ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ وَتَطْمَئِنُّ قُلُوبُهُم بِذِكْرِ ٱللَّهِ ۗ أَلَا بِذِكْرِ ٱللَّهِ تَطْمَئِنُّ ٱلْقُلُوبُ(٢٨)
“(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah”. Ketahuilah dengan “zikrullah” itu, tenang tenteramlah hati manusia.
(Surah Ar-Ra’d 13:28)
Ketenangan itu bukan hadir secara automatik, tetapi dianugerahkan kepada orang beriman yang sentiasa menghubungkan hatinya dengan Allah. Zikir bukan sekadar lafaz tasbih, tahmid atau tahlil di bibir, tetapi kesedaran mendalam bahawa Allah Maha Mengetahui, Maha Menolong, Maha Mengatur, dan hanya kepada-Nya kita bergantung harap.
Dalam Surah Ar-Ra’d ayat 28, Allah memberi jaminan bahawa ketenangan sejati hanyalah lahir dari zikrullah.
Refleksi praktikal ayat ini dalam kehidupan moden:
Di Tempat Kerja yang Penuh Tekanan
Apabila dikejar dateline, projek bertimbun dan hati mula resah, ambil masa sejenak untuk menarik nafas dan menyebut: “Hasbunallahu wa ni‘mal wakil” (حَسْبُنَا اللَّهُ وَنِعْمَ الْوَكِيلُ) atau “La hawla wa la quwwata illa billah” (لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللَّهِ). Ayat ini mengingatkan bahawa rezeki dan hasil kerja bukan semata-mata bergantung pada usaha, tetapi pada kehendak Allah. Zikrullah menukar panik menjadi tenang, cemas menjadi yakin.
Dalam Kealpaan di Media Sosial
Media sosial sering membawa perbandingan yang menjerat hati kepada iri, kecewa atau rasa tidak cukup. Surah ini mengajar bahawa hati tidak akan pernah puas dengan ‘likes’ atau ‘followers’, sebaliknya hanya tenteram dengan zikrullah. Gunakan masa scrolling untuk beristighfar atau membaca satu ayat al-Quran. Ia lebih menyejukkan jiwa berbanding perhatian maya yang sementara.
Ketika Diuji dengan Kesedihan
Kehilangan, kekecewaan, atau rasa sunyi kadangkala melemahkan jiwa. Namun zikrullah menjadi penguat: dengan menyebut nama Allah, mengingati hikmah qadar-Nya, hati yang rapuh menjadi teguh kembali. Ayat ini memberi jaminan bahawa Allah adalah sumber sebenar ketenangan, bukan manusia.
Krisis dalam Keluarga
Dalam hubungan yang tegang, hati mudah panas dan lidah mudah melukai. Amalkan zikrullah secara lembut di dalam hati, seperti “Ya Latif, Ya Salam”. Ingatan kepada Allah melembutkan jiwa, mendidik hati agar lebih redha, lebih mudah memaafkan, dan lebih lembut dalam berinteraksi dengan insan terdekat.
Akhirnya, ketenangan bukanlah sesuatu yang perlu dicari jauh, di pantai atau tempat ‘healing’, meskipun kadang-kadang ia membantu. Ketenangan itu ada dalam hati yang sentiasa basah dengan zikrullah.
Wallahu’alam
Leave a comment