Kerisauan Melanggar Lafaz Taklik Kepada Isteri 

Soalan

Sepasang suami isteri menjalani perkahwinan jarak jauh (PJJ) dan hanya bertemu 1-2 bulan sekali kerana faktor kos dan masa. Si isteri mengetahui bahawa suaminya menonton video perempuan seksi sambil melakukan onani. Isteri menganggap perbuatan itu sebagai kecurangan dan menuntut cerai. Ini kali kedua perkara sama berlaku, menyebabkan isteri nekad pulang ke kampung dan memfailkan perceraian.

Beberapa jam kemudian, isteri meminta suami melafazkan taklik — jika dia menonton video sedemikian lagi, maka jatuh talak. Dalam keadaan terkejut dan bingung, suami melafazkan tiga ayat berturut-turut dengan maksud hampir sama:

  1. “Kalau tonton video perempuan seksi lagi, jatuh talak.”
  2. “Kalau tonton video perempuan seksi dan puaskan nafsu, jatuh talak.”
  3. “Kalau tonton video perempuan seksi selain isteri, dan puaskan nafsu, jatuh talak.”

Persoalan timbul mengenai lafaz yang sah diambil kira, serta sama ada pelanggaran taklik bergantung pada lafaz semata-mata atau turut mengambil kira niat, khususnya apabila suami terdedah kepada video wanita seksi di media sosial tanpa niat melakukan onani.

Penjelasan

Lafaz pertama terasa umum kerana saya lafazkan dalam keadaan minda yang kosong dan bingung, tapi dalam fikiran saya merujuk kepada menonton video tersebut sambil berbuat onani. Setelah termenung sekejap, saya baru sedar lafaz pertama itu terlalu umum, lalu saya lafazkan yang kedua. Selepas termenung lagi, saya terfikir seandainya saya menonton video isteri saya sendiri, jadi saya lafazkan lafaz ketiga iaitu merujuk kepada menonton video perempuan seksi lain (selain isteri) untuk memuaskan nafsu sambil onani.

Lafaz taklik ini dilafazkan pada 31/5/2025. Dari tarikh tersebut hingga hari ini, saya tidak pernah lagi ulangi perbuatan itu (menonton video perempuan seksi lain (selain isteri) sambil onani. Tetapi ada melihat video perempuan seksi di media sosial, dalam movie atau laman beli online.

Dengan mengucapkan tiga lafaz yang berbeza berturut-turut tetapi dengan maksud yang sama (membayangkan menonton sambil onani), lafaz yang mana satu yang sah dan diambil kira?

Adakah lafaz taklik bergantung hanya pada lafaz yang diucapkan semata-mata, atau juga pada niat semasa lafaz tersebut? Dikhuatir jika tidak sengaja telah melanggar lafaz taklik pertama, kerana sering terdedah kepada video wanita seksi lain di media sosial, walaupun tanpa niat untuk beronani dan tidak melakukan onani.

Dalam isu yang diajukan, suami telah melafazkan tiga bentuk taklik talak secara berturut-turut setelah ditekan oleh isteri akibat perbuatan menonton video wanita seksi sambil beronani. 

Berdasarkan kaedah fiqh, taklik talak bermaksud lafaz talak yang digantungkan pada sesuatu syarat — jika syarat itu berlaku, maka talak jatuh secara automatik. Namun, makna sebenar sesuatu lafaz sangat bergantung kepada niat dan konteks (qarinah) semasa ia diucapkan, sebagaimana kaedah fiqh menyebut:

مقاصد اللفظ على نية اللافظ

Maksud: Sesuatu lafaz bergantung kepada niat orang yang melafazkannya.

[Asybah wa al-Nazair, hlm. 44]

Dalam kes ini, qarinah menunjukkan bahawa maksud sebenar suami ialah menonton video wanita seksi sambil beronani, bukan sekadar melihat video di media sosial atau televisyen tanpa niat memuaskan nafsu. Maka, hanya lafaz yang terakhir — yang menjelaskan maksud itu dengan paling tepat — dianggap mewakili niat sebenar suami, dan talak yang tergantung hanya pada keadaan tersebut.

