Soalan
Apakah bahaya dan bala sifat hasad dengki serta mengenali ciri-ciri orang yang berhasad dengki?
Penjelasan
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Antara kerugian yang berhasad dengki itu ialah:
Boleh Memakan Kebajikan
Daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda:
إِيَّاكُمْ وَالْحَسَدَ فَإِنَّ الْحَسَدَ يَأْكُلُ الْحَسَنَاتِ كَمَا تَأْكُلُ النَّارُ الْحَطَبَ
Maksudnya: “Hendaklah kalian menjauhi sifat hasad dengki, kerana ia menghapuskan kebaikan, sepertimana api menghanguskan kayu.
(Riwayat Abu Daud di dalam al-Sunan (4903) menerusi hadith Abu Hurairah RA, Ibn Majah di dalam al-Sunan (4110) Abu Ya’la di dalam al-Musnad (3656) menerusi hadith Anas bin Malik RA.)
Hasad Mendorong Sifat Jahat dan Maksiat
Menjawab persoalan di atas, seperti yang dikatakan oleh Wahb ibn Munabbih bahawa, “Orang yang hasad mempunyai tiga ciri:
- Jika berdepan, dia menjilat dan membodek,
- Jika di belakang, dia mengumpat dan mencela,
- Senang jika orang lain mendapat kecelakaan.” (Lihat Hilyah al-Auliya’ oleh Abu Nu’aim al-Isfahani, 47/10)
Kiranya cukup pengetahuan kita mengenai hasad. Hanya kepada Allah jualah kita berlindung dari kejahatan orang-orang berhasad dengki. (Lihat Minhaj al-’Abidin, hlm. 223-224)
Allah SWT berfirman:
وَمِنْ شَرِّ حَاسِدٍ إِذَا حَسَدَ
Maksudnya: “Dan [aku berlindung kepada-Mu, wahai Allah] daripada kejahatan orang yang dengki apabila ia mendengki.”
(Surah al-Falaq 113:5)
Al-Syaukani berkata: Dengki adalah harapan agar kenikmatan yang diberikan Allah kepada seseorang dapat hilang darinya. (Lihat Fath al-Qadir, 7/221)
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا مُنْكَرَاتِ الأَخْلاَقِ ، وَالأَهْوَاءِ ، وَالأَسْوَاءِ وَالأَدْوَاءِ
Maksudnya: “Ya Allah, jauhkanlah kami daripada akhlak yang mungkar, hawa nafsu, juga dari segala keburukan serta dari penyakit-penyakit yang membawa kepada kebinasaan.”
Sumber: Maktabah Al-Bakri
Leave a comment