يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ وَلْتَنظُرْ نَفْسٌۭ مَّا قَدَّمَتْ لِغَدٍۢ ۖ وَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ خَبِيرٌۢ بِمَا تَعْمَلُونَ(١٨)
“Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan hendaklah setiap orang memperhatikan apa yang telah diperbuatnya untuk hari esok (akhirat). Bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Teliti terhadap apa yang kamu kerjakan.”
(Surah Al-Hasyr 59:18)
Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Bertakwalah kepada Allah SWT, semoga kita beroleh rahmat dan kasih-Nya. Laksanakan apa yang diperintah dan tinggalkan segala yang ditegah. Berikan tumpuan kepada bicara khutbah, hindari perkara-perkara lagha agar kita dikurniakan ganjaran solat Jumaat yang sempurna.
Mari kita dengar dan hayati khutbah hari ini bertajuk, “Menabur Bakti, Menuai Syurga”.
Kaum Muslimin Yang Berbahagia,
Menelusuri perjalanan kehidupan ini, setiap daripada kita akan melalui fasa demi fasa. Bermula dengan alam kanak-kanak, kita akan meningkat usia remaja, seterusnya menginjak alam dewasa dan akhirnya menuju ke penghujung usia tua. Usia tua bukanlah bererti kelemahan, bahkan ia adalah anugerah yang terindah. Hakikatnya, ia menjadi lambang rahmat Allah SWT yang memanjangkan umur agar kita memperbanyak amal soleh.
Kehidupan dunia bersifat sementara sebelum kita pergi meninggalkannya. Apa jua yang kita lakukan hari ini akan menentukan nasib kita pada hari esok. Umur yang dinikmati kini adalah peluang untuk menabur bakti, kerana pasti setiap yang pergi tak akan kembali lagi. Inilah yang jelas dipaparkan dalam firman Allah SWT yang menjadi mukadimah khutbah, menerusi Surah al-Hasyr ayat 18, bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan hendaklah setiap orang memperhatikan apa yang telah diperbuatnya untuk hari esok (akhirat). Bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Teliti terhadap apa yang kamu kerjakan.”
Para Tetamu Allah Yang Diberkati,
Menurut Dasar Warga Emas Negara 2023, warga emas didefinisikan sebagai individu yang telah mencapai usia 60 tahun dan ke atas. Golongan ini adalah generasi terdahulu yang telah menabur keringat, membina keluarga, mendidik anak bangsa dan memakmurkan negara. Di sebalik rambut yang memutih dan wajah yang berkerut, tersimpan ribuan kisah perjuangan, pengorbanan dan pengalaman yang tidak ternilai.
Mereka adalah ibu, bapa, datuk, nenek, jiran, guru, atau sesiapa sahaja yang telah mendahului kita dalam usia dan pengalaman hidup. Usia mereka mungkin lanjut, tetapi jasa, keringat dan sumbangan mereka kepada keluarga, masyarakat serta negara adalah harta yang sukar dicari ganti.
Allah SWT berfirman dalam surah Al-Isra’ ayat 23-24 yang maksudnya: “Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata, dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa. Jika salah seorang daripada keduanya atau kedua-duanya sekali sampai kepada umur tua dalam jagaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka walaupun perkataan ‘ah’, dan janganlah engkau menengking mereka, tetapi ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia. Dan rendahkanlah dirimu terhadap mereka berdua dengan penuh kasih sayang, dan doakanlah: ‘Wahai Tuhanku, kasihanilah mereka berdua sebagaimana mereka telah mendidikku semasa kecil.’”
Ayat ini mengingatkan kita bahawa memuliakan orang tua khususnya ibu bapa bukan sekadar adat, tetapi perintah Allah yang wajib ditunaikan. Para mufassir seperti Ibn Kathir dan al-Qurtubi menekankan bahawa larangan sekadar mengucapkan perkataan sekecil “ah” sudah menunjukkan betapa haramnya segala bentuk kata-kata kasar, apatah lagi menengking atau menyakiti hati mereka.
Sebaliknya, kita diperintahkan berbicara dengan kata-kata mulia, penuh kasih sayang dan merendahkan diri seolah-olah membentangkan “sayap kerendahan” di hadapan mereka, serta tidak lupa mendoakan mereka dengan doa rahmat sebagaimana mereka telah mendidik kita sejak kecil. Inilah tanda takwa yang membawa reda Allah SWT dan menjadi jalan pasti menuju syurga bagi sesiapa yang menabur bakti dan menjaga hak ibu bapa sepanjang hayat.
Para tetamu Allah yang dimuliakan,
Memuliakan warga emas bukan hanya tanggungjawab anak-anak, tetapi amanah seluruh masyarakat. Keluarga hendaklah menjadi benteng pertama. Anak-anak wajib menjaga ibu bapa yang lanjut usia, menyediakan keperluan fizikal dan emosi, mendengar nasihat dan cerita mereka walau diulang-ulang. Berilah mereka peluang untuk terus dihargai, bukan disisihkan.
Perkara yang paling utama sebenarnya memastikan semampu mungkin ibadah dan kerohanian mereka terjaga kerana soalan pertama yang ditanya di akhirat ialah berkenaan solat. Bimbang kita sibuk menguruskan keperluan fizikal tetapi mengabaikan keperluan syarak yang lebih penting. Di samping itu, kita sebahagian dalam masyarakat haruslah memupuk budaya menghormati warga emas. Perbuatan semudah membantu mereka yang kesukaran semasa lalu lintas ataupun mendahulukan mereka ketika menaiki kenderaan awam boleh menjadi contoh kepada generasi akan datang dalam menyantuni mereka. Masjid pula seharusnya menjadi pusat komuniti yang mesra warga emas.
Jadikan masjid sebagai tempat mendekatkan diri kepada Allah SWT, menimba ilmu, mendapatkan kaunseling dan berinteraksi dengan masyarakat. Perjuangan kita mengejar rahmat dan keampunan Allah tidak pernah selesai sehingga ajal menjemput. Permulaan sehebat mana sekalipun tiada nilai jika pengakhirannya diranapkan dengan berpaling daripada hidayah Tuhan.
Menghormati orang tua bukan satu perkara yang remeh. Bukti sebuah masyarakat mengagungkan Allah dapat dilihat daripada cara mereka berinteraksi dengan warga emas. Hal ini bertepatan dengan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud, daripada Abu Umamah radiallahuanhu, Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: Sesungguhnya termasuk mengagungkan Allah ialah memuliakan orang tua Muslim.
Kaum Muslimin Yang Berbahagia,
Hari ini kita muda dan gagah, esok lusa kita juga akan menjadi warga emas. Cara kita menghormati orang tua hari ini akan menjadi cermin bagaimana anak-anak kita memperlakukan kita pada masa hadapan. Setiap kita, muda atau tua, mempunyai tanggungjawab untuk menabur bakti. Bagi warga emas, teruslah memperbanyak amal soleh: solat, doa, zikir, sedekah dan nasihat yang baik.
Bagi generasi muda, peluang bakti terbuka luas; menjaga kebajikan ibu bapa, menyantuni jiran tua, membantu mereka dalam keperluan harian, dan mendoakan kesejahteraan mereka. Ingatlah, setiap senyuman, setiap tangan yang dihulur, setiap doa yang dipanjatkan untuk orang tua adalah benih pahala yang akan dituai sebagai ganjaran syurga.
Tarikh Bacaan: 2 Jamadilawal 1447H | 24 Oktober 2025M
Disediakan oleh: Cawangan Khutbah & Latihan Bahagian Pengurusan Masjid, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan
Leave a comment