Oleh itu, jika selepas lafaz taklik itu suami tidak lagi mengulangi perbuatan menonton video wanita seksi sambil beronani, maka talak belum jatuh walaupun dia kadangkala terlihat wanita seksi di media sosial atau filem tanpa niat tersebut.

Walau bagaimanapun, keputusan muktamad berhubung sah atau tidak jatuhnya talak hendaklah ditentukan oleh Mahkamah Syariah, kerana hanya hakim yang berkuasa menilai bukti, niat, dan lafaz dengan adil. Pasangan disarankan merujuk kes ini segera ke Mahkamah Syariah agar rumah tangga tidak tergugat oleh kekeliruan hukum.

Kesimpulan Ringkas:

  1. Lafaz taklik yang diambil kira ialah lafaz terakhir kerana ia paling menepati niat sebenar suami.
  2. Talak hanya jatuh jika suami menonton video wanita seksi sambil beronani, bukan sekadar terlihat gambar atau video di media sosial.
  3. Pengesahan muktamad mesti dibuat oleh Mahkamah Syariah.

Alhamdulillah segala pujian bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari kiamat.

Pendahuluan

Di Malaysia, hampir 50 peratus golongan wanita kini terlibat dalam tenaga kerja sepenuh masa, sekali gus mempengaruhi struktur serta peranan dalam institusi kekeluargaan. Menurut laporan Berita Harian bertarikh 29 Jun 2019, dianggarkan lebih 500,000 pasangan suami isteri tinggal berjauhan akibat tekanan ekonomi. Sementara itu, dapatan Kajian Penduduk dan Keluarga Malaysia Kelima (KPKM-5) yang diterbitkan oleh LPPKN pada tahun 2014 menunjukkan bahawa 6.9 peratus wanita tinggal berjauhan daripada suami mereka disebabkan tuntutan kerjaya. Keadaan ini berpotensi menimbulkan tekanan emosi serta gangguan psikologi, khususnya kepada pasangan yang terpaksa memikul amanah menguruskan rumah tangga secara sendirian tanpa sokongan langsung daripada pasangan. Oleh itu, isu perkahwinan jarak jauh (PJJ) ini wajar diberi perhatian serius kerana ia merupakan antara faktor yang menyumbang kepada peningkatan kadar perceraian di Malaysia.

Perceraian: Keputusan Yang Halal Tetapi Dibenci Allah

Dalam kehidupan berumah tangga, perceraian merupakan perkara yang dibolehkan sekiranya terdapat sebab-sebab yang dibenarkan oleh syarak. Meskipun begitu, ia bukanlah suatu perkara yang disukai oleh Allah SWT.

Hal ini bertepatan dengan hadis yang diriwayatkan oleh Thauban RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

أَيُّمَا امْرَأَةٍ سَأَلَتْ زَوْجَهَا طَلاَقًا فِي غَيْرِ مَا بَأْسٍ فَحَرَامٌ عَلَيْهَا رَائِحَةُ الْجَنَّةِ

Maksudnya: “Mana-mana isteri yang meminta cerai daripada suaminya tanpa alasan maka haram baginya bau syurga.”

[Riwayat Abu Daud, No.2226]

Hadis di atas berbentuk ancaman yang diberikan kepada isteri yang meminta cerai daripada suaminya tanpa ada sebab-sebab yang mendorong untuk berbuat demikian. Hadis ini juga menyebut “haram baginya bau syurga” yang bermaksud bahawa wanita-wanita ini bukan sahaja tidak dapat menghidu bau syurga bahkan tidak akan memasukinya.

