Solat adalah ibadah yang indah yang menguatkan hubungan rohani di antara seorang hamba dengan Allah SWT. Ia adalah satu amalan penyerahan diri kepada Allah SWT, di mana mereka yang beriman meletakkan keimanan sepenuhnya terhadap Allah SWT.
Firman Allah:
إِنَّنِىٓ أَنَا ٱللَّهُ لَآ إِلَـٰهَ إِلَّآ أَنَا۠ فَٱعْبُدْنِى وَأَقِمِ ٱلصَّلَوٰةَ لِذِكْرِىٓ
“Sesungguhnya Akulah Allah; tiada tuhan melainkan Aku; oleh itu, sembahlah akan Daku, dan dirikanlah sembahyang untuk mengingati Daku.”
(Taha 20:14)
Antara salah satu waktu terbaik untuk berdoa kepada Allah SWT ialah selepas menunaikan solat fardhu. Seboleh-bolehnya kita perlu meluangkan masa untuk muhasabah, merenung dan melafazkan keperluan kita di hadapan Allah SWT. Para sahabat meriwayatkan banyak kejadian di mana Nabi menggalakkan dan menawarkan sahabatnya doa untuk dipanjatkan selepas solat. Allah SWT berfirman dalam al-Quran:
وَقَالَ رَبُّكُمُ ادْعُونِي أَسْتَجِبْ لَكُمْ
“Dan Tuhan kamu berfirman: “Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu.”
(Ghafir, 40:60)
Berikut adalah beberapa doa yang boleh kita baca selepas solat
Doa Mengagungkan Allah SWT
لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ، وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيءٍ قًدِيرٌ. اَللَّهُمَّ لَا مَانِعَ لِمَا أَعْطَيتَ، وَلَا مُعْطِيَ لِمَا مَنَعْتَ، وَلَا يَنْفَعُ ذَا الْجَدِّ مِنْكَ الْجَدُّ
Lā ilāha illallāhu wahdahu lā syarika lahu, lahul-mulku wa lahul-hamdu, wa Huwa ‘alā kulli shay-in Qadir. Allāhumma lā māni’a limā a’tayta, wa lā mu’tiya limā mana’ta, wa lā yanfa’u zal-jaddi minkal-jaddu.
“Tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah Yang Esa, tiada sekutu bagiNya, bagiNya kekuasaan dan bagiNya kepujian dan Dia berkuasa ke atas setiap sesuatu. Ya Allah tidak ada siapa yang boleh menghalang apa yang Engkau berikan, tidak ada siapa yang dapat memberi apa yang Engkau halang dan tiada siapa yang berkuasa memberikan manfaat selain daripada Mu”
(Sahih Al-Bukhari and Muslim)

Seorang sahabat, Al-Mughirah Ibn Shu’bah RA, melaporkan bahawa Nabi SAW sering membaca doa ini selepas setiap solat. Ia juga merupakan peringatan yang baik untuk kita bahawa sebelum kita berdoa untuk memohon kepada Allah untuk keperluan kita, kita harus memulakan dengan kata-kata pujian dan merendahkan diri dengan mengenali betapa kita memerlukan bantuan Allah Yang Maha Tinggi dan Esa.
Doa Untuk Ketenangan & Mencari Keberkatan Allah SWT
اللَّهُمَّ أَنْتَ السَّلاَمُ وَمِنْكَ السَّلاَمُ، تَبَارَكْتَ يَا ذَا الْجَلاَلِ وَالإِكْرَامِ
Allāhumma Antas-Salām wa minkas-salām. Tabārakta yā Zal-jalāli wal- ikrām.
“Ya Allah, Engkau adalah (As-Salam) keselamatan, dan dari-Mu keselamatan itu, Engkaulah pemberi barakah wahai Zat yang mempunyai keagungan dan kemuliaan).”
(Sunan At-Tirmizi)
Thawban, salah seorang sahabat RA, melaporkan bahawa Nabi SAW akan membaca istighfar (memohon ampun) tiga kali sebelum membaca doa ini selepas setiap solat.

