Soalan
Saya ada beberapa soalan berkenaan mengumpat.
- Sekiranya seseorang dengan sengaja membaca hantaran di media sosial yang mengumpat, adakah pembaca itu dapat dosa sama banyak dengan tukang umpat yang membuat hantaran tersebut?
- Jika jawapan soalan pertama ya, sekiranya tukang mengumpat itu non-muslim, dan dia mengumpat dengan cara yang mengkufurkan seperti berkata perkara yang mengkufurkan semasa mengumpat, adakah pelihat mengumpat yang Muslim akan jatuh kafir kerana mendapat dosa sama banyak.
- Jika jawapan soalan pertama ya, di dalam era digital yang dipenuhi perbincangan online, apa hukum baca hantaran yang mengandungi orang mengumpat atas niat nak faham situasi. Bukan nak join. (Contohnya, tengok 2 tokoh mengumpat tentang masing-masing. Kita tengok sebab nak faham kedua perspektif. Atau, baca komen di hantaran politik yang banyak orang mengumpat, untuk tengok pendapat orang awam berkaitan isu semasa. Atau, Tengok video “penjelasan” dan “commentary” yang mengandungi clip video mengumpat.).
Mohon penjelasan
Penjelasan
Alhamdulillah segala pujian bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.
Mengumpat Adalah DOSA BESAR
Mengumpat termasuk dalam salah satu dosa-dosa besar yang amat dilarang dalam agama Islam. Walaupun apa yang diperkatakan itu adalah suatu yang benar tetapi ia tetap tidak diharuskan. Oleh itu dapatlah difahami bahawa terdapat isyarat yang jelas betapa seriusnya Islam dalam menjaga kehormatan diri orang lain.
Atas tujuan pengukuhan larangan tersebut, Allah SWT telah meletakkan kehormatan seorang Muslim itu seakan daging saudaranya dan orang yang diumpat itu pula disamakan seakan abang atau adik sendiri. Seorang manusia tentulah merasa sakit dan remuk hatinya bila diperkatakan tentang kehormatan dirinya, seperti mana sakitnya anggota tubuhnya apabila disiat dan dipotong, apatah lagi tujuannya untuk dimakan pula daging yang dipotong itu.
Seseorang mungkin sanggup memakan daging musuhnya namun memakan daging adik beradiknya atau saudara kandung sendiri pastinya agak berat untuk dilakukan.
Firman Allah SWT;
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اجْتَنِبُوا كَثِيرًا مِّنَ الظَّنِّ إِنَّ بَعْضَ الظَّنِّ إِثْمٌ ۖ وَلَا تَجَسَّسُوا وَلَا يَغْتَب بَّعْضُكُم بَعْضًا ۚ أَيُحِبُّ أَحَدُكُمْ أَن يَأْكُلَ لَحْمَ أَخِيهِ مَيْتًا فَكَرِهْتُمُوهُ ۚ وَاتَّقُوا اللَّـهَ ۚ إِنَّ اللَّـهَ تَوَّابٌ رَّحِيمٌ
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani”.
(Surah al-Hujurat 49:12)
Mengumpat Yang Dibenarkan
Asal hukum mengumpat adalah haram, tetapi dalam keadaan tertentu hukumnya boleh menjadi wajib atau harus. Ia dibenarkan dengan tujuan murni dan syarie yang mana tidak akan tercapai hasrat itu melainkan dengan mengumpat.
Al-Imam Ibnu Hajar al-Haitami menjelaskan bahawa terdapat enam jenis situasi mengumpat yang dibenarkan iaitu:
- Membuat aduan apabila dizalimi kepada individu yang mempunyai kuasa yang mampu untuk menghentikan atau sekurang-kurangnya dapat mengurangkannya.
- Membantu merubah perkara yang mungkar dengan menyatakannya kepada seseorang yang dirasakan mampu untuk menghapuskannya.
- Meminta fatwa kepada mufti.
- Menghindar umat Islam daripada sesuatu keburukan serta menasihati mereka, seperti mereka mengambil ilmu daripada bukan ahlinya atau disebabkan fasik dan bidaah.
- Menceritakan perihal orang yang melakukan kefasiqan atau bidaah secara terang-terangan.
- Menyebut sesuatu sifat seseorang yang telah dikenali dengan sifatnya itu seperti bisu atau pekak dan sebagainya. Akan tetapi, tidaklah panggilan-panggilan tersebut dengan niat menghina individu itu. [Rujuk: al-Zawajir an Iqtiraf al-Kabair, jld. 2 hlm. 24]
Hukum Mendengar Umpatan
Mendengar ucapan yang baik seperti mendengar ceramah agama juga akan diberi ganjaran pahala, begitulah juga mendengar ucapan yang buruk serta menyukainya adalah juga sama mendapat dosa seperti dosa orang yang mengucapkannya. Oleh itu orang yang mendengar umpatan dianggap sebagai berkongsi dosa dengan pelakunya. Tidak terlepas daripada dosa mendengar umpatan itu melainkan dia mengingkari perbuatan tersebut semampu yang boleh. Imam al-Nawawi dalam sebuah karyanya memperjelaskan tentang kewajipan tersebut dengan berkata;
باب تحريم سماع الغيبة وأمر من سمع غيبة محرمة بردها والإنكار على قائلها، فإن عجز أو لم يقبل منه فارق ذلك المجلس إن أمكنه.
