وَإِذْ أَخَذَ رَبُّكَ مِنۢ بَنِىٓ ءَادَمَ مِن ظُهُورِهِمْ ذُرِّيَّتَهُمْ وَأَشْهَدَهُمْ عَلَىٰٓ أَنفُسِهِمْ أَلَسْتُ بِرَبِّكُمْ ۖ قَالُوا۟ بَلَىٰ ۛ شَهِدْنَآ ۛ أَن تَقُولُوا۟ يَوْمَ ٱلْقِيَـٰمَةِ إِنَّا كُنَّا عَنْ هَـٰذَا غَـٰفِلِينَ(١٧٢)
Maksudnya: “Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika Tuhanmu mengeluarkan zuriat anak-anak Adam (turun-temurun) dari (tulang) belakang mereka, dan Ia jadikan mereka saksi terhadap diri mereka sendiri, (sambil Ia bertanya dengan firmanNya): “Bukankah Aku tuhan kamu?” Mereka semua menjawab: “Benar (Engkaulah Tuhan kami), kami menjadi saksi”. Yang demikian supaya kamu tidak berkata pada hari kiamat kelak: “Sesungguhnya kami adalah lalai (tidak diberi peringatan) tentang (hakikat tauhid) ini”.”
(Surah Al-A’raf 7:172)
الله أكبر, الله أكبر, الله أكبر, وللهِ الْحَمْد
Hadirin Muslimin-Muslimat yang dikasihi Allah SWT Sekalian,
Pada pagi Eidulfitri yang mulia dan penuh keberkatan ini, marilah kita sama-sama memperbanyakkan rasa syukur serta mempertingkatkan lagi ketaqwaan kita kepada Allah SWT dengan sebenar-benar taqwa. Ketaqwaanyang bersungguh-sungguh sehingga kita benar-benar merasai rasa tanggungjawab untuk mentaati segala perintah Allah SWT dan meninggalkan segala perkara yang dilarang-Nya.
Mudah-mudahan kita semua diberi keberkatan, perlindungan dan kejayaan di dunia dan juga di Akhirat.Marilah sama-sama kita hayati khutbah Eidulfitri pada tahun ini bertajuk, “Eidulfitri: Kembali Kepada Fitrah”.
الله أكبر, الله أكبر, الله أكبر, وللهِ الْحَمْد
Hadirin Muslimin-Muslimat yang dikasihi Allah SWT sekalian,
Pada pagi yang penuh berbahagia ini, kita berkumpul dalam suasana gembira menyambut Eidulfitri setelah sebulan bermujahadah dan beribadah mengikuti madrasah Ramadhan. Hari ini bukan sekadar hari kemenangan, akan tetapi lebih daripada itu, ia adalah hari di mana kita kembali kepada fitrah asal kejadian. Eidulfitri adalah simbolik kepada suatu perjalanan spiritual, satu kepulangan kepada asal diri manusia yang suci, bersih, dan tunduk sepenuhnya kepada Allah SWT.
Fitrah bermaksud sifat semulajadi atau naluri yang telah tertanam dalam diri manusia sejak asal penciptaannya. Eidulfitri mengingatkan kita bahawa fitrah manusia pada hakikatnya mengenali dan bersaksi bahawa Allah SWT adalah Tuhan yang Maha Pencipta. Dialah Tuhan yang mentadbir alam ini. Firman Allah SWT di dalam surah al-A’raf ayat 172 yang bermaksud:
“Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika Tuhanmu mengeluarkan zuriat anak-anak Adam (turun-temurun) dari (tulang) belakang mereka, dan Ia jadikan mereka saksi terhadap diri mereka sendiri, (sambil Ia bertanya dengan firmanNya): “Bukankah Aku tuhan kamu?” Mereka semua menjawab: “Benar (Engkaulah Tuhan kami), kami menjadi saksi”. Yang demikian supaya kamu tidak berkata pada hari kiamat kelak: “Sesungguhnya kami adalah lalai (tidak diberi peringatan) tentang (hakikat tauhid) ini”.”
(Surah Al-A’raf 7:172)
Atas dasar inilah, Allah SWT mengutuskan para Nabi dan Rasul bersama risalah-Nya untuk mengingatkan manusia akan iqrar dan pengakuan mereka, bahawa tiada Tuhan yang wajib disembah melainkan Allah SWT. Eidulfitri mengajar kita bahawa fitrah manusia pada asasnya cenderung kepada mentauhidkan Allah SWT dan menerima agama Islam yang diutuskan oleh Allah SWT, sebagai cara hidup sesuai dengan fitrah manusia.
