Teks Khutbah Jumaat (JAKIM): Doa dan Solidariti

أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْم

وَمَا لَكُمْ لَا تُقَـٰتِلُونَ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ وَٱلْمُسْتَضْعَفِينَ مِنَ ٱلرِّجَالِ وَٱلنِّسَآءِ وَٱلْوِلْدَٰنِ ٱلَّذِينَ يَقُولُونَ رَبَّنَآ أَخْرِجْنَا مِنْ هَـٰذِهِ ٱلْقَرْيَةِ ٱلظَّالِمِ أَهْلُهَا وَٱجْعَل لَّنَا مِن لَّدُنكَ وَلِيًّۭا وَٱجْعَل لَّنَا مِن لَّدُنكَ نَصِيرًا(٧٥) 

“Dan apakah yang menghalang kamu (maka kamu) tidak mahu berperang pada jalan Allah (untuk menegakkan agama Islam) dan (untuk menyelamatkan) orang-orang yang tertindas dari kaum lelaki, perempuan dan kanak-kanak, iaitu mereka yang selalu (berdoa dengan) berkata: “Wahai Tuhan kami! Keluarkanlah kami dari negeri (Makkah) ini, yang penduduknya (kaum kafir musyrik) yang zalim, dan jadikanlah bagi kami dari pihakMu seorang pemimpin yang mengawal (keselamatan agama kami), dan jadikanlah bagi kami dari pihakMu seorang pemimpin yang membela kami (dari ancaman musuh)”.  (Surah an-Nisaa’ 4:75)

Sidang Jemaah Yang Dirahmati Allah, 

Marilah kita bertakwa kepada Allah SWT dengan sebenar-benar takwa. Taatilah segala perintah-Nya dan jauhilah segala larangan-Nya. Tumpukan sepenuh perhatian dan janganlah sibuk dengan apa-apa jua perkara lagha yang boleh mengalihkan tumpuan daripada khutbah ini. Semoga kita semua sentiasa dilimpahi rahmat dan keberkatan Allah SWT. 

Khutbah pada hari ini akan membicarakan tajuk: ‘Doa dan Solidariti’. 

Sidang Jemaah Yang Dimuliakan, 

Hari ini perhatian kita tertumpu kepada perjuangan misi kemanusiaan yang sedang berlangsung melalui Misi Sumud Flotilla Global, yang membawa bekalan makanan, ubat-ubatan, serta cahaya harapan buat saudara-saudara kita di Gaza yang sekian lama dizalimi dengan kepungan haram rejim Zionis.

Rakyat Malaysia yang menyertai misi ini kini sedang berhadapan secara langsung dengan tentera Israel di lautan Mediterranean, semata-mata demi satu matlamat mulia iaitu memecahkan kepungan yang menyesakkan rakyat Gaza dan menyampaikan bantuan kemanusiaan. Namun, dunia menyaksikan bagaimana misi ini diganggu, digertak, diancam bahkan difitnah sebagai ancaman keselamatan. Sedangkan hakikatnya, flotilla ini bukan kapal perang, tetapi simbol kesatuan ummah, solidariti sejagat, serta suara hati nurani manusia yang menuntut kebebasan dan menolak kezaliman. 

Misi pasukan sukarelawan ini merupakan sebahagian usaha yang terpuji dan tuntutan dalam membantu orang-orang yang tertindas terutamanya di Gaza ketika ini. Firman Allah SWT dalam Surah an-Nisaa’ ayat 75 yang bermaksud: 

“Dan apakah yang menghalang kamu (maka kamu) tidak mahu berperang pada jalan Allah (untuk menegakkan agama Islam) dan (untuk menyelamatkan) orang-orang yang tertindas dari kaum lelaki, perempuan dan kanak-kanak, iaitu mereka yang selalu (berdoa dengan) berkata: “Wahai Tuhan kami! Keluarkanlah kami dari negeri (Makkah) ini, yang penduduknya (kaum kafir musyrik) yang zalim, dan jadikanlah bagi kami dari pihakMu seorang pemimpin yang mengawal (keselamatan agama kami), dan jadikanlah bagi kami dari pihakMu seorang pemimpin yang membela kami (dari ancaman musuh)”. 

Sidang Jemaah Yang Dikasihi Sekalian, 

Gaza kini telah hancur dimusnahkan oleh rejim zionis Israel. Lebih 65,000 jiwa syahid, dan yang paling menyayat hati, 70% daripadanya ialah anak-anak kecil dan wanita yang tidak berdosa. Rejim Zionis terus menyekat segala bentuk bantuan, menyebabkan rakyat Gaza menanggung kelaparan yang dahsyat. Hospital yang sepatutnya menjadi tempat rawatan, masjid yang menjadi rumah ibadah, sekolah yang melahirkan harapan masa depan, serta prasarana awam yang diperlukan rakyat semuanya kini dimusnahkan dengan rakus. 

Namun, di tengah kegelapan ini, Misi Sumud Flotilla yang disertai lebih 44 negara digerakkan, demi menyelamatkan dan membela Gaza yang ditindas. Inilah lambang keberanian dan kesatuan hati manusia menentang kezaliman. Penderitaan rakyat Gaza membuka mata penduduk dunia untuk bangkit menentang kekejaman rejim Zionis Israel laknatullah. 

