Soalan
Terdapat sebuah pusat rawatan Islam yang menawarkan rawatan Talqin Dzikir dengan bayaran tertentu. Dalam penerangan yang diberikan, dinyatakan bahawa melalui rawatan ini seseorang akan “terhubung dengan Allah 24 jam melalui roh yang berdzikir.” Persoalan timbul sama ada dakwaan seumpama ini bertepatan dengan ajaran Islam dan tidak menyeleweng daripada akidah.
Penjelasan
Hukum ruqyah syar‘iyyah adalah harus sekiranya menepati syarat yang digariskan ulama, iaitu menggunakan ayat al-Quran atau doa yang sahih, dengan bahasa yang difahami maknanya, serta beriktikad bahawa Allah SWT sahaja yang menyembuhkan. Namun begitu, dakwaan rawatan “Talqin Dzikir” yang menjanjikan seseorang akan terhubung dengan Allah 24 jam melalui roh yang berzikir adalah keterlaluan dan tidak mempunyai sandaran syarak. Ia boleh membawa unsur dakwaan mengetahui perkara ghaib yang ditegah. Justeru, sebaiknya ditinggalkan perkara yang meragukan, kerana segala kesembuhan adalah dengan izin Allah SWT semata-mata.
Alhamdulillah segala pujian bagi Allah SWT tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikut jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.
Adab Berzikir Kepada Allah SWT
Zikir kepada Allah SWT adalah ibadah yang sangat digalakkan, dan ia mempunyai adab-adab tertentu seperti ikhlas, menghadirkan hati, berwuduk, menghadap kiblat, memilih waktu afdal dan sebagainya. Semua itu adalah etika yang menyempurnakan amalan dan menambah kesempurnaan pahala serta keberkatan zikir. [Rujuk: Syarah al-Arbai’n al-Nawawiyyah li ‘Athiyyah Salim, hlm. 776]
Namun, sekiranya seseorang tidak sempat atau tidak mampu menunaikan sebahagian daripada adab tersebut, zikir itu tetap sah dan dibenarkan. Contohnya:
- Jika seseorang berzikir tanpa berwuduk, zikirnya tetap sah walaupun berwuduk itu lebih afdhal.
- Jika seseorang berzikir sambil bekerja atau berjalan tanpa menghadap kiblat, zikirnya masih diterima walaupun menghadap kiblat lebih sempurna.
Maksudnya, adab-adab itu bukan syarat sah zikir, tetapi ia adalah penyempurna. Yang menjadi asas adalah lidah atau hati yang mengingati Allah dengan niat ikhlas.
Al-Ruqyah Al-Syar‘Iyyah
Ruqyah secara bahasa bermaksud bacaan doa untuk perlindungan dan penyembuhan. Dari sudut syarak, ruqyah ialah bacaan ayat-ayat al-Quran, doa-doa yang ma’thur (yang datang daripada Rasulullah SAW), atau doa yang baik dan tidak mengandungi unsur syirik, yang dibacakan untuk memohon perlindungan atau kesembuhan daripada Allah SWT.
Ruqyah merupakan perkara yang sabit di dalam al-Quran dan Sunnah Nabi Muhammad SAW.
Firman Allah SWT:
وَنُنَزِّلُ مِنَ الْقُرْآنِ مَا هُوَ شِفَاءٌ وَرَحْمَةٌ لِلْمُؤْمِنِينَ وَلَا يَزِيدُ الظَّالِمِينَ إِلَّا خَسَارًا
Maksudnya: Dan Kami turunkan dengan beransur-ansur dari Al-Quran Ayat-ayat Suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman kepadanya; dan (sebaliknya) Al-Quran tidak menambahkan orang-orang yang zalim (disebabkan keingkaran mereka) melainkan kerugian jua.
[Surah al-Isra’: 82]
Ayat ini menunjukkan bahawa al-Quran bukan sahaja menjadi petunjuk dan rahmat, tetapi juga berfungsi sebagai penawar bagi penyakit, sama ada penyakit hati (keraguan, syirik, nifaq) ataupun penyakit fizikal (sakit badan).
Selain itu, Rasulullah SAW sendiri pernah berbuat ruqyah dan membenarkan para sahabat melakukannya. Antaranya hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim:
عَنْ عَوْفِ بْنِ مَالِكٍ الأَشْجَعِيِّ قَالَ كُنَّا نَرْقِي فِي الْجَاهِلِيَّةِ فَقُلْنَا: يَا رَسُولَ اللهِ كَيْفَ تَرَى فِي ذَلِكَ؟ فَقَالَ: اعْرِضُوا عَلَيَّ رُقَاكُمْ، لاَ بَأْسَ بِالرُّقَى مَا لَمْ يَكُنْ فِيهِ شِرْكٌ
Maksudnya: “Kami pernah melakukan ruqyah pada zaman Jahiliah, lalu kami berkata: Wahai Rasulullah, bagaimana pandangan tuan? Baginda menjawab: Perlihatkanlah ruqyah kamu kepadaku. Tidak mengapa melakukan ruqyah selama mana tidak mengandungi unsur syirik.”
(Riwayat Muslim, no. 2200)
Para ulama sepakat bahawa dibolehkan menggunakan ruqyah jika dicukupi 3 syarat iaitu:
- Menggunakan kalam Allah SWT, nama Allah SWT atau sifatnya.
