Daripada Abu Najih al-‘Irbadh bin Sariah RA berkata:
وَعَظَنَا رَسُوْلَ اللهِ مَوْعِظَةً وَجِلَتْ مِنْهَا الْقُلُوْبُ وَذَرَفَتْ منْهَا الْعُيُونُ. فَقُلْنَا: يَا رَسُوْلَ اللهِ! كَأَنَّهَا مَوْعِظَةً مُوَدّع، فَأَوْصِنَا. قَالَ: أَوْصِيْكُمْ بِتَقْوَى اللَّهِ، وَالسَّمْعِ وَالطَّاعَةِ وَإِنْ تَأَمَّرَ عَلَيْكُمْ عَبْدٌ. فَإِنَّهُ مَنْ يَعِشْ مِنْكُمْ؛ فَسَيَرَى اخْتِلَافًا كَثِيرًا . فَعَلَيْكُمْ بِسُنَّتِي وَسُنَّةِ الْخُلَفَاءِ الرَّاشِدِيْنَ الْمَهْدِيّينَ. عَضُوْا عَلَيْهَا بِالنَّوَاجِدِ. وَإِيَّاكُمْ وَمُحْدَثَاتِ الأُمُورِ. فَإِنَّ كُلَ بِدْعَة ضَلَالَةٌ
Maksudnya: Rasulullah SAW menasihati kita dengan nasihat perpisahan yang menggetarkan hati dan membuat air mata jatuh bercucuran. Kami bertanya: “Wahai Rasulullah, nasihat itu seakan-akan nasihat yang terakhir, oleh itu berilah kami wasiat.” Nabi SAW bersabda: “Saya memberi wasiat kepadamu agar tetap bertakwa kepada Allah SWT, mendengar dan taat walaupun yang memerintahkanmu ialah seorang hamba. Sesungguhnya, sesiapa antara kamu masih hidup nescaya bakal menyaksikan banyak perselisihan. Oleh itu, berpegang teguhlah kepada sunahku dan sunah Khulafa al-Rasyidin yang mendapat petunjuk. Dan berpeganglah kepada sunah-sunah itu dengan kuat dan jauhilah olehmu akan hal-hal baharu yang diada-adakan (bidaah) kerana sesungguhnya semua bidaah itu sesat.”
(Riwayat Abu Daud no. 4607 dan al-Tirmizi no. 2676)
Huraian
Sabda Nabi SAW yang bermaksud:
“Sesungguhnya sesiapa antara kamu masih hidup nescaya bakal menyaksikan banyak perselisihan.”
Ini termasuk salah satu mukjizat Baginda yang memberitahu kepada para sahabatnya peristiwa-peristiwa yang akan berlaku seperti terjadinya perselisihan dan meluasnya kemungkaran sepeninggalan Baginda.
Baginda telah mengetahui hal itu secara terperinci, tetapi Baginda tidak menjelaskan hal itu secara terperinci kepada setiap orang, namun hanya menjelaskan secara umum.
Dalam beberapa hadis Ahad disebutkan Baginda menerangkan hal seperti itu kepada Hudzaifah dan Abu Hurairah yang menunjukkan bahawa kedua-dua orang itu memiliki kedudukan dan tempat yang penting di sisi Rasulullah SAW.
Ciri-Ciri Peringatan Yang Berkesan
- Memberi manfaat kepada agama dan dunia.
- Menggunakan lafaz yang paling tepat.
- Fasih dalam penyampaian dan indah pula didengari.
- Ada tajuk tertentu, bukan berleter atau membebel.
- Tidak terlalu panjang tetapi ringkas dan padat supaya pendengar tidak hilang fokus.
- Memilih waktu yang sesuai untuk menasihati.
