Teks Khutbah Jumaat (JAKIM):  Rezeki Halal, Hidup Berkat 

وَقُلِ ٱعْمَلُوا۟ فَسَيَرَى ٱللَّهُ عَمَلَكُمْ وَرَسُولُهُۥ وَٱلْمُؤْمِنُونَ ۖ وَسَتُرَدُّونَ إِلَىٰ عَـٰلِمِ ٱلْغَيْبِ وَٱلشَّهَـٰدَةِ فَيُنَبِّئُكُم بِمَا كُنتُمْ تَعْمَلُونَ (١٠٥)

“Dan katakanlah (wahai Muhammad): Beramallah kamu (akan segala yang diperintahkan), maka Allah dan Rasul-Nya serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan; dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata, kemudian Dia menerangkan kepada kamu apa yang kamu telah kerjakan”.

(Surah At-Taubah 9:105)

Sidang Jemaah Yang Dirahmati Allah, 

Marilah kita bertakwa kepada Allah SWT dengan sebenar-benar takwa. Taatilah segala perintah-Nya dan jauhilah segala larangan-Nya. Tumpukan sepenuh perhatian dan janganlah sibuk dengan apa-apa jua perkara lagha yang boleh mengalihkan tumpuan daripada khutbah ini. Semoga kita semua sentiasa dilimpahi rahmat dan keberkatan Allah SWT. 

Khutbah pada hari ini akan membicarakan tajuk: ‘Rezeki Halal, Hidup Berkat’. 

Sebelum kita meneruskan khutbah ini, marilah sama-sama kita menadah tangan dan menzahirkan doa buat saudara-saudara kita di bumi Palestin, khususnya di Gaza, yang kini sedang berjuang membina semula kehidupan selepas melalui detik-detik getir peperangan. Jangan biarkan mereka berseorangan menanggung derita dan kehilangan. Hulurkanlah apa-apa jua bentuk bantuan yang termampu sama ada dengan harta, tenaga, mahupun doa yang tulus. Sesungguhnya doa yang lahir dari hati yang ikhlas mampu menjadi sinar penguat bagi mereka yang diuji oleh Allah SWT.

Sidang Jemaah Yang Dirahmati Allah, 

Islam menuntut setiap umatnya bekerja bersungguh-sungguh dan memastikan rezeki yang diperoleh datang daripada sumber yang halal. Rezeki yang halal merupakan punca ketenangan hati dan keberkatan hidup, manakala pendapatan yang diperoleh dengan cara menipu, cuai atau menyalahgunakan kuasa akan menghapuskan keberkatan dan mengundang kemurkaan Allah SWT. 

Allah SWT berfirman dalam Surah al-Baqarah ayat 168 yang maksudnya: “Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi yang halal lagi baik, dan janganlah kamu ikut jejak langkah syaitan, kerana sesungguhnya syaitan itu ialah musuh yang terang lagi nyata bagi kamu”. 

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam at-Tirmidzi bahawa Abu Barzah alAslami meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: 

“Kedua-dua kaki seorang hamba Allah tidak akan berganjak (pada hari kiamat) sehinggalah dia ditanya tentang lima perkara: tentang kehidupannya dan bagaimana dia menggunakannya, tentang ilmunya dan bagaimana dia beramal dengannya, tentang hartanya — dari mana dia memperolehnya dan ke mana dia membelanjakannya, serta tentang tubuh badannya — untuk apa dia menggunakannya hingga menjadi lemah”. 

Maka, setiap daripada kita hendaklah berhati-hati dalam mencari rezeki. Biarlah sedikit tetapi halal, daripada banyak tetapi mengundang dosa dan kemurkaan Allah SWT. 

Sidang Jemaah Yang Dirahmati Allah, 

Marilah kita menanam tekad dan keazaman yang kukuh dalam diri untuk berkhidmat dengan penuh kejujuran dan dedikasi demi masa depan negara yang sejahtera. Setiap pekerjaan yang kita lakukan baik bekerja di sektor awam, swasta, mahupun bekerja sendiri bukan sekadar tuntutan dunia, tetapi merupakan amanah yang akan dipersoalkan di hadapan Allah SWT kelak. Ingatlah bahawa Allah SWT sentiasa melihat segala amal perbuatan kita. 

