Hadis 40 Imam Nawawi: Hadis 17 – Kebaikan Pada Semua Perkara

Daripada Abi Ya’la Syaddad bin Aus meriwayatkan daripada Rasulullah SAW, bahawa Baginda bersabda:

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah telah menetapkan ihsan (kebaikan) atas semua perkara. Oleh sebab itu, jika engkau membunuh (dalam peperangan), bunuhlah dengan baik; jika kamu menyembelih, sembelihlah dengan baik. Dan hendaklah seseorang daripada kamu menajamkan pisaunya dan menyenangkan (tidak menyeksa) haiwan sembelihannya.”

(Riwayat Muslim no. 1955)

Huraian 

Ihsan bermaksud melakukan sesuatu dengan kaedah terbaik. Hadis ini menjelaskan kaedah dan dasar yang perlu dipegang oleh setiap Muslim dalam setiap perlakuan dan tindakan.

Kaedah itu ialah: Hendaklah berlaku ihsan dalam semua tindakan dan perlakuan harian.

Untuk menjelaskan kaedah ini Rasulullah SAW mendatangkan dua contoh iaitu:

  • Ketika bertindak dalam melaksanakan hukuman bunuh atau qisas.
  • Ketika menyembelih haiwan.

Hukuman Bunuh

Perlakuan ihsan dalam menjalankan hukuman bunuh ialah:

  • Tiada unsur penganiayaan. 
  • Menyegerakan kematian. 
  • Memancung tengkuk sebagaimana sabit dalam al-Quran dan beberapa hadis Baginda SAW.
  • Bukan dengan hukum tembak kerana menembak boleh melambatkan kematian dan menyebabkan kesakitan serta penyeksaan.
  • Pedang yang digunakan mestilah ditajamkan terlebih dahulu.

Penyembelihan

Perlakuan ihsan dalam menyembelih haiwan ialah:

  • Menyegerakan kematian.
  • Menggunakan mata pisau yang benar-benar tajam.
  • Menyembelih dengan lemah lembut. 
  • Tidak merebahkan haiwan sembelihan ke tanah dengan kasar. 
  • Tidak menyeretnya. Menghadapkannya ke kiblat.
  • Membaca basmalah (bismillah) dan hamdallah (alhamdulillah). 
  • Memotong urat nadi lehernya.
  • Membiarkannya hingga mati baru disiang atau dilapah.
  • Mengakui nikmat dan mensyukuri pemberian Allah kerana Allah telah menundukkan haiwan tersebut kepada kita, padahal Dia berkuasa untuk menjadikannya susah untuk kita menguasainya seperti memburu binatang buas. 
  • Mensyukuri nikmat Allah yang telah menghalalkan dagingnya untuk kita padahal Dia berkuasa untuk mengharamkannya.

Sumber: Hadis 40 Imam Nawawi, Zahazan Mohamed & Muhammad Zakaria

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