Teks Khutbah Jumaat (Selangor): Bayarlah Kepada Amil Yang Dilantik Di Selangor 

أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْم

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِۦ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ (١٠٢)

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa, dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.”

(Surah Ali Imran 3:102)

أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْم

خُذْ مِنْ أَمْوَٰلِهِمْ صَدَقَةًۭ تُطَهِّرُهُمْ وَتُزَكِّيهِم بِهَا وَصَلِّ عَلَيْهِمْ ۖ إِنَّ صَلَوٰتَكَ سَكَنٌۭ لَّهُمْ ۗ وَٱللَّهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ(١٠٣)

Maksudnya: “Ambilah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari akhlak yang buruk); dan doakanlah untuk mereka, kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka. Dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”

(Surah At-Taubah 9:103)

Muslimin yang dirahmati Allah SWT sekalian, 

Saya menyeru agar kita bersama-sama meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah SWT dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala perkara yang dilarang-Nya. Semoga kita semua diberi kebahagiaan dan kejayaan di dunia dan akhirat. 

Pada hari yang mulia ini mimbar akan membicarakan khutbah bertajuk “Bayarlah Kepada Amil Yang Dilantik Di Selangor.” 

Hadirin Jumaat yang dirahmati Allah SWT, 

Tuntutan menunaikan zakat merupakan kewajipan ke atas setiap muslim apabila memenuhi syarat-syaratnya. Sebagai tanda syukur yang tidak terhingga atas segala limpahan kurniaan Allah SWT kepada kita, umat Islam yang dikurniakan kekayaan wajib menunaikan zakatnya. 

Hadis yang diriwayatkan daripada Abu Umamah al-Bahiliy Radhiallahuanhu bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Dan tunaikan zakat atas harta kekayaan kalian, taatilah pemimpin kamu nescaya kamu akan masuk syurga tuhan kamu”.

(Riwayat al-Tirmizi dan Ahmad).

Dalam memastikan pengurusan ibadah zakat dilaksanakan dengan baik dan teratur, Allah SWT telah menyerahkan mandat bagi menguruskan kutipan dan agihan zakat ke atas pihak Ulil Amri atau pemerintah di sesebuah tempat. 

Firman Allah SWT di dalam surah al-Taubah ayat 103 yang dibacakan di awal khutbah bermaksud: “Ambil lah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari akhlak yang buruk); dan doakanlah untuk mereka, kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka. Dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui”. 

Imam Ibnu Kathir dalam menafsirkan ayat ini menyebutkan bahawa Allah SWT telah mengarahkan Rasul-Nya untuk mengutip zakat daripada harta para sahabat pada ketika itu yang telah memenuhi syarat, bertujuan untuk menyucikan mereka daripada akhlak yang buruk dan membersihkan mereka daripada dosa. 

Arahan memungut zakat pada asalnya adalah dipertanggungjawabkan ke atas Rasulullah SAW sebagai pemimpin atau pemerintah. Namun, tugasan tersebut diwarisi silih berganti oleh para khalifah atau pemimpin umat Islam. Tugasan tersebut juga boleh diwakilkan melalui pelantikan atau pentauliahan kepada individu atau organisasi yang layak untuk menjalankan dan melaksanakannya. 

Hadirin Jumaat yang berbahagia, 

Dalam melaksanakan tugasan memungut zakat daripada pembayarnya, Majlis Agama Islam Negeri memiliki peraturan-peraturan yang perlu dipatuhi, antaranya adalah pemungut hendaklah merupakan amil yang dilantik atau ditauliahkan oleh Majlis Agama Islam negeri tersebut. Sekiranya Majlis Agama Islam sesuatu negeri telah melantik atau memberikan tauliah kepada mana-mana individu atau organisasi sebagai amil atau ejen zakat, pelantikan tersebut adalah sah menurut Hukum Syarak tetapi ia hanya terpakai di dalam ruang lingkup sempadan negeri atau bidang kuasa Majlis Agama Islam Negeri yang melantik. Seksyen 37, Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 menyatakan bahawa; 

“Mana-mana orang yang memungut zakat atau fitrah atau menyebabkan dipungut zakat atau fitrah tanpa dia dilantik sebagai amil atau selainnya diberikuasa oleh Majlis adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya”. 

