أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْمِ
وَرَحْمَتِى وَسِعَتْ كُلَّ شَىْءٍۢ ۚ فَسَأَكْتُبُهَا لِلَّذِينَ يَتَّقُونَ وَيُؤْتُونَ ٱلزَّكَوٰةَ وَٱلَّذِينَ هُم بِـَٔايَـٰتِنَا يُؤْمِنُونَ (١٥٦)
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِۦ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ (١٠٢)
Muslimin yang dirahmati Allah SWT sekalian,
Saya menyeru agar kita bersama-sama meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah SWT dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Marilah kita memberi sepenuh tumpuan kepada khutbah yang disampaikan. Janganlah berbual-bual dan berleka-leka dengan telefon bimbit. Semoga khutbah ini memberi manfaat kepada kita semua.
Mimbar Jumaat pada hari ini akan membicarakan khutbah yang bertajuk: “Kelebihan Umat Muhammad SAW”
Hadirin Jumaat yang dirahmati Allah,
Imam Ibnu Jarir al-Tabari menukilkan dalam Tafsirnya “al-Tabari” sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radiallahuanhu bahawa ketika peristiwa Israk dan Mikraj Nabi Muhammad SAW bersabda dengan maksudnya:
Sesungguhnya Engkau Ya Allah telah menjadikan Nabi Ibrahim Alaihissalam sebagai kekasih, Engkau juga telah bercakap dan berbual dengan Nabi Musa Alaihissalam, Engkau telah memberikan kerajaan yang besar terhadap Nabi Daud Alaihissalam dan telah melenturkan besi untuknya serta telah menundukkan gunung baginya. Engkau juga telah memberikan kerajaan yang agung untuk Nabi Sulaiman Alaihissalam, telah menundukkan jin, manusia dan syaitan bagi Nabi Sulaiman Alaihissalam, Engkau juga telah menundukkan angin baginya dan Engkau juga telah memberikan kekuasaan kepada Nabi Sulaiman Alaihissalam, iaitu kekuasaan dan kedudukan yang tidak patut bagi seseorang yang lain setelah itu. Engkau telah mengajarkan Taurat kepada Nabi Musa Alaihissalam dan Injil kepada Nabi Isa Alaihissalam dan menjadikan dia dapat menyembuhkan orang buta dan penyakit sopak serta dapat menghidupkan kembali orang yang meninggal dunia dengan izin-Mu. Engkau juga telah melindunginya dan ibunya daripada syaitan hingga akhirnya tiada jalan bagi syaitan untuk menggoda Nabi Isa Alaihissalam.
Lalu Allah SWT berkata kepada Nabi SAW: “Sesungguhnya Aku telah menjadikanmu sebagai kekasih, telah termaktub dalam kitab Taurat bahawa Nabi Muhammad SAW adalah kekasih Tuhan Yang Maha Pengasih, Aku telah mengutusmu untuk semua manusia bagi membawakan khabar gembira dan untuk memberi peringatan kepada mereka, Aku juga telah melapangkan dadamu dan Aku juga telah mengampunkan kesalahanmu serta meninggikan namamu dengan selalu disebut. Diri-Ku tidak akan pernah disebut kecuali kamu juga disebut bersama-Ku.
Allah SWT berfirman lagi: Aku juga telah menjadikan umatmu sebagai umat yang terbaik dikeluarkan untuk semua umat manusia. Aku juga telah menjadikan umatmu sebagai umat yang pertengahan (wasath) serta menjadikan mereka sebagai umat yang terdahulu masuk syurga sedangkan umat yang terakhir. Aku jadikan umatmu tidak harus bagi mereka berhujjah sehingga mereka bersaksi bahawa kamu adalah hamba-Ku dan utusan-Ku. Aku jadikan daripada kalangan umatmu kaum-kaum yang hati mereka selalu lembut. Aku telah memberikan kamu tujuh ayat dalam surah al-Fatihah yang tidak pernah diberikan kepada Nabi-nabi sebelum kamu, Aku berikan kamu penutup Surah al-Baqarah daripada perbendaharaan yang terdapat di bawah Arasy, hal ini tidak pernah Aku berikan kepada Nabi sebelum kamu, dan Aku berikan Telaga Kauthar kepadamu.
Selain itu, Aku telah kurniakan kepadamu lapan keutamaan, iaitu Islam, hijrah, jihad, solat, sedekah, puasa Ramadhan, amar makruf dan nahi mungkar (memerintahkan hal yang baik dan melarang hal yang mungkar). Aku juga telah menjadikan kamu sebagai pembuka dan juga sebagai penutup dan telah diwajibkan ke atas kamu lima puluh kali solat. Setelah itu perawi menyebutkan kisah berulang aliknya Nabi SAW antara Nabi Musa Alaihissalam dan Tuhannya untuk meminta pengurangan bilangan solat yang diperintah dalam sehari sehingga menjadi 5 kali sahaja.