Doa Mengingati Allah SWT
اللَّهُـمَّ أَعِـنِّي عَلـَى ذِكْـرِكَ وَشُكْـرِكَ وَحُسْـنِ عِبَـادَتِـكَ
Allāhumma a’innī ’alā zikrika wa syukrika wa ḥusni ‘ibādatik
“Ya Allah, bantulah aku untuk mengingat-Mu, mensyukuri-Mu, dan beribadah kepada-Mu dengan sebaik-baiknya.”
(Sunan Abi Daud)

Ini adalah salah satu doa yang Rasulullah SAW galakkan membaca selepas solat. Malah, kepentingannya dapat dilihat apabila Rasulullah sendiri memberitahu sahabat tercinta, Muaz Ibn Jabal RA untuk tidak meninggalkan doa ini selepas solat, sebagai tanda cintanya kepada Muaz. Rasa bersyukur adalah satu anugerah dan kita patut bersyukur dengan hadirnya perasaan ini dalam diri kita. Ia menyeru kita untuk memanjatkan Doa untuk kesyukuran, dengan harapan agar Allah SWT menambahkan kurnia-Nya kepada kita kerana kesyukuran kita.
Doa Agar Teguh Dalam Agama
يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ ثَبِّتْ قَلْبِي عَلَى دِينِكَ
Yā Muqallibal-qulūbi, thabbit qalbī ‘alā dīnik.
“Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hatiku di atas agama-Mu.”
(Sunan At-Tirmizi)

Ramai di antara para sahabat termasuk ibu-ibu orang mukmin, Aisyah dan Ummu Salamah RA meriwayatkan bahawa Nabi SAW biasa membaca doa ini dengan kerap. Ini mendedahkan kepada kita kepentingan Doa ini dalam kehidupan kita.
Apabila Nabi ditanya mengapa, baginda menjawab bahawa hati itu berada di antara jari-jari Tuhannya. Ini adalah cara kiasan untuk menjelaskan bahawa hati boleh berubah pada bila-bila masa. Allah SWT boleh memesongkan hati atau meneguhkannya dengan keteguhan dan keyakinan. Itulah sebabnya penting untuk sentiasa berdoa agar Allah SWT menguatkan hati kita dengan keyakinan dan tidak membiarkan kita sesat.
Doa Perlindungan Dari Bahaya
اللَّهُمَّ إنِّي أَعُوذُ بِكَ مِن عَذَابِ جَهَنَّمَ، وَمِنْ عَذَابِ القَبْرِ، وَمِنْ فِتْنَةِ المَحْيَا وَالْمَمَاتِ، وَمِنْ شَرِّ فِتْنَةِ المَسِيحِ الدَّجَّالِ
Allāhumma inni a’ūzu bika min ‘azābi jahannam, wa min ‘azābil-qabr, wa min fitnatil-mahyā wal-mamāt, wa min syarri fitnatil-masīhil-dajjāl.
“Ya Allah! Aku berlindung denganMu daripada azab neraka jahanam, daripada azab kubur, daripada fitnah kehidupan dan kematian, dan daripada kejahatan fitnah dajjal.”
(Sahih Al-Bukhari)

Sebanyak mana kita melafazkan doa untuk memohon kepada Allah akan keperluan kita, kita juga digalakkan untuk berlindung daripada perkara yang ingin kita hindari. Doa ini mengandungi empat perkara yang digalakkan oleh Nabi SAW untuk kita berlindung. Nabi SAW menyebutkan dalam hadis ini bahawa apabila kita selesai melakukan tasyahhud dan sebelum memberi salam, kita boleh membaca doa ini. Kita juga boleh membaca doa ini selepas solat itu sendiri.
Doa Memohon Kemaafan
اللَّهُمَّ إِنِّي ظَلَمْتُ نَفْسِي ظُلْمًا كَثِيرًا وَلاَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلاَّ أَنْتَ فَاغْفِرْ لِي مَغْفِرَةً مِنْ عِنْدِكَ وَارْحَمْنِي إِنَّكَ أَنْتَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ
Allāhumma inni zalamtu nafsī zulman kathīran, wa lā yaghfiruz-zunūba illā Anta, faghfirlī maghfiratan min ‘indika warhamnī, innaka Antal-Ghafūrur-Rahīm
“Ya Allah, sesungguhnya aku telah menganiaya diriku dengan kezaliman yang banyak, dan tidak ada yang mengampuni dosa selain Engkau, maka ampunilah aku dengan pengampunan dari sisi-Mu, dan sayangilah aku, kerana sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”
(Sahih Al-Bukhari)