- Memilih gaya percakapan dan intonasi alunan suara yang sesuai. Rasulullah SAW ketika memberi peringatan berubah keadaannya. Jabir bin Abdullah RA telah berkata, “Rasulullah SAW apabila berkhutbah, merah matanya, tinggi suaranya, bersangatan kemarahan nya seolah-olah Baginda adalah komandan tentera.” (Riwayat Muslim no. 867 – Imam an-Nawawi mengatakan kemarahan itu mungkin apabila Baginda sedang memberi peringatan tentang sesuatu perkara yang besar.)
Ciri-Ciri Pendakwah (Dai) Yang Berjaya
- Yakin dengan kata-kata yang dilafazkan.
- Kesan atau natijah kata-katanya nampak lahir pada dirinya.
- Jiwa berkobar-kobar untuk menyampaikan kepada jiwa pendengar.
- Memiliki hati yang murni dan bersih daripada sebarang kekotoran. Perkataan dari hati akan sampai ke hati pendengar. Sebaliknya perkataan yang hanya datang dari bibir akan hanya masuk telinga kanan, keluar telinga kiri pendengar.
- Akhlak dan tingkah laku hendaklah menepati perkataannya. Allah berfirman:
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ لِمَ تَقُولُونَ مَا لَا تَفْعَلُونَ(٢) كَبُرَ مَقْتًا عِندَ ٱللَّهِ أَن تَقُولُوا۟ مَا لَا تَفْعَلُونَ (٣)
Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu memperkatakan apa yang tidak kamu lakukan. Amat besar kebencian di sisi Allah jika kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak lakukan.
(Surah al-Saff 61:2-3)
Bidaa
Syarak: Sesuatu yang diada-adakan dalam agama yang bersalahan dengan perintah Allah dan dalil syarak sama ada yang khas atau yang umum. Bidaah adalah dicela dan inilah yag dimaksudkan dengan, “Setiap bidaah itu sesat.” adapun perkara-perkara baru yang ada asas maka tidaklah dicela
Bahasa: Sesuatu yang dicipta dengan tidak ada contoh yang terdahulu. Sebahagian sahabat memandang baik beberapa perkara bidaah.
Antaranya ialah kata-kata Sayidina Umar RA ketika beliau keluar mengumpulkan orang ramai untuk bersolat tarawih pada bulan Ramadan dengan mengikut seorang imam di masjid, “Ini adalah sebaik-baik bidaah.”
Diriwayatkan oleh Ubai bin Kaab bahawa beliau telah berkata kepada Sayidina Umar RA “Ini tidak pernah berlaku.” Umar RA menjawab, “Sesungguhnya aku mengetahuinya tetapi ini adalah sesuatu yang baik”
Contoh Bidaah Yang Baik
- Pengumpulan al-Quran yang berlaku pada zaman Sayidina Abu Bakar RA.
- Memerangi orang yang tidak mengeluarkan zakat.
- Menjadikan orang ramai berpegang dengan satu mashaf al-Quran sahaja.
- Menghantar beberapa naskhah mashaf tersebut ke beberapa tempat pada zaman Sayidina Uthman RA.
Pendapat Imam Syafi’i Tentang Bidaah
Imam Syafi’i berkata:
“Bidaah ada dua jenis; bidaah yang dipuji dan bidaah yang dikeji. Sesuatu yang menepati sunah maka ia dipuji dan sesuatu yang menyalahi sunah maka ia terkeji. Perkara yang baru (al-Muhdasat) itu ada dua bentuk. Perkara baharu yang menyalahi kitab, sunah, athar dan ijmak, maka itu adalah bidaah yang sesat. Manakala perkara baharu yang mempunyai kebaikan dan tidak menyalahi kitab, sunah, athar dan ijmak, maka itu adalah bidaah yang baik dan tidak dikeji. Banyak perkara baharu yang diadakan dan para ulama bersepakat mengatakan bahawa itu adalah bidaah hasanah (yang baik), dan tidak perlu dikembalikan (dirujuk) kepada sunah.”
Sumber: Hadis 40 Imam Nawawi, Zahazan Mohamed & Muhammad Zakaria
Leave a comment