Hadirin Jumaat yang dikasihi Allah,
Dialog Allah Taala dengan Nabi Muhammad SAW dalam peristiwa Mikraj ini memperincikan kelebihan umat Nabi Muhammad SAW. Walaupun Nabi dan umat terdahulu diberikan keistimewaan tertentu, namun kelebihan umat ini terlalu istimewa yang tidak diberikan kepada umat yang lain. Ini kerana Allah SWT sendiri telah menegaskan sedemikian.
Satu ketika Abu Ubaidah Radiallahuanhu bertanya kepada Rasulullah SAW, apakah ada orang yang lebih baik daripada kami, sedangkan kami masuk Islam dan berjihad bersamamu?. Jawab Nabi SAW: Ada! Mereka adalah orang-orang yang datang setelah kamu, mereka beriman kepadaku, sedangkan mereka tidak pernah melihatku. (Riwayat al-Tobarani).
Hadirin Jumaat yang dikasihi Allah,
Terdapat banyak lagi kelebihan umat Nabi Muhammad SAW. Sebahagian darinya adalah dimurahkan keampunan, ahli batil tidak dapat mengalahkan umat ini. Umat ini diberi kelebihan solat dan puasa. Solat antara kelebihannya adalah keampunan, bebas dari sifat nifaq dan selamat dari neraka. Puasa pula kelebihannya bersih tubuh daripada perkara yang haram, dekat dengan rahmat Allah SWT, beramal yang baik-baik, terpelihara daripada lapar dan dahaga, mendapat cahaya dan melintasi titian dengan mudah serta mendapat kemuliaan-kemuliaan di syurga. Berbeza Rasulullah SAW daripada Nabi-Nabi yang lain ialah menyimpankan doa mustajabnya untuk memberi syafaat kepada umatnya.
Kelebihannya lagi adalah pahala umat ini diganda-gandakan pahalanya berbanding umat yang lain. Umat ini dianugerahkan Istirja’ iaitu sebutan (إِنَّا ِلِلَّٰهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ) dan kerananya mereka mendapat selawat, keampunan dan rahmat. Selain itu, Allah SWT menutup aib maksiat yang kita lakukan, sedangkan maksiat yang dilakukan oleh umat terdahulu akan tertulis dosa dan kafarahnya di depan pintu-pintu rumah mereka. Nabi Isa Alaihissalam yang turun dan membunuh dajjal nanti bukan sebagai Nabi, tapi sebagai umat Nabi Muhammad SAW. Selain itu, Rasulullah SAW akan memberi minum umat ini daripada air Telaga Kauthar.
Sebuah Hadis daripada Abu Hurairah Radiallahuanhu bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Aku diberi keutamaan atas para nabi dengan enam perkara. Pertama: aku diberikan Jawami’ al-Kalim. Kedua: Aku ditolong dengan rasa takut (yang dihunjamkan di dada-dada musuh aku). Ketiga: Ghanimah dihalalkan untukku. Keempat: bumi dijadikan suci untukku dan juga sebagai masjid. Kelima: Aku diutuskan kepada seluruh makhluk. Keenam: Para nabi ditamatkan dengan kerasulanku.”
(Riwayat Muslim)
Hadirin Jumaat yang dikasihi Allah,
Pengajaran dan penghayatan khutbah ini ialah:
1. Umat Islam hendaklah bersyukur menjadi umat Muhammad SAW dengan menggunakan seluruh nikmat Allah yang Allah kurniakan kepada kita untuk mencari keredaan-Nya, mematuhi suruhan-Nya dan menjauhi larangan-Nya secara fizikal dan amalan hati.
2. Umat Islam hendaklah mengamalkan semampu mungkin sunnah Rasulullah SAW dan berpeluang besar meneguk air daripada Telaga Kauthar Rasulullah SAW.
3. Umat ini telah dimuliakan kerana tugas yang dipikulnya. Umat ini akan sentiasa dalam keutamaan, kebaikan dan dalam pertolongan Allah SWT selagimana menjalankan tugas para Nabi, mengajak manusia kepada kebaikan dan mencegah mereka daripada kemungkaran.
أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْمِ
كُنتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِٱلْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ ٱلْمُنكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِٱللَّهِ ۗ وَلَوْ ءَامَنَ أَهْلُ ٱلْكِتَـٰبِ لَكَانَ خَيْرًۭا لَّهُم ۚ مِّنْهُمُ ٱلْمُؤْمِنُونَ وَأَكْثَرُهُمُ ٱلْفَـٰسِقُونَ (١١٠)
“Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji) serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenarbenar iman) dan kalaulah Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka orang-orang yang fasik.”
(Ali ‘Imran 3: 110)
Tarikh Dibaca: 28 Rejab 1445H/9 Februari 2024M
Terbitan: Unit Khutbah Bahagian Pengurusan Masjid,
Jabatan Agama Islam Selangor
Okay 👍👌
LikeLike