Hadis 40 Imam Nawawi: Hadis 34 – Mengubah Kemungkaran

Daripada Abi Sa’id al-Khudri RA berkata bahawa beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ رَأَى مِنْكُمْ مُنْكَرًا؛ فَلْيُغَيّرْهُ بِيَدِهِ. فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ؛ فَبِلِسَانِهِ . فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِقَلْبِهِ. وَذَلِكَ أَضْعَفُ الْإِيمَانِ.

Maksudnya: “Sesiapa antara kamu melihat kemungkaran hendaklah dia mengubah dengan tangannya; jika tidak sanggup maka dengan lisannya; dan jika tidak sanggup juga maka dengan hatinya. Itu adalah selemah-lemah iman.”

(Riwayat Muslim no. 49)

Huraian 

Amar makruf (berbuat kebaikan) dan nahi mungkar (mencegah kemungkaran) merupakan perbuatan fardu atau wajib kifayah. Jika telah ada sebilangan orang yang menjalankannya bagi sesuatu kawasan atau kariah, maka yang lain terlepas daripada tanggungjawab. Jika semua orang meninggalkannya, maka berdosalah semua orang yang mampu melaksanakannya, kecuali yang uzur.

Ada ketikanya wajib kifayah menjadi wajib ain (diwajibkan bagi tiap-tiap individu). Misalnya, jika di suatu tempat yang tidak ada orang lain yang mengetahui kemungkaran itu selain dia, atau kemungkaran itu hanya boleh dicegah oleh dia sendiri, maka menjadi wajib ain ke atas dirinya untuk melakukannya.

“Binasalah orang yang tidak mengetahui dengan hatinya akan yang hak dan yang mungkar.”

Misalnya seseorang yang melihat isteri, anak atau pembantu rumahnya melakukan kemungkaran atau kurang sempurna dalam melaksanakan kewajipannya, maka kewajipan itu tertanggung ke atas dirinya.

Adab Mencegah Kemungkaran

  • Haruslah menyiasat terlebih dahulu dan mengetahui kedudukan sebenar sesuatu perkara.
  • Menegur dengan cara penuh hikmah agar orang yang ditegur dapat kembali ke jalan yang benar.
  • Tidak membuka aib seseorang seperti menegur dan memarahi seseorang di khalayak ramai atau membuka aib orang lain di laman sosial.

Syarat mencegah kemungkaran

Syeikh al-Qaradawi telah menggariskan syarat-syarat mencegah kemungkaran seperti berikut:

  1. Perkara yang disepakati sebagai haram.
  2. Kemungkaran berlaku secara terang-terangan.
  3. Ada kemampuan dan kuasa dalam mencegah kemungkaran.
  4. Tidak bimbang berlakunya kemungkaran yang lebih besar.

Pengajaran

  1. Yang dimaksudkan “mengubah dengan tangan” itu ialah jika ada kekuasaan, bukan mengubah dengan kekerasan yang boleh membawa kepada perkelahian, kekacauan, peperangan dan pertumpahan darah.
  2. Jika tidak mampu diubah dengan kekuasaan atau kekuatan tidak dimiliki, ubahnya dengan lisan, kata-kata, dakwah dan tunjuk ajar. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Jihad yang utama ialah perkataan yang benar di sisi pemerintah yang zalim.”

(Riwayat Ahmad no. 11 43)

3. Peringkat terakhir ialah mengubah dengan hati iaitu dengan cara:

  • Tidak bersetuju dengan sepenuh hati perkara kemungkaran itu berlaku.
  • Menentang dan membenci kemungkaran itu dengan hati.

Sumber: Hadis 40 Imam Nawawi, Zahazan Mohamed & Muhammad Zakaria

One thought on “Hadis 40 Imam Nawawi: Hadis 34 – Mengubah Kemungkaran

Add yours

  1. ASSALAMUALAIKUM UST, SAYA HIDAYAH, MOHON IZINKAN PETIKAN HADIS UST SAYA GUNA SEBAGAI RUJUKAN UTK SAYA MENGAJAR

    Like

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