Allah SWT berfirman dalam Surah at-Taubah ayat 105 yang dibaca pada permulaan khutbah tadi bermaksud: “Dan katakanlah (wahai Muhammad): Beramallah kamu (akan segala yang diperintahkan), maka Allah dan Rasul-Nya serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan; dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata, kemudian Dia menerangkan kepada kamu apa yang kamu telah kerjakan”. 

Sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Saidatina A’isyah radhiallahuanha bahawa Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “Sesungguhnya Allah ‘Azza Wa Jalla kasih apabila seseorang daripada kamu melakukan sesuatu amalan ia dibuat secara tekun”. (Hadis riwayat Imam atTabarani) 

Maka, bekerjalah dengan hati yang ikhlas, bukan kerana gaji semata-mata, tetapi kerana amanah. Apabila setiap orang menunaikan tanggungjawab dengan jujur dan penuh dedikasi, negara akan makmur dan masyarakat akan hidup dalam keberkatan. 

Sidang Jemaah Yang Dikasihi Sekalian, 

Dalam kesibukan mencari rezeki yang halal, janganlah kita lalai terhadap kebajikan dan didikan keluarga. Anak-anak adalah amanah besar daripada Allah SWT yang akan dipersoalkan di akhirat kelak. 

Firman Allah SWT dalam Surah at-Tahrim ayat 6: Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkan-Nya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan”. 

Penekanan terhadap aspek ilmu agama, nilai dan moral mesti diperkasakan kerana inilah asas sebenar pembentukan insan berakhlak. Paling utama ialah penekanan terhadap ibadah solat fardhu kerana itulah benteng sahsiah yang dijamin oleh Allah SWT. 

Dalam suasana hari ini, pelbagai isu sosial yang melanda terutamanya dalam kalangan pelajar sekolah. Kita harus mengakui bahawa ia semakin membimbangkan. Dari ketagihan gajet yang melampau, pengaruh budaya hedonisme dan penularan bahan pornografi menjadi antara punca utama keruntuhan akhlak. Tanpa bimbingan agama yang kukuh dan pengawasan rapi daripada ibu bapa serta pendidik, anak-anak akan mudah terperangkap dalam gejala tidak bermoral yang merosakkan jiwa dan masa depan mereka. Oleh itu, langkah tegas dan bersepadu perlu dilaksanakan segera. Bukan sekadar kempen sementara, tetapi usaha berterusan membina benteng iman, memperkukuh nilai, dan membentuk akhlak yang selari dengan tuntutan Islam. 

Oleh itu, marilah kita semua sentiasa mengambil perhatian serius untuk berganding bahu memelihara generasi hari ini daripada kegelapan moral dan kekosongan jiwa. Sesungguhnya masyarakat yang beriman, berakhlak dan saling prihatin merupakan benteng sebenar kepada kesejahteraan keluarga, ummah dan negara. 

Sidang Jemaah Yang Dimuliakan Allah, 

Justeru mengakhiri khutbah hari ini, saya tinggalkan beberapa pesanan untuk diingati bersama; 

Pertama: Bekerjalah dengan jujur dan ikhlas dalam mencari rezeki, kerana setiap harta yang kita peroleh akan dipersoal di hadapan Allah. Ingatlah bahawa yang halal itu membawa keberkatan dan ketenangan, manakala yang kotor dan haram itu walau melimpah sekalipun hanya menjadi racun yang mengundang murka dan azab-Nya. 

Kedua: Dalam kesibukan mencari rezeki, jangan sampai kita kehilangan jiwa keluarga kerana anak-anak itu amanah yang turut akan menjadi saksi di hadapan Allah. Didiklah  Khutbah Jumaat Rezeki Halal, Hidup Berkat 5 mereka dengan iman dan kasih sayang, sebelum dunia yang keras mendidik mereka tanpa pegangan iman. 

Ketiga: Hanya dengan kekuatan iman, solat dan ilmu agama di samping pengawasan yang berterusan, generasi muda dapat diselamatkan daripada gelombang ketagihan gajet, hedonisme dan pornografi yang kian meruntuhkan akhlak dan jiwa. 

Untuk akhirnya, perbanyakkan doa yang diajar oleh Allah SWT melalui firman-Nya dalam Surah al-Furqan ayat 74: Maksudnya: “Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang) yang berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhan kami! Berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertakwa”.

Tarikh Dibaca: 25 Rabiulakhir 1447H | 17 Oktober 2025 
Disediakan oleh: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