Soalan
Baru-baru ini saya bergaduh dengan pasangan dan ini memberi tekanan pada saya sehingga terkeluar ayat “ya memang pun saya tak ada agama”. Saya tidak bermaksud untuk keluar dari agama tetapi perasaan marah saya membuatkan saya meluahkan ayat tersebut. Adakah saya telah jatuh murtad?
Penjelasan
Alhamdulillah segala pujian bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.
Takrif Murtad
Murtad atau riddah dalam bahasa Arab merupakan isim masdar daripada perkataan اِرْتَدَّ يَرْتَدُّ اِرْتِدَادًا membawa maksud beralih daripada sesuatu kepada sesuatu yang lain.
Ibn Faris berkata: “Asal perkataan ini ra dan dal iaitu memberi maksud kembali pada sesuatu dan dinamakan murtad kerana seseorang itu kembalikan jiwanya kepada kufur. Atas asas inilah murtad nama bagi yang kembali pada kufur.” [Lihat: Mu’jam Maqayis al-Lughah, jld. 2 hlm. 386]
Pada sudut Istilah pula Murtad ialah; “memutuskan Islam dengan niat atau ucapan kufur atau dengan perbuatan sama ada perkataannya secara mengejek, ingkar atau dengan iktikadnya.” [Lihat; Mughni al-Muhtaj, jld. 4, hlm. 134].
Perbezaan Di Antara Istilah Kafir Dan Murtad
Kafir ialah merujuk kepada seseorang yang tidak berpegang dengan ajaran Islam sejak asal. Manakala murtad merujuk kepada seseorang yang pernah beragama Islam namun telah keluar dan tidak mengikuti ajarannya lagi.
Kesimpulannya, murtad adalah merujuk kepada seseorang yang meninggalkan Islam untuk memeluk agama lain atau menjadi seorang yang tidak beragama.
Perkara Yang Mengeluarkan Seorang Muslim Daripada Agamanya (Murtad)
Perkara yang menjadikan seseorang itu murtad seseorang boleh dianggap murtad melalui tiga aspek:
- Kepercayaan (Iktikad): Mempercayai atau mengakui kepercayaan yang bertentangan dengan ajaran Islam, seperti menyekutukan Allah atau menolak salah satu rukun iman.
- Ucapan: Mengucapkan kata-kata yang menunjukkan penolakan terhadap Islam atau menghina Allah, Rasulullah, atau kitab suci al-Quran.
- Perbuatan: Melakukan tindakan yang secara jelas menunjukkan penolakan terhadap Islam, seperti sujud kepada berhala.
Imam al-Nawawi menyebutkan: “Ia (murtad) bermaksud memutuskan keislaman dengan niat, atau dengan mengungkapkan perkataan atau perbuatan kufur, sama ada secara mengejek (mengolok-olokkan), menentang (ajaran Islam) atau beriktikad (meyakini perkara kufur tersebut).
Maka sesiapa yang menafikan Allah SWT, para rasul, atau menghalalkan perkara yang diharamkan secara ijmak (disepakati keharamannya) seperti, zina dan sebaliknya (mengharamkan perkara yang disepakati keharusannya), ataupun menafikan kewajipan perkara yang telah disepakati atau sebaliknya (mewajibkan perkara yang disepakati ianya tidak wajib), ataupun berazam untuk menjadi kafir pada keesokan hari atau pun ragu-ragu untuk kafir keesokan harinya.
Manakala perbuatan yang mengeluarkan seorang Muslim daripada Islam adalah yang dilakukan secara sengaja dengan niat mengejek dan dilakukan dalam keadaan jelas seperti melemparkan mushaf al-Quran ke tempat yang kotor, dan bersujud kepada patung berhala dan matahari. [Lihat; Minhaj at-Tolibin, hlm. 293]
Imam al-Zarkasyi berkata:
من تكلم بكلمة الكفر هازلا ولم يقصد الكفر كفر
Maksudnya: “Sesiapa yang berkata perkataan yang membawa kepada kufur secara bergurau (memperolok-olok) tanpa niat untuk kufur maka beliau dikira murtad”. [Lihat; al-Mansur fi al-Qawaid Fiqh Syafie, jld. 2, hlm 112).
Syarat Murtad Dengan Ucapan
Murtad dengan sebab ucapan akan terjadi sekiranya dilakukan secara sengaja dalam keadaan waras serta tidak ada paksaan dari sesiapa. Oleh sebab itu murtad tidak akan berlaku jika salah satu syarat tersebut tidak wujud. Hal ini dapat difahami daripada hadis yang diriwayatkan oleh Saidina Anas Bin Malik RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
ثُمَّ قَالَ مِنْ شِدَّةِ الْفَرَحِ : اللَّهُمَّ أَنْتَ عَبْدِي وَأَنَا رَبُّكَ. أَخْطَأَ مِنْ شِدَّةِ الْفَرَحِ
Maksudnya: Kemudian dia (seseorang yang menjumpai unta selepas kehilangannya dalam permusafiran) berkata disebabkan sangat gembira, “Ya Allah, Engkau-lah hambaku, dan akulah tuhan-Mu.” Dia tersilap oleh kerana terlampau gembira.