Peruntukan undang-undang mengenai larangan memungut zakat atau fitrah tanpa dilantik oleh Majlis Agama Islam Selangor adalah bertujuan menjaga maslahah umum atau masyarakat negeri ini, supaya tidak ada pihak yang sewenang-wenangnya mengambil kesempatan untuk menipu orang awam dengan cara memungut zakat atau fitrah untuk kepentingan peribadi semata-mata atau kepentingan pihak lain dan akhirnya menyebabkan orang awam hilang kepercayaan kepada institusi agama Islam. 

Sidang Jumaat yang dikasihi Allah SWT,

Ketaatan kepada Ulil Amri atau pemerintah dalam perkara kebaikan adalah suatu yang telah diputuskan dalam Islam dan ia mencakupi segala urusan termasuk urusan kutipan zakat. Di negeri Selangor, Majlis Agama Islam Selangor merupakan pihak yang dipertanggungjawabkan mengurus hal ehwal Islam termasuk urusan pelantikan atau pentauliahan amil zakat. 

Firman Allah SWT dalam surah Al-Nisa’ ayat ke 59: 

أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْم

ۖأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓا۟ أَطِيعُوا۟ ٱللَّهَ وَأَطِيعُوا۟ ٱلرَّسُولَ وَأُو۟لِى ٱلْأَمْرِ مِنكُمْ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada “Ulil-Amri” (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu”. 

(Surah Al-Nisa’ 4:59)

Walaupun ketaatan kepada Ulil Amri jelas menjadi tuntutan syarak, namun masih lagi terdapat kes ejen yang dilantik oleh Majlis Agama Islam Negeri tertentu telah mengutip zakat di negeri Selangor, iaitu di luar kawasan yang diperuntukkan. Janji pulangan rebat yang lumayan di antara 50 sehingga 80 peratus menjadi antara perkara yang menyebabkan ejen tersebut menjadi rakus mengutip zakat sehingga merentasi negeri lain walaupun menyalahi Akta Kesalahan Jenayah Syariah negeri berkenaan. 

Jika dirujuk kepada fakta kes, terdapat dakwaan terhadap dua individu yang merupakan ejen lantikan Majlis Agama Islam negeri tertentu, di bawah seksyen 37 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 dan seksyen 52 (1) (b) di Mahkamah Rendah Syariah Sepang pada tahun 2016. Manakala pada tahun 2018, dakwaan telah dibuat atas kesalahan yang sama ke atas seorang individu yang tidak dilantik sebagai amil oleh mana-mana pihak.  

Adapun yang terbaru, terdapat satu dakwaan mahkamah telah dibuat di bawah seksyen 37 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 di Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya terhadap seorang bekas amil dimana tertuduh telah mengaku bersalah dan telah dihukum dan didenda pada 24 Oktober 2024. 

Hadirin Jumaat sekalian, 

Dana zakat di negeri Selangor adalah sangat penting, untuk menyantuni para asnaf, lebih-lebih lagi jumlah penduduk yang ramai di negeri ini. Kebanyakan orang Melayu Islam adalah dalam kategori miskin bandar dan sebahagiannya di luar bandar. Sehingga September 2024, terdapat 71,000 keluarga asnaf fakir dan miskin yang berdaftar di Lembaga Zakat Selangor dan bagi menyantuni keseluruhan asnaf zakat, dana yang diperlukan adalah sebanyak RM1.36 bilion. Jika kutipan zakat di negeri Selangor “diseludup” ke tempat lain oleh pihak yang tidak bertanggungjawab, sudah tentu golongan asnaf yang sepatutnya menikmati bantuan zakat akan dizalimi dan hak mereka juga dinafikan. 