Kita di Malaysia juga mesti menyahut seruan ini, dengan doa yang tidak putus agar misi mereka diberi kejayaan. Sesungguhnya, inilah tanda kecil sumbangan kita kepada Gaza dan Palestin, bumi perjuangan yang tidak pernah padam dari doa umat Islam seluruh dunia. 

Sidang Jemaah Yang Dimuliakan, 

Ketahuilah bahawa Palestin bukan sekadar isu politik atau kemanusiaan, bahkan ia isu akidah dan amanah keimanan kita. Justeru, setiap usaha untuk membela Palestin adalah sebahagian daripada ibadah dan tuntutan iman. Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud: 

 “Perumpamaan golongan yang beriman pada sifat berkasih sayang, saling merahmati, dan saling membantu adalah seperti satu badan. Apabila ada anggota badan yang sakit, ia menyebabkan keseluruhan tubuh badan tidak dapat tidur dan juga menjadi demam”.

(Hadis riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim) 

Maka apakah kita masih mampu berdiam diri melihat saudara kita di Gaza kelaparan tanpa makanan, kehausan tanpa air, kesakitan tanpa ubat, bahkan dinafikan hak untuk hidup bebas? 

Apakah kita sanggup melihat anak-anak di Gaza mengutip sisa makanan di atas tanah untuk dijadikan alas perut?

Apakah kita sanggup membiarkan misi kemanusiaan yang murni ini digagalkan oleh keangkuhan kuasa zalim Zionis?

 Maka dalam menyokong misi kemanusiaan ini, kita dituntut; 

Pertama, kita hendaklah menyatakan dengan jelas dan terbuka solidariti bersama Gaza serta memberikan sokongan sepenuhnya kepada Misi Sumud Flotilla Global yang membawa harapan buat mereka yang terzalimi. 

Kedua, kita hendaklah menyokong segala usaha Kerajaan dalam misi menuntut pembebasan dan keselamatan peserta misi terutamanya dari kalangan rakyat Malaysia. Kita juga menuntut agar jaminan laluan selamat pergi dan balik bagi sumud flotilla, supaya bantuan dapat sampai tanpa sebarang sekatan. 

Ketiga, hulurkanlah segala yang termampu baik wang ringgit, doa, dan sokongan moral buat para sukarelawan flotilla serta rakyat Gaza yang berjuang mempertahankan maruah mereka. 

Dan keempat, didiklah generasi muda kita bahawa membela Palestin bukan sekadar isu kemanusiaan, tetapi sebahagian daripada perjuangan umat Islam yang tidak akan pernah terhenti hingga ke hari kiamat. Sesungguhnya, inilah amanah iman dan bukti cinta kita kepada Masjid al-Aqsa. 

Sidang Jemaah Yang Dimuliakan, 

Marilah kita satukan hati dan doa, memohon kepada Allah SWT agar melindungi para sukarelawan flotilla, mengurniakan kemenangan kepada rakyat Gaza, dan menghancurkan kezaliman Zionis yang meratah jiwa manusia tanpa belas kasihan. Jangan sekali-kali kita lalai dan leka, kerana apa yang berlaku di Gaza adalah ujian besar yang menyingkap nilai iman seluruh umat Islam. Ingatlah, pembelaan terhadap Palestin, Gaza, dan Masjid al-Aqsa bukan pilihan sampingan, tetapi kewajipan iman yang tidak boleh dipandang remeh. 

Justeru mengakhiri khutbah, saya dari lubuk hati yang terdalam meninggalkan beberapa pesanan penting kepada semua umat Islam; 

Pertama: Teruslah berdoa dan menyokong keselamatan para sukarelawan Misi Sumud Flotilla Global, kerana doa kita adalah senjata umat yang beriman, dan doa kitalah benteng mereka di lautan. 

Kedua: Hulurkanlah infaq dan sumbangan, kerana setiap ringgit yang kita dermakan adalah cahaya kehidupan bagi anak-anak Gaza yang kelaparan. 

Ketiga: Sedarkanlah diri kita, keluarga kita, dan masyarakat kita bahawa Palestin bukan isu asing. Ia adalah amanah iman dan tanggungjawab kita semua. 

Justeru, bersatulah menolak kezaliman Zionis, teruslah menyebar maklumat kebenaran tentang Palestin agar terus membuka mata dunia untuk membela rakyat Palestin. 

Renungkanlah firman Allah SWT dalam Surah as-Saff ayat 14, maksudnya: 

“Wahai orang-orang yang beriman! Jadikanlah diri kamu pembela-pembela (agama) Allah sebagaimana (keadaan penyokong-penyokong) Nabi Isa ibni Maryam (ketika ia) berkata kepada penyokong-penyokongnya itu: “Siapakah penolongpenolongku (dalam perjalananku) kepada Allah (dengan menegakkan agama-Nya)?” Mereka menjawab: “Kamilah pembela-pembela (agama) Allah!” (Setelah Nabi Isa tidak berada antara mereka) maka sepuak dari kaum Bani Israil beriman, dan sepuak lagi (tetap) kafir. Lalu Kami berikan pertolongan kepada orang-orang yang beriman untuk mengalahkan musuhnya, maka menjadilah mereka orang-orang yang menang”.

(Surah as-Saff 61:14)

Tarikh Dibaca: 11 Rabiulakhir 1447h / 3 Oktober 2025 
Disediakan oleh: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