Teks Khutbah Jumaat (Selangor): Kemuliaan Malam Al-Qadr

أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْمِ

إِنَّآ أَنزَلْنَـٰهُ فِى لَيْلَةٍۢ مُّبَـٰرَكَةٍ ۚ إِنَّا كُنَّا مُنذِرِينَ (٣)

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِۦ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ (١٠٢)

Muslimin yang dirahmati Allah SWT sekalian

Saya menyeru agar kita bersama-sama meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah SWT dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala perkara yang dilarang-Nya. Marilah kita memberi sepenuh tumpuan kepada khutbah yang disampaikan. Janganlah berbual-bual dan berleka-leka dengan telefon bimbit. Semoga kita mendapat manfaat daripada khutbah yang disampaikan ini. 

Pada hari yang mulia ini mimbar akan membicarakan khutbah bertajuk: “Kemuliaan Malam Al-Qadr”

Hadirin Jumaat yang dikasihi Allah

Ramadhan adalah bulan yang penuh berkah. Bahkan di dalamnya terdapat malam yang lebih baik dari seribu bulan, iaitu pada 10 malam-malam terakhir Ramadhan. Hari-hari tersebut adalah waktu yang sangat istimewa dan berharga bagi setiap muslim. Oleh itu, pada sepertiga akhir Ramadhan ini, umat Islam perlu merebut tawaran yang dijanjikan Allah SWT dengan adanya Lailatul Qadr. 

Diriwayatkan daripada Jabir bin Samurah Radhiallahuanhu bahawa Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya:

 “Carilah malam al-Qadr pada sepuluh malam terakhir pada malam yang ganjil”

(Riwayat Ahmad)

Pada 10 malam terakhir Ramadhan, terdapat keberkatan yang tidak terhingga. Salah satu malam terpenting yang harus kita manfaatkan adalah pada malam Lailatul Qadr, malam yang lebih baik dari seribu bulan. Di saat-saat yang sangat istimewa ini, marilah kita sama-sama merenungi nikmat yang terkandung di dalamnya.

Keberkatan pada 10 malam terakhir Ramadhan juga hadir melalui peningkatan ibadah, khusyuk dalam solat dan melaksanakan amal soleh dengan penuh keikhlasan. Semua ini akan dikurniakan ganjaran bahkan dilipat gandakan oleh Allah SWT. Ini kerana Allah SWT telah menjadikan malam al-Qadr adalah satu malam yang istimewa dalam bulan Ramadhan dan dilipat gandakan setiap amalan yang dilakukan pada malam tersebut. Berdasarkan firman Allah SWT dalam Surah al-Qadr ayat 1-3 yang bermaksud: 

“Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) pada Malam al-Qadr, Dan adakah engkau mengetahui akan kebesaran Malam al-Qadr itu?, Malam al-Qadr itu lebih baik daripada seribu bulan”. 

(Surah al-Qadr 97: 1-3)

Hadirin Jumaat yang dikasihi Allah

Oleh yang demikian, dalam usaha kita merebut keberkatan pada 10 malam terakhir Ramadhan ini, terdapat beberapa perkara yang perlu kita ambil perhatian. 

Pertama, memahami nilai istimewa. Perlu kita fahami betapa istimewanya malam-malam terakhir Ramadhan, antaranya terdapat Lailatul Qadr, malam yang penuh keberkatan dan keampunan daripada Allah SWT dan ianya lebih baik daripada seribu bulan. 

Kedua, amalan yang disarankan. Antara amalan yang dianjurkan pada 10 malam terakhir adalah solat malam (tahajud), membaca Al-Quran, berzikir, berdoa, bersedekah dan melakukan ibadah lain. Selain itu, kita digalakkan untuk beriktikaf di masjid. Iktikaf yang disarankan dan mendapat pahala iktikaf ialah beriktikaf di masjid tidak termasuk iktikaf di surau, musolla atau di rumah. 

Ketiga ialah mendirikan solat malam. Kita dianjurkan memperbanyakkan solat malam. Abu Hurairah Radhiallahuanhu meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

“Sesiapa yang mendirikan Ramadhan dengan penuh keimanan dan penuh pengharapan, akan diampunkan baginya segala dosanya yang telah lalu”

(Riwayat al-Bukhari)

Memperbanyakkan berdoa dan menunaikan solat sunat tahajud pada malam hari juga adalah amalan yang amat digalakkan pada 10 malam terakhir Ramadhan. Abu Hurairah Radhiallahuanhu meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Setiap malam Allah SWT turun ke langit dunia ketika sepertiga malam terakhir lalu Allah SWT berfirman; sesiapa yang berdoa kepada-Ku nescaya Aku akan mengabulkan, sesiapa yang meminta sesuatu kepadaKu nescaya Aku akan memberinya dan sesiapa yang meminta ampun kepada-Ku nescaya Aku akan mengampuninya.”