Jika kita melihat dari sudut Hukum Syarak, mengutip zakat di luar daripada sempadan negeri merupakan satu kesalahan dan zakat yang dibayar kepada ejen yang melanggar dan merentas sempadan Majlis Agama Islam Negeri adalah tidak sah. Sighah Fatwa berkaitan Hukum Pihak Yang Tidak Dilantik Atau Diberi Kuasa Yang Sah Membuat Kutipan Zakat Atau Mengagihkannya, yang telah mendapat perkenan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor pada 28 Oktober 2024 dan sedang dalam proses pewartaan menyatakan bahawa; 

“Pembayaran zakat yang dibuat kepada individu atau badan lain yang tidak diberi kuasa yang sah itu adalah tidak sah dan pembayarnya masih tidak terlepas daripada kewajipan membayar zakat itu”. 

Cuba kita bayangkan, zakat yang dibayar kepada pihak yang tidak bertanggungjawab ini, yang disangka sah dan telah memenuhi kewajipan berzakat, rupa-rupanya tidak sah dan kewajipan berzakat masih lagi belum tertunai. Wang ringgit telah dibayar, tetapi kewajipan tidak tertunai dan masih dikira tidak membayar zakat. Apakah kesannya pula jika tidak menunaikan zakat? Nasib orang-orang yang tidak membelanjakan harta mereka untuk membayar zakat adalah azab seksa yang amat pedih di akhirat kelak. 

Firman Allah SWT dalam surah al-Taubah ayat 35:

أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْم

يَوْمَ يُحْمَىٰ عَلَيْهَا فِى نَارِ جَهَنَّمَ فَتُكْوَىٰ بِهَا جِبَاهُهُمْ وَجُنُوبُهُمْ وَظُهُورُهُمْ ۖ هَـٰذَا مَا كَنَزْتُمْ لِأَنفُسِكُمْ فَذُوقُوا۟ مَا كُنتُمْ تَكْنِزُونَ(٣٥)

Maksudnya: “(Iaitu) pada hari dibakar emas perak (dan harta benda) itu dalam neraka jahanam, lalu diselar dengannya dahi mereka, dan rusuk mereka, serta belakang mereka (sambil dikatakan kepada mereka): “Inilah apa yang telah kamu simpan untuk diri kamu sendiri, oleh itu rasalah (azab dari) apa yang kamu simpan itu”.

(Surah al-Taubah 9:35)

Hadirin Jumaat yang dirahmati Allah SWT, 

Mengakhiri khutbah pada hari ini, marilah kita mengambil beberapa pengajaran daripada khutbah ini untuk dijadikan panduan dalam hidup kita iaitu: 

  1. Memungut zakat merupakan tugas pemerintah dan ia hanya boleh dibayar melalui amil yang telah dilantik atau ditauliahkan oleh pihak pemerintah dan bagi maksud negeri Selangor ialah Majlis Agama Islam Selangor. 
  2. Umat Islam hendaklah membayar zakat kepada amil lantikan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) bagi memastikan zakat yang dikeluarkan adalah sah dan kewajipan kita sebagai seorang muslim telah terlaksana.
  3. Sebagai umat Islam yang bertanggungjawab, kita hendaklah menjadi mata dan telinga pihak berkuasa agama Islam, bagi membantu memastikan tiada pihak yang mengambil kesempatan melanggar peraturan dan kedaulatan negeri.

أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْم

وَٱلَّذِينَ فِىٓ أَمْوَٰلِهِمْ حَقٌّۭ مَّعْلُومٌۭ(٢٤) لِّلسَّآئِلِ وَٱلْمَحْرُومِ(٢٥)

Maksudnya: “Dan mereka (yang menentukan bahagian) pada harta-hartanya, menjadi hak yang termaklum. Bagi orang miskin yang meminta dan orang miskin yang menahan diri (daripada meminta)”. (Surah al-Ma’arij 70: 24-25)

Terbitan: Unit Khutbah Bahagian Pengurusan Masjid 
Jabatan Agama Islam Selangor

3 thoughts on “Teks Khutbah Jumaat (Selangor): Bayarlah Kepada Amil Yang Dilantik Di Selangor 

Add yours

Leave a reply to mymuslimin.com Cancel reply

Blog at WordPress.com.

Up ↑