أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْم
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓا۟ أَطِيعُوا۟ ٱللَّهَ وَأَطِيعُوا۟ ٱلرَّسُولَ وَلَا تُبْطِلُوٓا۟ أَعْمَـٰلَكُمْ (٣٣)
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kepada Rasulullah, dan janganlah kamu batalkan amal-amal kamu.”
(Surah Muhammad 47:33)
Sidang Jemaah yang Dirahmati Allah,
Bertakwalah kepada Allah. Suburkan jiwa kehambaan dengan berisitiqamah melakukan segala suruhan dan meninggalkan segala kemungkaran. Semoga kejayaan dan kebahagian dapat kita kecapi di dunia ini dan di hari pembalasan. Semangat beribadah dengan penuh kesungguhan di bulan Ramadan perlu kita teruskan untuk membina ketakwaan yang kukuh kepada Tuhan.
Selaras keperluan itu, khutbah pada hari ini membicarakan tajuk, “Istiqamah Penyubur Jiwa Kehambaan”.
Kaum Muslimin yang Berbahagia,
Ramadan telah berlalu pergi. Pemergiannya pasti dirindui. Alangkah beruntungnya mereka yang mengharungi Ramadan dengan sepenuh kesungguhan dan keikhlasan, lalu meraih semua janji-janji indah berupa pengampunan dosa, gandaan ganjaran pahala, kelepasan daripada azab neraka dan kelayakan untuk ke syurga. Namun, kesungguhan beramal tidak seharusnya terhenti dengan berakhirnya Ramadan, bahkan ia mesti berkesinambungan sepanjang masa selagi hayat dikandung badan.
Renungi firman Allah SWT di dalam Surah Muhammad, ayat 33 yang menjadi mukadimah khutbah, bermaksud; “Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kepada Rasulullah, dan janganlah kamu batalkan amal-amal kamu.”
Lazimnya, berakhirnya Ramadan mengembalikan kita kepada tabiat, rutin dan sikap lama seperti meninggalkan solat berjemaah, tidak lagi membaca al-Quran dan kurang melakukan ibadah-ibadah sunat. Lazimnya, kita juga sering terleka meraikan keceriaan Syawal sehingga terjerumus kepada perlakuan dan tindakan yang menyimpang daripada landasan Islam. Imam Muslim meriwayatkan hadis daripada Sufyan bin Abdullah al-Thaqafi radhiallahuanhu, bahawa Rasulullah SAW telah ditanya yang bermaksud: “Ya Rasulullah, katakanlah kepadaku di dalam Islam suatu perkataan yang aku tidak perlu bertanya kepada orang lain selainmu. Baginda SAW bersabda: Katakanlah, aku beriman dengan Allah kemudian beristiqamahlah.”
Inilah nilai sebenar iman kita. Istiqamah dalam ketaatan. Sedarlah, jika kita bersungguh-sungguh beribadah kerana Allah SWT bukan hanya kerana Ramadan, sudah pasti kesan tarbiah dan ibadah di bulan berkat itu dapat kita raih. Kekuatan untuk istiqamah beramal ibadah dan melakukan amalan kebaikan terutama solat berjemaah, sedekah dan membaca al-Quran dapat dipertahankan dan menjadikannya sebagai amalan seharian. Sungguh, istiqamah dalam beribadah selepas Ramadan adalah cabaran yang besar.
Namun, dengan niat yang ikhlas, mujahadah yang berterusan dan berdoa kepada Allah SWT, kita akan dibantu untuk mengekalkan amalan-amalan yang telah dibina sepanjang Ramadan.
Para Tetamu Allah yang Dimuliakan,
Rutin berpuasa sebulan Ramadan sudah tentu menjadikan badan kita terbiasa untuk tidak makan dan minum selama hampir 13 jam setiap hari. Bila tibanya Syawal, keghairahan kita menjamah makanan yang pelbagai kadang-kala melepasi had keperluan badan kita. Justeru, ambillah peluang untuk berpuasa sunat enam hari di bulan Syawal ini demi meraih ganjaran yang besar yang tidak wajar dilepaskan. Amati hadis riwayat Imam Muslim daripada Abu Ayyub al-Ansari radiallahuanhu, bahawa Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “Sesiapa yang berpuasa di bulan Ramadan, kemudian diikuti dengan enam hari di bulan Syawal, ia umpama berpuasa sepanjang tahun.”
Puasa enam hari di bulan Syawal merupakan tanda kesyukuran hamba kepada Tuhannya. Di samping ia dapat mengimbangi sistem penghadaman dan menjaga kesihatan, ia membantu kita untuk melazimi amalan soleh secara berterusan. Ajaklah ahli keluarga untuk sama-sama melakukannya. Semoga Allah SWT menerima ibadah kita dan memasukkan kita bersama golongan yang memperoleh kejayaan di dunia dan di akhirat.