Firman Allah SWT dalam Surah Ar-Rum, ayat 30:
فَأَقِمْ وَجْهَكَ لِلدِّينِ حَنِيفًۭا ۚ فِطْرَتَ ٱللَّهِ ٱلَّتِى فَطَرَ ٱلنَّاسَ عَلَيْهَا ۚ لَا تَبْدِيلَ لِخَلْقِ ٱللَّهِ ۚ ذَٰلِكَ ٱلدِّينُ ٱلْقَيِّمُ وَلَـٰكِنَّ أَكْثَرَ ٱلنَّاسِ لَا يَعْلَمُونَ (٣٠)
Maksudnya: “Maka hadapkanlah dirimu (wahai Muhammad) ke arahagamayangjauh dari kesesatan; (turutlah terus) agama Allah, iaitu agama yang Allah menciptakan manusia (dengan keadaan bersedia dari semulajadinya)untukmenerimanya; tidaklah patut ada sebarang perubahan pada ciptaan Allah itu; itulah agama yang betul lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.”
(Surah Ar-Rum 30:30)
Kita hendaklah faham bahawa agama Islam adalah satu-satunya agama yang benar di sisi Allah SWT, dan tiada mana-mana agama pun yang menyamainya. Oleh itu berpegang teguhlah dengan agama Allah SWT inidemi kebahagiaan dan kejayaan kita di dunia mahupun di akhirat.
الله أكبر, الله أكبر, الله أكبر, وللهِ الْحَمْد
Muslimin-Muslimat yang dirahmati Allah SWT,
Eidulfitri menyedarkan kita bahawa fitrah manusia adalah suci. Setiap manusia dilahirkan dalam keadaan fitrah iaitu bersih dan suci daripada sebarang dosa dan noda, akan tetapi persekitaran dan asuhanlah yang akan membentuk keadaan dan peribadi manusia.
Hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radiallahuanhu bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Setiap anak yang dilahirkan adalah dalam keadaan fitrah (bersih dan suci), maka kedua ibu bapanyalah yang menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi.”
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Oleh itu, didiklah diri, pasangan dan anak-anak kita supaya sentiasa berada di atas landasan yang betul, wujudkan persekitaran dan suasana yang baik dengan mendirikan solat fardu secara berjemaah di masjid atau di surau, menghadiri majlis-majlis ilmu, serta mendekatkan diri kepada ulamak yang merupakan pewaris para Nabi dan Rasul.
Eidulfitri hakikatnya mengajak kita menginsafi bahawa fitrah manusia pada dasarnya suka kepada kebaikan dan inginkan kebenaran. Manusia secara semula jadi mengenali baik dan buruk serta memiliki naluri untuk berbuat baik. Firman Allah SWT dalam surah al-Shams ayat 7-10:
وَنَفْسٍۢ وَمَا سَوَّىٰهَا(٧) فَأَلْهَمَهَا فُجُورَهَا وَتَقْوَىٰهَا(٨) قَدْ أَفْلَحَ مَن زَكَّىٰهَا(٩) وَقَدْ خَابَ مَن دَسَّىٰهَا(١٠)
Maksudnya: “Dan demi diri manusia dan yang menyempurnakan kejadian(dengankelengkapan yang sesuai dengan keadaannya). Lalu mengilhamkan (untuk mengenal jalan) yang membawa kepada kejahatan dan yang membawanya kepada ketakwaan. Sesungguhnya telah berjaya orang yang menyucikan jiwanya (dengan iman dan amal soleh). dan sesungguhnya telahrugi orang yang mengotorinya (dengan sebab maksiat).”
(Surah Al-Shams 91: 7-10)
Dari itu, bersihkanlah jiwa dan hati ini daripada sifat-sifat mazmumah (iaitu sifat-sifat yang keji), seperti riak, sombong, takabbur dan suka mementingkan diri sendiri. Sebaliknya tanamlah sifat-sifat mahmudah (iaitu sifat-sifat yang terpuji), seperti sifat tawadhuk, merendah diri, bersabar dan bersyukur terhadap nikmat yang diberi.
