Asmaul-Husna yang ke-76 ialah Al-Batin yang bererti Tuhan itu Maha Tersembunyi. Dalam erti kata Dia tidak dapat dikesan oleh pancaindera manusia. Tiada seorang makhluk pun yang dapat melihat Zat Allah SWT atau mengetahui hakikat Zat-Nya.
Oleh kerana Allah SWT sangat jelas Qudrat-Nya dan tersembunyi zat-Nya Yang Maha Suci, maka sepatutnya orang mukmin mengambil pengajaran daripada sifat tersebut bahawa manusia dari segi zatnya dapat dilihat oleh orang lain. Lantaran itu manusia dapat dilihat dan mudah dikenali keperibadiannya sama ada dia sebagai orang yang soleh ataupun sebagai ahli maksiat dan seumpamanya.
Lantaran tubuh, peribadi dan perilaku manusia tidak dapat diselindung daripada perhatian orang ramai, wajiblah diperbaiki segala kelemahan diri supaya jangan sampai dirinya dikenali sebagai orang yang buruk perangai atau akhlaknya.
Tetapi dari segi malaikah iaitu sifat-sifat murni yang menjadi rahsia antara dirinya dengan Allah SWT maka janganlah ia didedahkan kepada orang ramai. Misalnya, mengenai keikhlasan hati yang akan dinilai oleh Allah SWT, janganlah seseorang itu cuba meyakinkan orang lain dengan mendakwa dirinya ikhlas. Manusia tidak boleh menilai keikhlasan hati manusia kecuali Allah SWT sahaja yang sebenarnya tahu seseorang itu ikhlas ataupun sebaliknya.
Sumber: Asmaul Husna Dengan Namamu Aku Hidup – Almarhum Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat
Leave a comment