- Menggunakan Bahasa Arab atau bahasa yang difahami maknanya.
- Peruqyah dan yang meruqyah beritiqad bahawa yang memberi kesan hanyalah Allah SWT jua. Adapun makhluk hanya sabab musabbab sahaja. [Rujuk: Fath al-Bari, Jld. 10, hlm. 195]
Maka, segala ruqyah yang tidak memenuhi salah satu daripada tiga syarat tersebut adalah tidak mematuhi syarak. Walaupun ruqyah adalah harus dan digalakkan, umat Islam perlu berhati-hati agar tidak terjebak dengan:
- Dakwaan melampau, seperti menjamin kesembuhan mutlak atau hubungan ghaib dengan Allah melalui roh.
- Amalan khurafat atau syirik, seperti memuja makhluk halus, jampi serapah yang tidak difahami, atau mempercayai peruqyah mempunyai kuasa luar biasa.
Ruqyah adalah amalan yang diiktiraf syarak, bersumberkan al-Quran dan Sunnah, dengan syarat tidak bercampur syirik dan diyakini bahawa hanya Allah SWT yang menyembuhkan. Ayat al-Isra’ 82 menjadi dalil bahawa al-Quran ialah penawar dan rahmat. Namun, apa sahaja dakwaan yang berlebihan atau bercanggah dengan akidah perlu ditolak, dan umat Islam digalakkan kembali kepada bentuk ruqyah yang diajarkan Nabi SAW.
Dakwaan Mengetahui Perkara Ghaib
Mendakwa mengetahui perkara ghaib adalah perkara yang dilarang di dalam agama. Ini berdasarkan firman Allah SWT di dalam Surah al-An’am;
وَعِنْدَهُ مَفَاتِحُ الْغَيْبِ لَا يَعْلَمُهَا إِلَّا هو
Maksudnya: “Dan pada sisi Allah jualah anak kunci perbendaharaan segala yang ghaib, tiada sesiapa yang mengetahuinya melainkan Dia lah sahaja…”
[Surah al-An‘am: 59]
Dengan ayat yang dinyatakan, jelas bahawa kita tidak dapat mengetahui apatah lagi mendakwa mengetahui perkara ghaib. Melainkan apa yang datang di dalam perkhabaran melalui al-Quran dan al-Sunnah sahaja. Ini kerana dua ini sahajalah sumber yang diterima dan dipegang dalam bab sami’yyat.
Galakan Tinggalkan Keraguan dan Prasangka
Sabda Nabi Muhammad SAW:
دَعْ مَا يَرِيْبُكَ، إِلَى مَا لَا يَرِيْبُكَ
Maksudnya: “Tinggallah apa yang menjadi keraguan padamu kepada yang tidak meragukan.”
Kemudian Nabi menyambung sabdaan baginda:
فَإِنَّ الصِّدْقَ طُمَانِينَةٌ، وَإِنَّ الكَذِبَ رِيبَةٌ
Maksudnya: Sesungguhnya sidq itu menenangkan sementara kazib ialah keraguan.
[al-Tirmizi: 2518, Ahmad: 1723, dan al-Nasaie: 5711]
Hadis ini mengajar agar seseorang meninggalkan perkara yang menimbulkan rasa waswas, dan berpegang kepada sesuatu yang diyakini kebenarannya. Ia sangat berguna dalam situasi di mana hukum sesuatu perkara tidak jelas, atau timbul perasaan tidak tenang dalam hati terhadap sesuatu keputusan atau tindakan.
Hadis ini menjadi kaedah penting dalam kehidupan dan menjadi salah satu prinsip penting dalam membuat keputusan harian, sama ada dalam urusan ibadah, muamalat, atau hubungan sesama manusia. Ia juga boleh digunakan sebagai asas untuk menjauhi perkara-perkara syubhah (yang samar antara halal dan haram) dalam usaha memelihara agama dan integriti diri.
Kesimpulan
Berdasarkan persoalan yang diajukan, hukum melakukan ruqyah adalah diharuskan. Namun begitu, jika dakwaan yang dikemukakan oleh peruqyah adalah keterlaluan, maka dinasihatkan untuk meninggalkannya jika diragui. Segala kesembuhan dan kelepasan daripada penyakit adalah semata-mata dengan izin Allah SWT. Oleh itu, dakwaan seperti tidak akan dijangkiti lagi penyakit dan seumpamanya adalah berlebihan serta tidak wajar.
Begitu juga dakwaan rawatan “Talqin Dzikir” yang menjanjikan seseorang akan terhubung dengan Allah 24 jam melalui roh yang berzikir adalah keterlaluan dan tidak mempunyai sandaran syarak. Ia boleh membawa unsur dakwaan mengetahui perkara ghaib yang ditegah. Justeru, sebaiknya ditinggalkan perkara yang meragukan, kerana segala kesembuhan adalah dengan izin Allah SWT semata-mata.
Semoga Allah SWT mengurniakan ilmu dan kefahaman kepada kita dalam melaksanakan titah perintah-Nya dan menjauhi setiap tegahan-Nya.
Wallahu’aklam
Sumber: eKemusykilan, Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang
Leave a comment