Ungkapan ini merupakan kiasan bagi menggambarkan jauhnya dia daripada syurga serta terhalang daripada merasai keharumannya dan memasukinya. Bagi mereka yang meninggal dunia dalam keadaan Islam, larangan ini difahami sebagai tidak akan merasai bau syurga seperti golongan terawal orang yang berbuat baik merasainya, dan tidak akan masuk bersama kelompok yang terawal memasukinya. Bukanlah maksudnya mereka langsung tidak akan dapat mencium bau syurga atau tidak akan masuk ke dalamnya sama sekali. 

Definisi Taklik Talak

Taklik secara bahasa bermaksud menggantungkan sesuatu. Dalam konteks talak, ia merujuk kepada lafaz talak yang digantungkan kepada sesuatu syarat. Jika syarat itu berlaku, maka talak jatuh secara automatik. 

Para fuqaha telah menyatakan yang maksudnya: “Taklik talak bermaksud seorang suami menggantungkan (mengaitkan) berlakunya talak ke atas isterinya dengan sesuatu sifat atau syarat tertentu, sama ada perkara itu berkaitan dengan isteri atau selainnya………….

Peranan Qarinah Dan Konteks Dalam Menentukan Hukum Talak

Dalam keadaan tertentu, terdapat pasangan suami isteri yang apabila berdepan dengan konflik rumah tangga, bertindak melafazkan talak dalam keadaan tergesa-gesa tanpa pertimbangan yang wajar. Sebagai contoh, seorang isteri yang mendapati suaminya melakukan perkara yang menimbulkan ketidakpuasan hati lalu meminta agar suaminya membuat lafaz taklik talak. Tanpa berfikir secara mendalam, suami tersebut terus melafazkan taklik sebagaimana diminta.

Konteks persoalan yang ditanyakan merujuk kepada seorang suami yang telah melafazkan tiga kali taklik talak secara berturut-turut tanpa penelitian dan pertimbangan yang mendalam, setelah dirinya didapati oleh isteri sedang menonton wanita seksi sambil melakukan onani. Susulan daripada perbuatan tersebut, si isteri meminta agar suaminya membuat lafaz taklik talak sekiranya perbuatan itu diulangi lagi pada masa hadapan maka jatuh talak.

Dalam hal ini, konteks dan qarinah ketika taklik dilafazkan jelas tertumpu kepada perbuatan menonton wanita seksi sambil beronani sebagaimana yang dipersoalkan.  Maksud dan tujuan bagi ketiga-tiga lafaz tersebut sebenarnya sama, iaitu merujuk kepada keadaan yang telah berlaku sebelum itu, iaitu ketika isterinya mendapati suami berkenaan melakukan perbuatan menonton sambil memuaskan nafsu dengan cara onani.

Dalam disiplin fiqh, lafaz talak boleh terikat dengan qarinah (petunjuk konteks) yang menjelaskan maksud sebenar si pengucap. Hal ini seperti yang dapat difahami daripada keterangan Syeikh Shihabuddin ar-Ramli yang hampir sama yang maksudnya: “Ditanya kepada Shihabuddin Al-Ramli mengenai seorang lelaki yang bekerja sebagai tukang jahit bersama saudaranya. Dalam masa sama, dia mengupah dirinya untuk bekerja dengan orang lain sama ada melalui akad pekerjaan yang sah ataupun tidak sah. Setelah mengetahui perkara tersebut, saudaranya menegurnya dengan keras lalu berkata: “Sekiranya engkau kembali bekerja dengannya, maka isteriku tertalak.” Namun setelah itu, saudaranya itu menjelaskan maksud daripada ucapan taklik tersebut: “Apa yang aku maksudkan adalah sekiranya kamu bekerja dengannya sebagai pekerja yang mengambil upah. Adapun jika engkau hanya membantu secara percuma, maka itu bukanlah yang aku maksudkan dalam taklikku, kerana aku sendiri juga membantunya. Justeru, Adakah diterima penjelasan lelaki tersebut? Dan adakah jatuh talak sekiranya saudaranya itu membantu pihak yang disebut secara percuma, memandangkan wujudnya qarinah (petunjuk) yang menunjukkan maksud sebenar?, Shihabuddin Ar-ramli menjawab:Diterima penjelasan lelaki berkenaan berdasarkan qarinah yang disebutkan, dan tidak jatuh talak sekiranya bantuan itu dilakukan secara percuma.[Rujuk:Targhibul Mushtaq fi masail ahkam talaq, Hlm. 41-42]

