi amaran kepada kita tentang keadaan di akhirat (masa depan) dan memberitahu apakah persediaan yang perlu dilakukan untuk menghadapinya. Kisah Rasulullah SAW naik ke langit dan melihat syurga dan neraka juga ialah masa depan yang ditunjukkan Allah SWT kepada Baginda SAW. Maka yakinlah, bahawa masa di dunia ini begitu singkat dan wujudnya alam lain yang mempunyai masa dan elemen yang berlainan daripada apa yang kita sangka dan biasa.  

Oleh itu, kita sering disuruh untuk mengingati mati dan mengimani hari pembalasan kerana dengan ingatan itu manusia akan membuat persediaan sedaya mungkin. Rasulullah SAW menyarankan kita agar mengingati kematian ketika kita sedang solat kerana solat itu mungkin menjadi solat terakhir kita.  

Nabi S.A.W bersabda,

اذْكُرِ المَوتَ فِى صَلَاتِكَ فإنَّ الرَّجُلَ إِذَا ذَكَرَ المَوْتَ فِى صَلَاتِهِ فَحَرِىٌّ أْن يُحْسِنَ صَلَاتَه وَصَلِّ صَلَاةَ رَجُلٍ لَا يَظُنّ أنَّهُ يُصَلِّى صَلَاةً غيرَهَا وَإِيَّاكَ وكلَّ أمرٍ يعتذرُ مِنْهُ

Maksudnya: “Ingatlah kematian dalam solatmu kerana jika seseorang mengingat mati dalam solatnya, maka ia akan mempeelokkan solatnya. Solatlah seperti solat orang yang tidak menyangka bahawa dia masih berkesempatan untuk melakukan solat yang lain. Hati-hatilah dengan perkara yang kelak kamu terpaksa meminta uzur (meralatnya) (kerana tidak mampu memenuhinya).” (Riwayat al-Baihaqi dalam Kitab Al-Zuhd) 

“Dan Allah yang menciptakan kamu (dari tiada kepada ada); kemudian Ia menyempurnakan tempoh umur kamu; (maka ada di antara kamu yang disegerakan matinya),….” (An-Nahl 16:70)

Bagi aku, Interstellar memang sebuah karya hebat yang membuatkan aku menangis teresak-esak di hadapan Tuhanku yang Maha Besar, pemilik seluruh alam. Menyedari bahawa aku yang sekecil atom di dalam cakerawala yang luas masih disayangi dan dipeduli oleh Allah SWT, menambah keyakinan aku bahawa Dia-lah Ar-Rahman, Ar-Rahim, Tuhanku Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.   

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