Berkata Imam Al-Jauzi:
Maksudnya: “Di antara orang awam ada yang lebih mengutamakan ibadah sunat dan mensia-siakan ibadah fardu, seperti datang ke masjid sebelum azan dan mendirikan solat nafilah, namun ketika solat di belakang imam, dia suka mendahului imam. Ataupun di antara mereka ada yang tidak ikut solat fardu secara berjemaah di masjid dan lebih suka mendirikan solat raghaib pada malam harinya. Yang lain lagi ada yang beribadah sembil menangis tersedu-sedu, tetapi dia juga tidak pernah meninggalkan perbuatan keji. Jikalau ditanya, maka dia menjawab, ‘Satu keburukan dengan satu kebaikan. Sementara Allah S.W.T. Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.’ Kebanyakan di antara mereka melakukan ibadah menurut pendapat mereka sendiri dan kerosakan yang dilakukan dalam ibadah lebih banyak daripada kebaikan yang dilakukannya. Aku melihat ada antara mereka yang sudah hafal Al-Quran dan menjadi orang zuhud. Kemudian dia menganggap dirinya dibersihkan dari segala dosa dan ini adalah seburuk-buruk perbuatan.”
Syarah dan Tahqiq
Tipu daya Iblis terhadap orang awam yang seterusnya adalah membisikkan kepada orang awam supaya lebih mengutamakan ibadah-ibadah yang sunat berbanding ibadah yang fardhu. Sedangkan ibadah fardhu seperti solat lima waktu adalah solat yang lebih dituntut untuk dilakukan.
Seperti orang yang hanya menjaga kewajipan solat ketika menunaikan umrah sahaja. Sedangkan menjaga kewajipan solat bukanlah hanya dituntut untuk dijaga ketika waktu menunaikan umrah sahaja, bahkan pada setiap waktu. Hukum menunaikan umrah hanyalah sunat jikalau hendak dibandingkan dengan hukum menjaga solat fardhu yang hukumnya adalah wajib. Solat nafilah ialah tambahan solat daripada apa yang difardhukan oleh Allah S.W.T. seperti solat tahajud, solat taubat dan solat hajat.
Contoh lain yang dibawa oleh Imam Al-Jauzi adalah, seseorang yang datang masjid awal untuk menunaikan solat Jumaat. Tetapi apabila sedang solat, pergerakan solatnya pula melebihi imam. Dan solatnya itu tetap tidak sah walaupun dia telah datang awal ke masjid. Datang awal ke masjid itu perkara yang sunat berbanding wajib untuk tidak melebihi pergerakan imam dalam solat.
Rasulullah S.A.W. melarang makmum melebihi pergerakan imam berdasarkan hadith Nabi daripada Abu Hurairah R.A yang maksudnya:
“Daripada Abu Hurairah R.A., daripada Nabi S.A.W., baginda bersabda, ‘Imam itu dipilih untuk diikuti. Kerana itu janganlah kamu menyalahinya. Apabila dia rukuk, rukuklah kamu. Apabila dia membaca Sami’allahu liman hamidah, maka bacalah Rabbana lakal hamdu. Dan apabila dia sujud, sujudlah kamu, apabila dia duduk, duduklah semuanya. Dan luruskan saf (barisan) dalam solat. Sesungguhnya meluruskan saf itu sebaik-baik solat. “”
(Direkodkan oleh Imam Bukhari dalam Sahih Bukhari, Kitab Azan, bab Iqamatul Saf Min Tamaamis Solah, no. hadith 722, daripada Abu Hurairah, status hadith sahih)
Sumber: Belitan Tipu Daya Iblis, Syarah Terpilih Kitab Tablis Iblis Ibnu Al-Jauzi oleh Dr Zaharuddin Abdul Rahman
Leave a comment