[Sahih Muslim No. 2747]
Dalam hadis di atas, Rasulullah SAW menjelaskan bahawa seseorang yang secara tidak sengaja telah melafazkan ucapan kufur disebabkan terlampau gembira, tidak diambil kira ucapannya itu serta dihukumkan kufur pelakunya.
Merujuk kepada soalan di atas, bahawa jika terkeluarnya kalimah kufur tersebut dalam keadaan fikiran sedang terganggu dan hilang kewarasan. Maka ia termasuk dalam kategori tersilap, tersalah atau tidak disengajakan. Hal ini bersandarkan firman Allah SWT:
وَلَيْسَ عَلَيْكُمْ جُنَاحٌ فِيمَا أَخْطَأْتُم بِهِ وَلَـٰكِن مَّا تَعَمَّدَتْ قُلُوبُكُمْ وَكَانَ اللَّـهُ غَفُورًا رَّحِيمًا
Maksudnya: “Dan kamu pula tidak dikira berdosa dalam perkara yang kamu tersilap melakukannya, tetapi (yang dikira berdosa itu ialah perbuatan) yang disengajakan oleh hati kamu melakukannya. Dan (ingatlah Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”
(Surah al-Ahzab 33:5)
Juga sepertimana sabda Rasulullah SAW:
إِنَّ اللَّهَ قَدْ تَجَاوَزَ عَنْ أُمَّتِي الْخَطَأَ، وَالنِّسْيَانَ، وَمَا اسْتُكْرِهُوا عَلَيْهِ
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah mengampunkan bagi umatku akan kesilapan, lupa dan apa yang dipaksakan ke atasnya.”
(Riwayat Ibn Majah No. 2043)
Kesimpulan
Berhubung dengan soalan yang diajukan, kami berpandangan bahawa seseorang yang melafazkan ayat-ayat kufur tanpa niat atau secara tidak sengaja, maka tidak dihukumkan sebagai murtad.
Namun begitu, adalah digalakkan untuk bersyahadah semula serta memohon keampunan dan perlindungan kepada Allah SWT supaya perkara seperti itu tidak berulang lagi serta tingkatkanlah keimanan dengan memperbanyakkan amal kebaikan dan menjauhi segala bentuk kemungkaran.
Semoga Allah SWT mengurniakan ilmu dan kefahaman kepada kita dalam melaksanakan segala titah perintah-Nya. Amin.
Wallahua’lam.
Sumber: eKemusykilan, Jabatan Mufti Pulau Pinang
Assalamualaikum ustaz, saya ada beberapa perkara lah saya nak tanya tapi perkataan ini agak sensitiflah jugak saya memang tak ada niat ustaz nak keluar dari islam terkadang ada suatu masa itu kan saya ada tersebutlah ustaz nak keluar daripada agama Nasrani dan cina saya pun berkata masuk tapi selepas saya terlepas merlafazkan je ustaz daripada mulut saya, saya pun bawak mengucap, masa itu pun saya terlepas emosi dari mak saya, selepas berdebatan dari mak saya pun saya sudah menyesal apa saya sudah melukai dengan mak saya selepas daripada penyesalan itu baru saya tercakap disebabkan dosa dari mak itu la saya teringat dosa yang tidak boleh diampuni adalah melawan cakap mak saya, selepas saya teringat dosa saya tidak boleh diampuni terus saya terlepas daripada berkata mur*** semata mata dosa saya tidak akan diampuni, masa itu saya sudah minta maaflah mak saya, adakah Allah mengampuni dosa ku, selepas mak saya terdengar tidak boleh diampuni mak saya pun menasihati saya, selagi mak hidup di dunia ini akan terhapuslah dosa adik, dan adik pun jangan cakap macam itu lagi eh nak keluar daripada agama Allah marah tau, saya pun berkata, ok mak adik ingat dosa adik tidak akan diampuni lagi, lepas sudah mendengar nasihat itu, saya pun terus menyesal atas kesilapan saya kepada allah ,tiada tertitik pon nak berpaling daripada agama Islam, selepas saya terlepas dari perkataan saya pun mintak keampunan ya Allah seandainya aku berpaling dari ajaran kau dan tidak disengajakan aku adakah kau mengampuni dosa dosa ku, selepas itu saya pun termenung seketika selepas yang terkeluar daripada mulut saya , dan saya pun search dekat Google tanda tanda kemur*** selepas saya terpandang saya pun terus trauma pada kejadian itu daripada berterus terang daripada mak saya, selepas mak saya ambik pendapat saya pun tenang tapi itu pun hanya sementara adakah Allah mengampuni dosa saya.
LikeLike
Waalaikummussalam Iqbal,
Seperti yang diterangkan di dalam artikel, “Berhubung dengan soalan yang diajukan, kami berpandangan bahawa seseorang yang melafazkan ayat-ayat kufur tanpa niat atau secara tidak sengaja, maka tidak dihukumkan sebagai murtad.
Namun begitu, adalah digalakkan untuk bersyahadah semula serta memohon keampunan dan perlindungan kepada Allah SWT supaya perkara seperti itu tidak berulang lagi serta tingkatkanlah keimanan dengan memperbanyakkan amal kebaikan dan menjauhi segala bentuk kemungkaran.” Jika tidak yakin, anda boleh mendekati imam masjid, pejabat agama atau pihak berwajib agar kegusaran ini dapat dirungkai. Terima kasih. Wallahua’lam.
LikeLike