Sidang Jemaah yang Berbahagia,
Sesungguhnya Ramadan banyak mengajar kita erti kesabaran, keinsafan dan keinsanan dalam kehidupan. Kita juga dididik dengan jiwa yang prihatin kepada insan-insan yang memerlukan dengan menghulurkan sumbangan. Lalu, bagaimana pula di bulan Syawal ini? Adakah sifat-sifat ini masih mekar di dalam jiwa?
Sewajarnya, tarbiah Ramadan menjadikan kita lebih sabar, bertimbang rasa dan berkasih sayang sesama insan. Di kesempatan berada di musim perayaan ini, leburkanlah keeogan dan padamlah dendam dengan menghulurkan kemaafan. Tautkan kembali talian silaturrahim dengan amalan ziarah menziarahi dan kunjung mengunjung. Kegembiraan merayakan Aidilfitri ini perlu diraikan bersama lapisan masyarakat tanpa sebarang perbezaan. Malah, mereka yang kurang bernasib perlu lebih diraikan, jangan dilupakan. Dengan membantu dan menggembirakan mereka, akan terlakar keberkatan hidup kita sebagai insan beriman.
Di samping itu, bersederhanalah dalam semua perkara untuk kekal beristiqamah dalam kebaikan. Elakkan pembaziran ketika menjamu selera dan menikmati juadah makanan. Begitu juga, jika ingin mengadakan rumah terbuka, elakkan pemborosan dan berbelanja tanpa kawalan. Kenangkan nasib umat Islam dilanda ujian yang serba kekurangan, khasnya saudara-saudara kita di bumi Gaza dan Palestin yang kini mengharungi kehidupan seharian dengan kelaparan tanpa kecukupan bekalan makanan.
Alangkah baiknya jika sebahagian daripada apa yang kita miliki hari ini dapat dihulurkan kepada mereka sebagai bukti persaudaraan kita dengan mereka di bawah lembayung iman. Semoga jiwa yang istiqamah melazimi sifat kasih sayang ini bakal mengundang rahmat Allah SWT kepada kita. Imam at-Tirmidzi meriwayatkan daripada Abdullah bin ‘Amru radiallahuanhuma, Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “Orang-orang yang pengasih itu dikasihi oleh Yang Maha Pengasih, kasihilah sesiapa yang di bumi, kelak kamu akan dikasihi Zat yang di langit.”
Para Tetamu Allah yang Dimuliakan,
Sebagai penutup khutbah, renungkan beberapa saranan berikut:
Pertama: Syawal bukan sekadar bulan kemenangan, kegembiraan dan kemeriahan, tetapi ia bulan kesinambungan ibadah dan amalan kebaikan setelah berjaya mengharungi tarbiah Ramadan.
Kedua: Didiklah jiwa untuk istiqamah menunaikan solat fardu berjemaah, membaca al-Quran, berzikir, qiamulllail dan jangan lupa untuk berpuasa sunat enam hari di bulan Syawal.
Ketiga: Buktikan bahawa tarbiah Ramadan telah berjaya membentuk peribadi kita yang istiqamah berjiwa pemaaf, berkasih sayang dan mempertaut hubungan. Jadilah insan-insan yang sentiasa meraih rahmat
Allah SWT dengan sifat-sifat kemuliaan insan.
Mengakhiri khutbah, hayati firman Allah SWT dalam surah Fussilat, ayat 30:
إِنَّ ٱلَّذِينَ قَالُوا۟ رَبُّنَا ٱللَّهُ ثُمَّ ٱسْتَقَـٰمُوا۟ تَتَنَزَّلُ عَلَيْهِمُ ٱلْمَلَـٰٓئِكَةُ أَلَّا تَخَافُوا۟ وَلَا تَحْزَنُوا۟ وَأَبْشِرُوا۟ بِٱلْجَنَّةِ ٱلَّتِى كُنتُمْ تُوعَدُونَ (٣٠)
Maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang yang menegaskan keyakinannya dengan berkata: “Tuhan kami ialah Allah”, kemudian mereka tetap teguh di atas jalan yang betul, akan turunlah malaikat kepada mereka dari semasa ke semasa (dengan memberi ilham): “Janganlah kamu bimbang dan janganlah kamu berdukacita dan terimalah berita gembira bahawa kamu akan beroleh syurga yang telah dijanjikan kepada kamu.”
(Surah Fussilat 41:30)
Tarikh Bacaan: 5 Syawal 1446H | 4 April 2025M
Disediakan oleh: Cawangan Khutbah & Latihan, Bahagian Pengurusan Masjid, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan
Leave a comment