“Sesungguhnya telah ada pada diri Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu iaitu bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan kedatangan hari kiamat dan dia banyak menyebut nama Allah.”
(Al-Ahzab 33:21)
Diriwayatkan daripada Abi Ruqayyah Tamim bin Aus ad-Dariya bahawa sesungguhnya Nabi SAW bersabda yang bermaksud:
“Agama itu nasihat. Kami bertanya: ‘Untuk siapa?’ Baginda menjawab: ‘Untuk Allah, Kitab-Nya, Rasul-Nya, para pemimpin kaum Muslimin, dan bagi manusia umumnya.””
(Riwayat Muslim no. 55)
Huraian
“Nasihat” bermaksud “menginginkan segala hal yang baik”. Dalam bahasa Arab tidak ada perkataan lain yang pengertiannya setara dengan perkataan “nasihat”.
Sebagaimana disebut oleh para ulama bahasa Arab tentang kata “al-falah” yang tidak mempunyai padanan setara dengannya, yang mencakupi makna “kebaikan dunia dan akhirat.”
Kalimah “agama itu nasihat” atau “agama ialah nasihat” bermaksud bahawa nasihat sebagai tiang dan penyokong agama.
Sebagaimana halnya sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Haji ialah Arafah,” (Riwayat an-Nasai’ no. 3016) yang bermaksud bahawa wuquf di Arafah adalah tiang dan bahagian terpenting dalam ibadah haji.
Menurut Imam al-Nawawi, nasihat itu wajib sekadar yang mampu dengan syarat seorang itu mengetahui bahawa nasihatnya akan diterima, suruhannya akan dipatuhi dan dirinya tidak terancam. Tanpa syarat ini, tidaklah diwajibkan.
Tentang pentafsiran kata “nasihat” dan berbagai-bagai cabangnya, al-Khathabi dan ulama-ulama lain mengatakan:
1. Nasihat Untuk Allah
- Beriman semata-mata kepada-Nya.
- Menjauhkan diri daripada perbuatan syirik dalam iktikad dan ibadat.
- Menjauhkan diri daripada sikap ingkar terhadap suruhan-Nya.
- Mengagungkan Allah dengan sifat-sifat sempurna.
- Menyucikan-Nya daripada segala sifat kekurangan.
- Mentaati-Nya.
- Menjauhkan diri daripada perbuatan dosa.
- Mencintai dan membenci sesuatu semata-mata kerana-Nya.
- Berjihad menghadapi musuh. Mengakui dan bersyukur atas semua nikmat-Nya.
- Ikhlas dalam segala urusan.
- Mengajak manusia melakukan segala perkara yang baik.
- Bersikap lemah lembut kepada sesama manusia.
Al-Khathabi seterusnya berkata:
“Secara prinsip, kebaikan daripada sifat-sifat baik tersebut kembali kepada pelakunya sendiri, kerana Allah tidak memerlukan kebaikan daripada sesiapa pun.”
2. Nasihat Untuk Kitab-Nya
- Beriman kepada kitab-kitab-Nya.
- Beramal mengikut petunjuk dan pengajarannya.
- Dimulia dan ditinggikan kehormatannya dengan memandang keutamaannya daripada segala kitab lain.
- Yakin pedomannya ialah panduan hidup untuk selamanya di segala tempat dan zaman.
- Membaca ayatnya dengan cara yang betul.
- Memahami maksud ayatnya.
- Mencari rahsia dan memerhati hukumnya.
- Mendalami ilmu pengetahuan tentangnya.
- Berubah untuk menyesuaikan diri dengan pengajarannya.
3. Nasihat Untuk Rasul-Nya
- Membenarkan kerasulannya.
- Mempercayai ajaran yang dibawanya.
- Mematuhi suruhan dan meninggalkan larangannya.
- Membela agamanya.
- Memusuhi sesiapa yang melawannya.
- Mencintai sesiapa yang mencintainya.
- Menghidupkan perjalanan dan sunahnya pada diri dan dalam masyarakat.
4. Nasihat Untuk Para Pemimpin Kaum Muslimin
- Menolong dan menyokong mereka dalam perkara kebenaran dan keadilan.
- Patuh kepada mereka dalam urusan kebaikan.
- Tegur mereka dengan cara yang sopan.
- Mengingatkan mereka ketika mereka lalai daripada kewajipan.
- Jangan menghasut orang ramai untuk berpecah belah.
5. Nasihat Untuk Manusia Umum
- Memimpin mereka ke jalan yang benar.
- Mengawasi mereka daripada terjerumus ke jalan yang salah.
- Mengajar mereka.
- Belajar daripada mereka.
- Saling menolong antara me- reka dalam perkara kebaikan dan takwa.
- Saling menghormati.
- Saling mencintai.
- Bersama-sama menjaga kemaslahatan hidup dengan menjauhi sifat-sifat yang mem- bangkitkan fitnah dan permusuhan.
- Memahamkan mereka bahawa setiap orang ialah anggota dalam masyarakat.
Sumber: Hadis 40 Imam Nawawi, Zahazan Mohamed & Muhammad Zakaria