Diriwayatkan daripada Abi Hurairah RA, bahawa seorang lelaki berkata kepada Nabi SAW: “Berilah wasiat kepadaku.” Nabi SAW bersabda:
لَا تَغْضَبْ
Maksudnya: “Jangan marah.” Baginda mengulanginya beberapa kali dan bersabda: “Jangan marah.” (Riwayat al-Bukhari no. 6116)
Huraian
Pengarang kitab al-Ifshah berkata: “Mungkin tindakan Nabi menasihati lelaki itu disebabkan Baginda mengetahui sikapnya yang sering marah, sehingga nasihat ini ditujukan khusus kepadanya. Nabi SAW memuji orang yang dapat mengendalikan hawa nafsu nya ketika marah.”
Sabda Baginda yang bermaksud:
“Bukanlah dikatakan orang kuat kerana dapat menumbangkan lawannya, tetapi orang yang kuat ialah orang yang mampu mengendalikan hawa nafsunya pada waktu marah.”
(Riwayat al-Bukhari no. 6114)
Allah SWT juga memuji orang yang dapat mengendalikan nafsunya ketika marah dan suka memberi maaf kepada orang lain.
Diriwayatkan daripada Nabi SAW bahawa Baginda bersabda yang bermaksud:
“Sesiapa yang menahan marahnya padahal dia boleh melepaskannya, kelak Allah akan memanggilnya pada hari kiamat di hadapan segala makhluk, sehingga dia diberi hak untuk memilih bidadari yang disukainya.”
(Riwayat at-Tirmizi no. 2021)
Pengajaran
- Dianjurkan bagi setiap Muslim memberikan nasihat yang baik.
- Kita hendaklah mengenal perbuatan-perbuatan yang bersifat kebajikan.
- Kita hendaklah sentiasa menambah wawasan ilmu yang bermanfaat.
- Kita dianjurkan mengulangi percakapan hingga pendengar menyedari betapa penting kedudukannya.
- Islam menggalakkan umatnya meninggalkan sifat pemarah.
- Selalulah mendapatkan nasihat, mengetahui aspek-aspek kebenaran dan sentiasa menambah ilmu pengetahuan dengan ilmu yang bermanfaat.
- Sedikit bercakap dan banyak bekerja.
- Orang yang marah bertanggungjawab atas akibat perbuatan marahnya.
- Marah yang terpuji ialah marah kerana mencari keredaan Allah, membela agama Allah, membela kehormatan seseorang Muslim yang dihina atau direndah-rendahkan.
Cara Mencegah Kemarahan
- Jauhi akhlak yang tercela seperti sombong, tinggi diri, bangga diri, menghina orang lain, banyak bercanda, suka perdebatan dan sebagainya.
- Didik diri dengan akhlak mulia seperti sabar, lemah lembut, tidak tergesa-gesa dalam segala hal dan sebagainya.
- Berlatih memaafkan orang yang membuat salah.
- Bersikap tawaduk. Mengucapkan ta’awwuz
أَعُوْذُ بالله منَ الشَّيْطَانِ الرَّحِيم.
- Mengubah posisi daripada berdiri kepada duduk atau daripada duduk kepada berbaring
- Berhenti berbicara
- Berwuduk
“Dan baikilah (dengan sebaik-baiknya perbuatan kamu, sesungguhnya Allah mengasihi orang yang berusaha membaiki amalannya.”
(Al-Baqarah 2:195)
Sumber: Hadis 40 Imam Nawawi, Zahazan Mohamed & Muhammad Zakaria