Teks Khutbah Jumaat (WP): Ukhuwah Dihayati, Perpaduan Diberkati

أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْم

إِنَّمَا ٱلْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌۭ فَأَصْلِحُوا۟ بَيْنَ أَخَوَيْكُمْ ۚ وَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ(١٠)

 “Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.” (Surah Al-Hujurat 49:10)

Sidang Jemaah yang dimuliakan,

Marilah kita berusaha meningkatkan ketakwaan kepada Allah SWT. Laksanakan segala perintah-Nya dan tinggalkan segala larangan-Nya. Ketakwaan itulah bekalan terbaik buat kita di dunia dan di akhirat. Pada hari ini, marilah kita hadir dengan hati yang ikhlas dan telinga yang terbuka.

Tinggalkan seketika urusan dunia. Elakkan daripada menggunakan telefon bimbit, bersembang atau tidur. Semoga setiap nasihat yang disampaikan akan menyuburkan jiwa dan membimbing kita ke arah kebaikan. 

Mimbar pada hari ini akan membicarakan khutbah yang bertajuk: “Ukhuwah Dihayati, Perpaduan Diberkati.”

Sidang Jemaah yang dimuliakan,

Perpaduan secara umumnya ialah proses menyatupadukan seluruh masyarakat dan negara agar setiap anggota masyarakat dapat membentuk satu identiti dan nilai bersama serta menanam perasaan cinta dan bangga terhadap tanah air. Di dalam Islam, perpaduan bukan sekadar keperluan dalam hidup bermasyarakat malah ia adalah perintah Allah SWT.

Firman Allah di dalam surah al-Hujurat ayat 10 yang dibacakan pada permulaan khutbah bermaksud: “Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.”

Perpaduan juga merupakan fitrah manusia kerana kita saling memerlukan antara satu sama lain. Hidup bersendirian tanpa sokongan orang lain adalah sesuatu yang mustahil. Justeru, masyarakat yang bersatu akan saling menguatkan dan melindungi ibarat satu jasad. Hal ini digambarkan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada Nu’man bin Basyir radiallahuanhu, bahawa Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: 

“Perumpamaan orang mukmin dalam sikap saling mencintai, mengasihi dan menyayangi seumpama tubuh. Jika satu anggota tubuh sakit, maka anggota tubuh yang lain akan susah tidur atau merasakan demam.”

Sebagai umat Islam, kita sepatutnya lebih mudah untuk bersatu kerana didorong oleh dua faktor utama iaitu perintah Allah SWT dan juga fitrah manusia itu sendiri. Namun, realiti masyarakat hari ini tidak begitu. Sejak kebelakangan ini, segelintir masyarakat kelihatan semakin galak membugarkan perpecahan, menyebarluaskan fitnah dan keburukan. 

Media sosial menjadi medan caci maki, bukan lagi tempat menyebarkan kebaikan. Lebih membimbangkan apabila sifat-sifat negatif seperti individualistik, prasangka buruk serta fanatik terhadap ideologi dan fahaman politik menular tanpa kawalan. Bahkan isu-isu khilafiah turut dijadikan bahan untuk mencetuskan perpecahan.

Akhirnya, umat Islam berbalah sesama sendiri sedangkan musuh bertepuk tangan menyaksikan perpecahan ini. Sampai bilakah kita mahu terus berbalah? Allah SWT mengingatkan kita supaya mengutamakan perpaduan demi kekuatan ummah melalui firmannya di dalam surah al-Anfal ayat 46:

وَأَطِيعُوا۟ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥ وَلَا تَنَـٰزَعُوا۟ فَتَفْشَلُوا۟ وَتَذْهَبَ رِيحُكُمْ ۖ وَٱصْبِرُوٓا۟ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ مَعَ ٱلصَّـٰبِرِينَ(٤٦)

Maksudnya: “Dan taatlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya, dan janganlah kamu berbantah-bantahan; kalau tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu, dan sabarlah (menghadapi segala kesukaran dengan cekal hati); sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar.”

(Surah Al-Anfal 8:46)

Sidang Jemaah yang dimuliakan,

Bagaimana kita mahu membina semula perpaduan? Kuncinya adalah kembali kepada ajaran Islam yang mengajarkan kasih sayang, toleransi dan ukhuwah. Ia bukan teori semata-mata malah telah dibuktikan secara praktikal oleh Rasulullah SAW. Baginda SAW berjaya menyatukan kabilah-kabilah arab yang sebelumnya saling bermusuhan. Begitu juga para ulama terdahulu seperti Imam al-Shafie, Imam Abu Hanifah dan lain-lain. Walaupun mereka berbeza mazhab dan aliran pemikiran, sifat berkasih sayang, saling menghormati dan bekerjasama demi kebaikan ummah tetap menjadi keutamaan. 