Abu Bakar As-Siddiq RA pernah bertanya kepada Rasulullah SAW untuk mengajarnya doa untuk dibaca di dalam solat. Nabi SAW kemudian mengajar sahabatnya yang dicintai akan doa ini. Banyak yang boleh kita pelajari daripada doa ini. Dimulakan dengan mengakui kekurangan dan kekurangan kita sebelum memohon dengan rendah diri kepada Allah SWT untuk semua yang baik. Doa ini diakhiri dengan memuji Allah SWT dengan nama-nama-Nya yang indah.
Doa Untuk Kedua Ibu Bapa
رَّبِّ ارْحَمْهُمَا كَمَا رَبَّيَانِي صَغِيرًا
Rabbir-hamhumā kamā rabbayāni sagheerā
“Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil.”
(Al-Isra’ 17:24)

Ia juga penting untuk kita terus berdoa untuk ibu bapa kita terutamanya pada waktu yang diberkati seperti waktu selepas solat. Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW menyifatkan kualiti seorang anak yang mendoakan ibu bapanya sebagai solehah.
إذا مات ابن آدم انقطع عمله إلا من ثلاث: صدقة جارية ،أو علم ينتفع به، أو ولد صالح يدعو له
“Apabila mati seorang anak Adam, maka terputuslah amalannya kecuali tiga perkara: sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan (oleh orang lain), atau anak soleh yang mendoakannya.”
(Sahih Muslim)
Malah, adalah lebih baik jika kita boleh memasukkan (nama-nama) orang lain, orang yang kita sayangi, mereka yang telah meminta kita untuk berdoa untuk mereka dan semua orang yang beriman ke dalam doa kita.
Doa Untuk Kebaikan Dunia & Akhirat
رَبَّنَآ ءَاتِنَا فِى ٱلدُّنْيَا حَسَنَةًۭ وَفِى ٱلْأخِرَةِ حَسَنَةًۭ وَقِنَا عَذَابَ ٱلنَّارِ
“Tuhan kami! Kurniakanlah kepada kami kebaikan dunia dan akhirat, dan peliharalah kami dari seksa api neraka”
(Al-Baqarah, 2:201)

Jika kita tidak pasti apa yang harus kita doakan, ini adalah satu lagi doa yang digalakkan untuk dibaca. Doa ini merangkumi semua kebaikan di dunia dan akhirat.
Terdapat banyak lagi doa atau bentuk Zikir yang boleh kita baca selepas solat, seperti Ayatul-Kursi dan banyak lagi. Kesimpulannya, kita boleh melafazkan mana-mana doa yang ikhlas dari lubuk hati kita, dalam mana-mana bahasa yang kita ketahui, dengan mengucapkan secara mendalam atau senyap di antara bibir. Doa-doa ini sebagaimana yang diajarkan oleh Rasulullah SAW mengajar kita apa yang terbaik untuk didoakan. Walaupun kita mungkin mempunyai senarai permintaan yang panjang dalam doa, kita boleh belajar banyak daripada Nabi SAW, manusia pilihan Allah SAW yang diberi wahyu dan hikmah.
Semoga Allah SWT membimbing kita kepada segala yang diredhai-Nya dan mengabulkan segala doa kita.
Wallahu a’lam
Sumber: Muslim.SG
Terjemahan: Mymuslimin.com
Leave a comment