وَٱسْتَعِينُوا۟ بِٱلصَّبْرِ وَٱلصَّلَوٰةِ ۚ وَإِنَّهَا لَكَبِيرَةٌ إِلَّا عَلَى ٱلْخَـٰشِعِينَ(٤٥)
Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk;
(Surah Al-Baqarah, 2:45)
Ayat ini mengingatkan kita bahawa dalam menghadapi ujian hidup, dua kekuatan utama yang harus digenggam ialah sabar dan solat.
Sabar bukan sekadar menahan diri, tetapi kesanggupan untuk terus berbuat baik walau dalam kesempitan dan ujian. Ia menunjukkan kepercayaan bahawa setiap kesulitan datang dengan hikmah yang tersembunyi.
Solat pula menjadi tempat bergantung dan berehat bagi hati yang gelisah. Ia bukan sekadar ritual, tetapi pertemuan rohani antara hamba dan Penciptanya, tempat mengadu, berharap, dan menguatkan diri semula. Lebih berat cabaran hidup sepatutnya lebih kerap kita sujud kepada-Nya memohon pertolongan, bantuan dan kekuaran.
Namun Allah SWT juga mengingatkan bahawa tidak semua orang mampu memandang solat dan sabar sebagai sumber kekuatan. Ia hanya “ringan” bagi mereka yang khusyuk, iaitu yang sedar bahawa hidup ini sementara dan semua urusan akhirnya kembali kepada-Nya.
Bila hidup terasa berat, bukan kerana ujian itu terlalu besar tetapi kerana kita terlalu jauh dari dua sumber kekuatan ini. Kembali kepada sabar dan solat, di situlah rahsia ketenangan sebenar.
Wallahu’alam.
Leave a comment