يَـٰٓأَيُّهَا ٱلْإِنسَـٰنُ مَا غَرَّكَ بِرَبِّكَ ٱلْكَرِيمِ(٦)
Wahai manusia! Apakah yang memperdayakanmu – (berlaku derhaka) kepada Tuhanmu yang Maha Pemurah?
(Surah Al-Infitar, 82:6)
Ayat ini merupakan satu teguran halus tetapi sangat mendalam daripada Allah SWT. Ia tidak disampaikan dalam nada marah, tetapi dengan kelembutan seorang Pencipta yang penuh kasih terhadap hamba-Nya. Allah tidak bertanya, “Mengapa kamu derhaka?”, tetapi “Apa yang memperdayakanmu?”, seolah-olah memberi ruang kepada manusia untuk berfikir sendiri: apakah sebenarnya yang telah membuat kita lalai dan jauh daripada-Nya.
Kita sering lupa bahawa kasih dan rahmat Allah SWT bukanlah alasan untuk terus leka. Manusia mudah terpedaya dan terlalu yakin bahawa kita masih punya masa, dan bahawa segala kemewahan serta kesenangan yang diperoleh menandakan Allah meredhai kehidupan kita. Lantas, kita menangguhkan taubat, menunda perubahan, dan berasa selamat walaupun hakikatnya semakin jauh daripada-Nya. Namun, ayat ini mengingatkan bahawa kurniaan Allah SWT sepatutnya menjadikan kita lebih tunduk dan bersyukur, bukan lebih berani melanggar batas.
ٱلَّذِى خَلَقَكَ فَسَوَّىٰكَ فَعَدَلَكَ(٧)
Tuhan yang telah mencipta dan mengatur kejadianmu, lalu menjadikan anggotamu sesuai (dengan tujuan yang kerananya anggota itu diadakan), serta menjadikan (binaan tubuh badanmu) sama padan dengan kekuatannya;
(Surah Al-Infitar, 82:7)
Dalam ayat ini, Allah mengingatkan manusia tentang asal-usul dan kesempurnaan ciptaan-Nya. Kita diciptakan dengan seimbang bukan sekadar secara fizikal, tetapi juga dari segi akal, emosi, dan rohani. Kesedaran ini sepatutnya menimbulkan rasa syukur dan tanggungjawab. Jika Allah menciptakan manusia dengan begitu teliti dan sempurna, maka tidak wajar kita merendahkan diri sendiri dengan maksiat atau kealpaan. Sebaliknya, gunakanlah segala kelebihan itu untuk mendekatkan diri kepada-Nya.
فِىٓ أَىِّ صُورَةٍۢ مَّا شَآءَ رَكَّبَكَ(٨)
Dalam bentuk dan rupa apa sahaja yang dikehendakiNya, Ia menyusun kejadianmu.
(Surah Al-Infitar, 82:8)
Ayat ini mengingatkan bahawa setiap manusia adalah hasil kehendak dan kebijaksanaan Allah SWT. Tiada siapa yang memilih rupa, warna kulit, keluarga, atau perjalanan hidupnya. Semua itu adalah susunan Tuhan, bukan untuk dibandingkan, tetapi untuk difahami sebagai ujian dan amanah. Namun manusia sering lupa hakikat ini, lalu mula menilai diri dan orang lain dengan ukuran dunia semata-mata, mengikut hawa dan persepsi sendiri.
كَلَّا بَلْ تُكَذِّبُونَ بِٱلدِّينِ(٩)
Sebenarnya tidak ada yang memperdayakan kamu (hai golongan yang ingkar)! Bahkan kamu sendiri tidak percayakan adanya hari pembalasan.
(Surah Al-Infitar, 82:9)
Inilah jawapan kepada persoalan awal: apa yang memperdayakan manusia terhadap Tuhan yang Maha Pemurah? Jawapannya, kerana manusia melupakan hari pembalasan, rupa kepada akhirat. Apabila manusia lupa bahawa setiap perbuatan akan dihisab, dia mula merasa bebas berbuat apa sahaja. Tidak lagi takut menipu, mengkhianati, atau menyakiti, kerana hatinya sudah hilang kesedaran tentang akhirat. Dia lupa bahawa satu hari nanti, dia akan dipersoalkan dan dipertanggungjawabkan atas segala amal dan keputusan hidupnya.
Kasih yang Mengingatkan, Bukan Membiarkan
Surah ini bukan sekadar peringatan, tetapi juga lambang kasih sayang Ilahi. Allah SWT tidak mahu kita terus tertipu oleh dunia yang sementara. Dia mahu kita sedar bahawa segala yang kita miliki, tubuh, rezeki, peluang dan masa, adalah nikmat yang perlu digunakan untuk kembali kepada-Nya.
Teguran yang lembut ini seharusnya menyedarkan kita: jangan biarkan rahmat Allah SWT menjadikan kita leka. Gunakan kasih sayang-Nya sebagai dorongan untuk lebih dekat, lebih taat, dan lebih sedar bahawa setiap nikmat datang bersama amanah dan kita tidak lupa akan hari pembalasan yang pasti akan tiba.
Wallahu’alam
Leave a comment