Justeru, mimbar pada hari ini ingin mengetengahkan beberapa asas penting sebagai panduan untuk memelihara perpaduan umat antaranya:

Pertama: Perpaduan Mestilah Bermula dari Hati 

Perpaduan yang sejati mestilah bersifat spiritual dan bertunjangkan iman. Kebersamaan ideologi, kepentingan ekonomi atau sosial hanya bersifat luaran. Iman yang kukuh akan mendorong seseorang untuk menolak sifat mementingkan diri, takabur dan tamak. Sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari daripada Anas bin Malik radiallahuanhu berkata, bahawa Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: 

“Tidak beriman (sempurna iman) seseorang itu sehingga dia kasih kepada saudaranya sebagaimana dia kasih kepada dirinya sendiri.”

Kedua: Belajar Menerima Perbezaan

Setiap manusia diciptakan berbeza-beza dan perbezaan ini adalah fitrah yang mengandungi hikmah tersendiri. Ia mencipta kekuatan dan keindahan dalam kehidupan bermasyarakat. Perpaduan boleh diumpamakan seperti sebuah bangunan kukuh yang dibina dengan pelbagai bahan. Jika hanya satu bahan digunakan, nescaya bangunan itu akan mudah runtuh. Begitulah juga masyarakat, kekuatannya lahir daripada kerjasama antara pelbagai latar

belakang. Oleh itu, carilah titik persamaan sebagai asas perpaduan. Kukuhkan persamaan tersebut dan uruslah perbezaan dengan sikap berlapang dada, saling bertolak ansur serta saling menghormati. Semua ini boleh diperkukuhkan melalui program-program kemasyarakatan seperti aktiviti gotong royong, majlis zikir dan tazkirah bulanan, program ziarah kasih dan lain-lain usaha yang bersesuaian dengan keperluan masyarakat setempat.

Ketiga: Hindari Sifat Menghina dan Merendahkan

Perpaduan tidak akan wujud selagi masih ada sifat takabur. Orang yang takabur merasakan dirinya lebih baik dan tidak memerlukan orang lain. Sikap ini menjadi penghalang kepada kerjasama dan permuafakatan. Rasulullah SAW tidak pernah merendahkan sesiapa. Baginda SAW menyatukan umat atas dasar iman dan kasih sayang. 

Maka, marilah kita memulakan langkah dengan perkara kecil tetapi konsisten seperti setiap kali selepas solat berjemaah untuk menghulurkan tangan bersalam dengan jemaah di sebelah

kiri dan kanan. Jika jiran atau kawan kita menghadapi kesulitan, jangan tunggu mereka untuk meminta bantuan, sebaliknya kita yang bertanyakan terlebih dahulu. Jika berlaku salah faham, jangan diamkan. Perkara-perkara ini tampak kecil tetapi inilah batu bata yang membina tembok ukhuwah yang kukuh.

Sidang Jemaah yang dimuliakan,

Usaha memupuk perpaduan bukan sahaja menjadi tanggungjawab individu dan masyarakat bahkan turut digerakkan secara berstruktur oleh Kementerian Perpaduan Negara melalui Dasar Perpaduan Negara yang dirangka berpaksikan kepada Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara. 

Antara langkah yang telah diperkenalkan adalah melalui program Sambutan Minggu Perpaduan (SMP) yang disambut pada Minggu terakhir bulan Mei setiap tahun. Melalui pelaksanaan program ini, kita dapat mewujudkan ruang kebersamaan dan interaksi aktif merentasi kaum dan generasi. Lebih penting, pelaksanaan SMP mengarusperdanakan konsep Faham, Hormat dan Terima, iaitu rakyat bukan sahaja memahami latar belakang dan budaya satu sama lain tetapi turut menghormati perbezaan serta menerima kepelbagaiaan sebagai kekuatan bersama.

Gabungan antara inisiatif berstruktur kerajaan dan penghayatan prinsip-prinsip Islam yang syumul inilah yang mampu membentuk masyarakat yang seimbang, menghargai perpaduan, berakhlak dan saling bertanggungjawab antara satu sama lain. Usaha ini tidak akan berjaya jika tidak disokong oleh jiwa yang ikhlas dan rakyat yang bertanggungjawab. Maka marilah kita bersama-sama memainkan peranan memperkukuhkan perpaduan ini. Janganlah kita menjadi punca perpecahan. Sebaliknya, jadilah kita sebagai ejen penyatuan ummah.

Tarikh Bacaan: 14 Safar 1447H | 8 Ogos 2025M
Disediakan oleh:  Cawangan Khutbah & Latihan, Bahagian Pengurusan Masjid, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