Soalan
Apakah hukum menindik hidung dalam Islam?
Penjelasan
Alhamdulillah bersyukur kehadrat Allah S.W.T dengan kurniaan nikmat Iman dan Islam. Selawat dan Salam ke atas junjungan Nabi Muhammad S.A.W serta keluarga,sahabat-sahabat Baginda, serta seluruh kaum Muslimin dan Muslimat yang dirahmati Allah S.W.T sekalian.
Hukum menindik hidung adalah haram menurut mazhab Syafi’i. Hal ini kerana perbuatan meletakkan barang kemas pada hidung bukan bentuk perhiasan yang menjadi kebiasaan masyarakat setempat. Selain itu, pengharaman menindik hidung kerana unsur penyerupaan (tasyabbuh) tradisi agama lain yang berkait rapat dengan ritual keagamaan.
Budaya Menindik Hidung
Budaya menindik hidung yang dilakukan bagi tujuan kecantikan atau simbolik. Ia berasal lebih daripada 4000 tahun yang lalu di Timur Tengah dan Negara India. Begitu juga ia dilakukan oleh masyarakat asli Amerika dan Australia. Wanita Afrika Utara secara tradisinya menindik hidung atas pelbagai sebab seperti untuk menunjukkan status perkahwinan seseorang, menghormati dewi dan menunjukkan kekayaan.
Seterusnya, kebanyakan wanita di India secara tradisinya menindik hidung bagi tujuan yang pelbagai seperti upacara ritual kedewasaan, kewanitaan dan keanggunan. Gaya dan juga kedudukan tindikan berbeza-beza sama ada lubang hidung kiri atau kanan gelung berat atau berlian.
Hukum Menindik Hidung
Hukum menindik hidung adalah haram sama ada lelaki mahupun perempuan. Begitu juga haram ke atas kanak-kanak menurut fuqaha mazhab Syafi’i. Imam Ibn Hajar menyatakan bahawa menebuk lubang hidung bagi memasukkan cincin emas mahupun perak adalah haram. Hal ini kerana, menindik hidung untuk meletakkan barang kemas bukan satu bentuk perhiasan yang menjadi kebiasaan (urf) masyarakat setempat.
Seterusnya, perbuatan menindik hidung juga merupakan adat tradisi golongan bukan islam yang mempunyai unsur keagamaan. Celaan yang dasyat terhadap penyerupaan agama lain bersandarkan hadis daripada Ibn Umar R.Anhuma, Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ
Maksudnya: “Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia adalah daripada kalangan mereka.”
(Riwayat Abu Daud 4031)
Al-San’ani mensyarahkan hadis diatas bahawa larangan keras dan amaran bagi sesiapa yang meniru orang kafir dari segi pemakaian mahupun penampilan.
Kesimpulannya, hukum menindik (piercing) mana-mana bahagian hidung untuk memakai cincin daripada emas, perak atau menindik hidung dengan batu berlian adalah haram sama ada lelaki dan wanita dewasa mahupun untuk kanak-kanak.
Wallahu a’lam.
Sumber: PMWP
Leave a comment