(Riwayat al-Bukhari)

Hadirin Jumaat yang di kasihi Allah,

Seterusnya menghidupkan malam-malam terakhir. Kita hendaklah menghidupkan malam-malam terakhir Ramadhan dengan beribadah dan mengabdikan diri kepada Allah SWT serta meninggalkan perbuatan sia-sia dan membuang masa. Kita digalakkan meluangkan masa untuk membaca Al-Quran dengan khusyuk dan tadabbur. Renungkan maksud ayat-ayat yang kita baca dan usahakan untuk mengambil pelajaran dan pengajaran daripadanya. Kita juga boleh memanfaatkan malam-malam terakhir Ramadhan untuk bersedekah dan berkongsi rezeki dengan orang lain yang memerlukan. Inilah masa yang sesuai untuk melakukan lebih kebaikan dan meningkatkan perpaduan sesama manusia. 

Perbanyakkan doa dan memohon keampunan. Marilah kita memperbanyakkan doa dan keampunan kepada Allah SWT agar kita diberikan keberkatan, keampunan segala dosa yang lalu, kemudahan dalam menjalankan ibadah serta menjalani kehidupan di akhirat kelak. Memperbanyakkan berdoa pada malam-malam terakhir Ramadhan adalah amalan yang sangat dianjurkan. 

Ketika berdoa, lapangkanlah hati kita dan sampaikan doa dengan penuh keikhlasan dan bersungguh-sungguh kepada Allah SWT. Mohon ampun kepada Allah SWT atas segala dosa dan kesalahan yang telah dilakukan. Bersungguh-sungguhlah dalam meminta pengampunan, dan berjanji untuk memperbaiki diri pada masa hadapan. Mohonlah kepada Allah SWT agar diberikan kebaikan, rahmat dan keberkatan dalam hidup ini, baik untuk diri sendiri mahupun sesama manusia. Mimbar juga ingin mengingatkan kepada semua supaya tidak melakukan perkara yang sia-sia dan membazir di akhir-akhir bulan Ramadhan ini. 

Usahlah kita mengada-adakan perkara yang boleh memberi mudharat seperti membeli dan bermain mercun, meriam dan seumpamanya. Nasihatilah ahli keluarga dan anak-anak kita supaya menghindari perkara yang merbahaya, membazir dan mengganggu orang lain yang sedang beribadah. 

Muslimin yang dirahmati Allah SWT

Mengakhiri khutbah pada hari ini, marilah kita mengambil beberapa pengajaran sebagai panduan kita bersama iaitu: 

1. Kita hendaklah bersungguh-sungguh memperbanyakkan ibadah seperti solat, zikir, membaca Al-Quran, dan berdoa agar mendapat pahala dan ganjaran yang besar daripada Allah SWT. 

2. Sesiapa yang ingin beramal dengan amalan yang sedikit tetapi pahalanya seperti beramal lebih daripada 83 tahun, maka beramallah pada malam al-Qadr. 

3. Umat Islam hendaklah merebut peluang pada malam-malam terakhir Ramadhan ini untuk mendekatkan diri kepada Allah, merenungi segala nikmat-Nya, bertaubat dan berazam untuk menjadi insan yang lebih baik pada masa akan datang.

وَمَن يَعْمَلْ مِنَ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ مِن ذَكَرٍ أَوْ أُنثَىٰ وَهُوَ مُؤْمِنٌۭ فَأُو۟لَـٰٓئِكَ يَدْخُلُونَ ٱلْجَنَّةَ وَلَا يُظْلَمُونَ نَقِيرًۭا (١٢٤)

 “Dan sesiapa yang mengerjakan amal soleh, dari lelaki atau perempuan sedang ia beriman, maka mereka itu akan masuk Syurga, dan mereka pula tidak akan dianiaya (atau dikurangkan balasannya) sedikit pun.”

(Surah al-Nisa’ 4:124)

Tarikh Dibaca: 5 April 2024M l 25 Ramadhan 1445H
Terbitan: Unit Khutbah Bahagian Pengurusan Masjid,
Jabatan Agama Islam Selangor

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