Oleh: Mymuslimin.com
Dalam dunia hari ini, hanya dengan menggunakan jari di skrin, tulisan boleh menjadi senjata yang melukakan. Satu tuduhan, satu komen, atau satu video sudah cukup untuk menjatuhkan maruah seseorang yang tidak bersalah.
Itulah bahayanya fitnah, perbuatan yang kelihatan tidak berbahaya tetapi secara halus memberi kesan yang mendalam kepada mangsa. Fitnah sering dipandang ringan kerana ia datang dalam wajah “pendapat”, “gurauan”, atau sekadar “berkongsi maklumat”.
Islam menegaskan bahawa menjaga maruah seseorang sama pentingnya dengan menjaga nyawa. Dalam satu hadis, Nabi SAW bersabda:
“Sesungguhnya darah kamu, harta kamu, dan maruah kamu adalah suci seperti sucinya hari ini, di bulan ini, dan di negeri ini.”
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Maknanya, menjaga maruah seseorang adalah amanah besar. Mengambilnya dengan cara memfitnah bukan sekadar salah tetapi dosa yang boleh menghancurkan kehidupan dunia dan akhirat.
Hari ini, apabila seseorang diserang fitnah di media sosial, kesannya bukan sedikit. Ia boleh meragut rezeki, kerjaya, dan ketenangan jiwa. Lebih menyedihkan, keluarga turut menjadi mangsa, anak berasa malu ke sekolah, pasangan menanggung tekanan, dan hubungan sosial terjejas.
Sebab itu, dalam konteks moden, saman fitnah bukan semata-mata urusan undang-undang, tetapi satu bentuk keadilan dan pengajaran. Ia bukan dendam, tetapi usaha mendidik masyarakat agar lebih berhati-hati dan bertanggungjawab dalam percakapan dan perkongsian.
Para ulama kontemporari juga berpandangan bahawa menuntut ganti rugi kerana fitnah adalah harus, kerana ia melindungi maqasid syariah, salah satu tujuan utama Islam, iaitu menjaga maruah manusia.
Dr. Wahbah al-Zuhaili menjelaskan bahawa kerosakan maknawi seperti kehilangan kehormatan dan reputasi juga adalah kemudaratan yang wajar ditebus, kerana ia boleh memusnahkan kehidupan seseorang.
Sebagaimana dijelaskan oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dalam artikel “Hukum Saman Fitnah dari Perspektif Syarak”, tuntutan sebegini harus dilihat sebagai satu langkah membaiki kerosakan dan mendidik akhlak masyarakat, bukan sekadar balasan duniawi.
Dalam dunia digital ini, kita mungkin tidak lagi menghunus pedang tetapi apa yang jari kita tuliskan boleh melukakan hati mereka yang kita kenal dan tidak kenal. Semberono mengulas, bercakap benda yang tidak benar dan menyebarkan berita tidak sahih.
Maka, sebelum menulis, mengulas, atau berkongsi, tanyalah diri:
- Adakah perkara ini benar?
- Adakah perkara ini perlu?
- Adakah perkara ini membawa kebaikan?
Jika tidak, lebih baik diam, kerana diam itu kadang-kadang lebih mulia daripada berkata yang sia-sia. Saman mungkin boleh memulihkan maruah di mata manusia, tetapi hanya taubat yang boleh memulihkan jiwa di sisi Allah.
Maruah itu seperti kaca, sekali retak, sukar disatukan semula. Berhati-hatilah dengan kata-kata, kerana ia adalah cerminan iman. Dan jika kita pernah terlanjur, mohonlah ampun kerana Allah Maha Pengampun kepada mereka yang kembali kepada-Nya dengan ikhlas.
Wallahu’alam.
Leave a comment