الله أكبر, الله أكبر, الله أكبر, وللهِ الْحَمْد
Muslimin-Muslimat yang berbahagia,
Eidulfitri membenarkan hakikat bahawa fitrah manusia secara nalurinya ingin hidup berkeluarga. Manusia diciptakan dengan naluri untuk berpasangan bagi meneruskan zuriat dan keturunan, di samping mencari ketenangan jiwa. Firman Allah SWT dalam Surah Ar-Rum ayat 21:
وَمِنْ ءَايَـٰتِهِۦٓ أَنْ خَلَقَ لَكُم مِّنْ أَنفُسِكُمْ أَزْوَٰجًۭا لِّتَسْكُنُوٓا۟ إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُم مَّوَدَّةًۭ وَرَحْمَةً ۚ إِنَّ فِى ذَٰلِكَ لَـَٔايَـٰتٍۢ لِّقَوْمٍۢ يَتَفَكَّرُونَ (٢١)
Maksudnya: “Dan di antara tanda-tanda (kebesaran)-Nya ialah Diamenciptakanpasangan-pasangan untukmu dari jenismu sendiri agar kamucenderungdanmerasa tenteram kepadanya, dan Dia menjadikan di antaramurasakasihdan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapattanda-tanda bagi kaum yang berfikir.”
(Surah Ar-Rum 30:21)
Jadikanlah institusi kekeluargaan sebagai asas kebahagiaan dan pembinaan masyarakat Islam yang berjaya. Bimbinglah keluarga ke arah kehidupan yang dirahmati dan diredhai oleh Allah SWT. Ajarilah isteri dan anak-anak dengan asas pendidikan agama serta ilmu fardu ain yang mencukupi.
الله أكبر, الله أكبر, الله أكبر, وللهِ الْحَمْد
Muslimin-Muslimat yang dirahmati Allah SWT,
Eidulfitri mengembalikan kenyataan bahawa fitrah manusia pada asal penciptaannya adalah bersaudara. Ini kerana kesemua manusia adalah berasal dari satu keturunan yang sama iaitu keturunan Nabi Adam Alaihissalam. Firman Allah SWT di dalam surah al-Nisa’ ayat 1:
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ ٱتَّقُوا۟ رَبَّكُمُ ٱلَّذِى خَلَقَكُم مِّن نَّفْسٍۢ وَٰحِدَةٍۢ وَخَلَقَ مِنْهَا زَوْجَهَا وَبَثَّ مِنْهُمَا رِجَالًۭا كَثِيرًۭا وَنِسَآءًۭ ۚ وَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ ٱلَّذِى تَسَآءَلُونَ بِهِۦ وَٱلْأَرْحَامَ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ عَلَيْكُمْ رَقِيبًۭا (١)
Maksudnya: “Wahai sekalian manusia! Bertaqwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (iaitu Adam Alaihissaam), dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya iaitu Hawa), dan juga yang membiakkan dari keduanya zuriat keturunan lelaki dan perempuan yang ramai.”
(Surah al-Nisa’ 4:1)
Kekuatan persaudaraan ini lebih kukuh lagi serta dirahmati jika manusia beriman kepada Allah SWT. Firman Allah SWT dalam Surah Al-Hujurat ayat 10:
إِنَّمَا ٱلْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌۭ فَأَصْلِحُوا۟ بَيْنَ أَخَوَيْكُمْ ۚ وَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ(١٠)
Maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang beriman itu bersaudara. Maka damaikanlah antara kedua saudaramu dan bertakwalah kepada Allah agar kamu mendapat rahmat.”
(Surah Al-Hujurat 49:10)
Bahkan keimanan seseorang tidak sempurna tanpa ada rasa kasih dan belas terhadap saudaranya sesama mukmin. Hadis daripada Anas Radiallahuanhu bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Tidak beriman salah seorang daripada kamu sehingga dia mengasihi (atau menyukai) untuk saudaranya apa yang dia sukai untuk dirinya sendiri.”
(Riwayat al-Bukhari)
Begitulah hakikat kita umat Islam, adalah ummatan wahidahia itu umat yang satu. Pupuklah rasa ukhuwah sesama kita, agar Islam tetap teguh dan bersatu padu.