Maksudnya: “Bab: Pengharaman mendengar umpatan dan arahan syarak kepada orang yang mendengar umpatan yang haram supaya menghalang dan ingkar perbuatan orang yang mengumpat itu, sekiranya dia tidak mampu menghalangnya atau tidak diterima tegurannya, namun mampu meninggalkan tempat itu maka hendaknya dia melakukannya.”
(Rujuk: Riyadh al-salihin hlm. 431)
Beliau menjelaskan pula dalam sebuah karyanya al-azkar yang maksudnya: Ketahuilah, hukum mendengar umpatan dan mengiyakannya adalah haram seperti mana haram perbuatan mengumpat. Oleh itu adalah menjadi satu kewajipan bagi orang yang terdengar seseorang yang memulakan umpatan yang diharamkan syarak;
- Untuk mencegahnya, ini sekiranya dia tidak takut ditimpa sebarang kesan buruk yang jelas terhadap dirinya;
- Sekiranya berkemungkinan berlaku mudarat yang jelas terhadapnya, maka wajiblah mengingkari perbuatan itu dengan hatinya serta meninggalkan tempat itu sekiranya beliau mampu;
- Namun sekiranya beliau mampu mencegah dengan lidah (menegur) atau boleh menghentikan umpatan itu dengan cara mengalih perbualan kepada isu yang lain, maka dia wajib melakukannya. Dia dikira telah melakukan satu maksiat, sekiranya tindakan di atas tidak dilakukannya.
Jika beliau berkata “kamu diam” sedangkan hatinya masih suka mendengarnya dan mahu umpatan itu diteruskan, maka berkata Imam al-Ghazali; “itu ialah satu tanda wujudnya sifat nifak dan dia dikira masih berdosa, sewajarnya hatinya juga mestilah turut sama membenci perbuatan itu”.
- Sekiranya seseorang itu terpaksa berada di tempat mengumpat itu dan tidak mampu untuk menegurnya atau telah pun menegurnya namun teguran itu tidak diendahkan dan tidak ada cara yang lain untuk dia menghindarinya, maka haram dia memberikan perhatian dan secara sengaja mendengar umpatan tersebut. Jalan penyelesaian dalam situasi ini ialah dengan dia berzikir dengan lidah dan hatinya atau dengan hatinya atau boleh juga dia menghindarinya dengan memikirkan tentang perkara yang lain. Dalam situasi itu tidak menjadi kesalahan lagi jika terdengar umpatan itu tetapi dengan tanpa memberi tumpuan dan secara sengaja mendengarnya.
- Sekiranya umpatan itu masih berlarutan dan dia mampu meninggalkan tempat tersebut maka wajib dia berbuat demikian. Firman Allah SWT;
وَإِذَا رَأَيْتَ الَّذِينَ يَخُوضُونَ فِي آيَاتِنَا فَأَعْرِضْ عَنْهُمْ حَتَّى يَخُوضُوا فِي حَدِيثٍ غَيْرِهِ وَإِمَّا يُنْسِيَنَّكَ الشَّيْطَانُ فَلَا تَقْعُدْ بَعْدَ الذِّكْرَى مَعَ الْقَوْمِ الظَّالِمِينَ
Maksudnya: “Dan apabila engkau melihat orang-orang yang memperkatakan dengan cara mencaci atau mengejek-ejek ayat-ayat Kami, maka tinggalkanlah mereka sehingga mereka memperkatakan soal yang lain; dan jika engkau dilupakan oleh Syaitan (lalu engkau duduk bersama mereka), maka janganlah engkau duduk lagi bersama-sama kaum yang zalim itu, sesudah engkau mengingati (akan larangan itu)”.
(Surah al-An’am 6:68)
Ketahuilah; orang yang mendengar seorang Muslim diumpat itu sewajarnya menghentikannya serta memberi teguran supaya orang yang mengumpat itu terhindar dari perbuatannya itu , namun jika orang itu tidak juga berhenti daripada mengumpat maka hentikanlah umpatan itu dengan tangannya. Sekiranya dia tidak mampu mencegah perbuatan mengumpat itu dengan tangan dan juga lidahnya, maka hendaklah dia meninggalkan tempat tersebut. [Rujuk: al-Azkar hlm. 339-343]
Kesimpulan
Daripada keterangan di atas kami simpulkan bahawa;
- Membaca hantaran di media sosial yang mengandungi ucapan atau perkataan mengumpat yang diharamkan agama adalah berdosa dan haram. Oleh itu dinasihatkan supaya segera mengabaikan dan tidak terus melayari hantaran yang mengandungi umpatan itu.
- Namun sekiranya mendengar atau membacanya dengan niat dan tujuan yang baik seperti untuk memahami sesuatu isu itu dan mahu menyatakannya kepada seseorang yang dirasakan mampu untuk menanganinya atau mahu meminta pandangan fatwa tentang isu yang dibincangkan itu maka hukum mendengarnya adalah harus.
- Harus mendengar umpatan yang dibenarkan syarak seperti mana yang telah dijelaskan di atas.
Semoga Allah mengurniakan ilmu dan kefahaman kepada kita dalam melaksanakan taklif dan segala titah perintah-Nya dan menjauhi setiap tegahan-Nya.
Wallahu’aklam.
Sumber: eKemusykilan Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang
Leave a comment