Selain itu, terdapat satu kaedah fiqhiyyah yang amat penting untuk dijadikan asas pertimbangan, iaitu:

مقاصد اللفظ على نية اللافظ

Maksudnya: “Maksud suatu lafaz adalah bergantung kepada niat orang yang melafazkannya.” [Rujuk:Asybah Wal Nazair, Hlm.44]

Kaedah ini menegaskan bahawa makna sebenar sesuatu lafaz tidak boleh dipisahkan daripada niat pengucapnya. Dengan kata lain, lafaz yang terucap belum tentu menggambarkan maksud sebenar di hati, kerana niatlah yang menjadi asas utama dalam penentuan hukum ucapan tersebut.

Kaedah ini merupakan salah satu cabang daripada kaedah kulliyyah yang lebih umum, iaitu: الأمور بمقاصدها (segala perkara bergantung kepada tujuannya). Kaedah induk ini telah digunakan secara meluas oleh fuqaha dalam pelbagai bab fiqh seperti ibadat, muamalat, nikah, dan juga talak, bagi memastikan sesuatu hukum yang diputuskan tidak semata-mata bergantung kepada lafaz zahir tanpa meneliti maksud, niat dan tujuan di sebaliknya.

Kesimpulan

Berdasarkan keterangan di atas, sebagai suatu pemerhatian awal, dapat difahami bahawa dalam kes suami yang melafazkan tiga bentuk taklik talak secara berturut-turut, lafaz ketiga sebenarnya lebih menepati maksud dan kehendak pengucap. Oleh yang demikian, talak yang dianggap jatuh hanyalah satu talak. Hal ini turut diperkuatkan dengan qarinah serta konteks semasa lafaz tersebut dibuat. 

Ia memberi petunjuk bahawa maksud suami bukanlah merujuk kepada semua bentuk perbuatan “menonton gambar wanita seksi”, sebaliknya hanya apabila ia disertai dengan perbuatan memuaskan nafsu melalui onani, sebagaimana yang telah berlaku ketika isterinya mendapati ia lakukan perbuatan tersebut.

Namun begitu, perlu ditegaskan bahawa penilaian ini hanyalah satu pemerhatian awal dari sudut kefahaman fiqh. Keputusan muktamad berhubung berapakah talak yang dikira hendaklah dirujuk dan diputuskan oleh pihak Mahkamah Syariah yang berautoriti.

Aduan atau permohonan perlu dibuat di Mahkamah Syariah untuk mengesahkan sama ada talak telah jatuh. Semua negeri mempunyai peruntukan undang-undang yang menghendaki kes taklik dirujuk ke mahkamah. Malah, hanya Hakim Syarie berkuasa mengesahkan sama ada lafaz taklik itu telah mengakibatkan jatuhnya talak atau tidak.

Oleh itu, demi menjaga kehormatan dan ketenteraman rumah tangga serta mengekang talak dijatuhkan secara tergesa-gesa, disarankan agar perkara ini dirujuk segera ke Mahkamah Syariah untuk disiasat dan diputuskan dengan adil.

Kes ini mengajar kita betapa pentingnya berhati-hati dalam membuat lafaz taklik kerana ia memberi kesan besar terhadap ikatan rumah tangga. Dalam isu ini, jalan terbaik ialah pihak isteri dan suami merujuk kes kepada Mahkamah Syariah agar talak itu dapat dipastikan sah atau tidak mengikut proses dan bukti yang sahih.

Semoga Allah mengurniakan ilmu dan kefahaman kepada kita dalam melaksanakan taklif serta segala titah perintah-Nya.

Wallahua’lam.

Sumber: e-Kemusykilan Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