الله أكبر, الله أكبر, الله أكبر, وللهِ الْحَمْد
Muslimin-Muslimat yang dirahmati Allah SWT,
Pada hari yang mulia ini, sewajarnya kita menginsafi diri serta bertaubat kepada Allah SWT. Di samping mengambil kesempatan untuk saling bermaafan atas segala kesalahan, merapatkan kembali hubungan, dan menyuburkan kasih sayang di antara kita. Jangan jadikan sambutan Eidulfitri sekadar adat dan budaya, tetapi jadikan ia sebagai suatu peluang untuk menyucikan hati dan memperbaiki hubungan dengan keluarga,sahabat, dan jiran tetangga. Imam Ibnu Rajab al-Hanbali Rahimahullah menyebutkan dalam kitabnya Lata’if al-Ma‘arif:
“Hari Raya itu bukanlah bagi orang yang berpakaian baru, tetapi Hari Raya itu adalah bagi orang yang ketaatannya bertambah. Hari Raya itu bukanlah bagi orang yang bergaya dengan pelbagai pakaian dan kenderaan,tetapi Hari Raya itu adalah bagi orang yang dosa-dosanya mendapat keampunan”.
Imam Ibnu Rajab turut memetik kata Imamal-Hasanal-Basri Rahimahullah iaitu katanya: “Setiap hari yang tidak ada penderhakaan terhadap Allah padanya,maka itulah Hari Raya. Setiap hari yang dilalui seorang mukmin dalam keadaan mentaati Tuhannya, mengingati dan mensyukuri-Nya, maka itulah Hari Raya baginya”.
Oleh itu, marilah kita menghayati hakikat bahawa Eidulfitri adalah mensyukuri nikmat Allah SWT, menguatkan lagi keimanan dan ketaqwaan kita kepada Allah SWT, masa untuk memperkukuhkan ukhuwahislamiyyah,merapat dan menyambung semula silaturrahim, memperluaskan sifat pemurah, dan membantu mereka yang memerlukan.
الله أكبر, الله أكبر, الله أكبر, وللهِ الْحَمْد
Muslimin-Muslimat yang dirahmati Allah SWT,
Mengakhiri khutbah Eidulfitri pada tahun ini, marilah kitahayati dan mengambil pedoman terhadap perkara berikut:
1. Umat Islam hendaklah bersyukur kepada Allah SWT kerana pada hari ini kita telah kembali kepada fitrah diri yang bersih dan suci.
2. Umat Islam hendaklah menjalani hidup dengan cara hidup Islam, kerana Islam adalah satu-satunya agama di sisi Allah SWT yang selaras dengan fitrah kejadian manusia.
3. Umat Islam hendaklah sentiasa memelihara hubungan sesama muslim, kerana hakikatnya kita bersaudara dan saling memerlukan.
وَٱعْتَصِمُوا۟ بِحَبْلِ ٱللَّهِ جَمِيعًۭا وَلَا تَفَرَّقُوا۟ ۚ وَٱذْكُرُوا۟ نِعْمَتَ ٱللَّهِ عَلَيْكُمْ إِذْ كُنتُمْ أَعْدَآءًۭ فَأَلَّفَ بَيْنَ قُلُوبِكُمْ فَأَصْبَحْتُم بِنِعْمَتِهِۦٓ إِخْوَٰنًۭا وَكُنتُمْ عَلَىٰ شَفَا حُفْرَةٍۢ مِّنَ ٱلنَّارِ فَأَنقَذَكُم مِّنْهَا ۗ كَذَٰلِكَ يُبَيِّنُ ٱللَّهُ لَكُمْ ءَايَـٰتِهِۦ لَعَلَّكُمْ تَهْتَدُونَ(١٠٣)
Maksudnya: “Dan berpegang teguhlah kamu semua pada tali Allah(agamaIslam)dan janganlah kamu berpecah belah. Dan ingatlah nikmat Allahkepadakamu ketika kamu bermusuhan (semasa Jahiliyyah dahulu) lalu, Allahmenyatukan hati kamu (sehingga kamu bersatu padu dengan nikmat Islam)maka, menjadilah kamu dengan nikmat-Nya itu orang Islam yang bersaudara dan (dahulu) kamu berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa Jahiliyyah). lalu Allah menyelamatkan kamu daripada neraka(disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan ayat-Nya kepada kamu supaya kamu mendapat hidayah petunjuk”.
(Surah Ali ‘Imran 3:103)
Tarikh Bacaan: 1 Syawal 1446H | 31 Mac 2025
Terbitan: Unit Khutbah Bahagian Pengurusan Masjid, Jabatan Agama Islam Selangor
Leave a comment